Memperkasakan polis Special Branch untuk melawan musuh negara dan jenayah

Dalam ucapan perbahasan Bajet 2014 peringkat dasar, saya telah membangkitkan bahawa pada masa kini, negara kita mempunyai seramai 8,196 orang pegawai Cawangan Khas (Special Branch-SB) bersamaan dengan 6.3% daripada kekuatan keseluruhan PDRM. Ini bermakna, terdapat peningkatan seramai 3,102 orang pegawai dari tahun 2008, satu peningkatan yang mendadak, lebih kurang 61% dalam masa 5 tahun sahaja.

Bidang kuasa SB tidak jelas, hanya melapor kepada PM

Secara rasminya, objektif utama SB hanya disebut dengan 3 patah perkataan, iaitu “mengumpul risikan keselamatan” dalam s3(3) Akta Polis 1967. Menurut laporan Suruhanjaya Diraja Polis Tun Dzaiddin 2005, tiada sebarang peruntukan perundangan yang mengawal fungsi, kuasa dan tanggungjawab SB. Sebaliknya SB dikawal oleh piagam di bawah kuasa Perdana Menteri dan malangnya Suruhanjaya tersebut, walaupun dihimpunkan oleh Yang Dipertuan Agong sendiri tidak diberikan akses kepada piagam tersebut. (rujukan: 2.11.13, pg 316, Recommendation Eleven: Enhance Special Branch Accountability, Laporan Suruhanjaya Diraja Tun Dzaiddin)

Dalam kata lain, sebuah unit risikan yang begitu hebat dikawal hanya oleh seorang individu iaitu Perdana Menteri. Ini seolah-olah menjadikan Perdana Menteri terlalu berkuasa mengarahkan aktiviti risikan tanpa sebarang “check and balance”.

Kita faham keperluan operasi risikan untuk tujuan keselamatan dan aktiviti kepolisan. Namun, setelah pelbagai laporan negatif terhadap salahguna kuasa SB oleh kerajaan, termasuk yang dilaporkan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Tun Dzaiddin, sudah tiba masanya untuk kerajaan memperkenalkan reformasi dalam badan risikan tersebut.

1. Laksanakan pembaharuan SB saranan Laporan Suruhanjaya Diraja Dzaiddin

Antara lain, saranan Laporan tersebut termasuk:

i. Membentangkan sebarang piagam ataupun arahan berkaitan keselamatan negara di Parlimen sebaik sahaja piagam ataupun arahan tersebut diberikan.

ii. Sebuah laporan tahunan oleh SB perlu dibentangkan kepada Perdana Menteri dan Perdana Menteri perlu membentangkan laporan tersebut kepada Parlimen. Di peringkat negeri, laporan SB juga perlu dibentangkan kepada Ketua Menteri ataupun Menteri Besar dan Dewan Undangan Negeri.

iii. Aktiviti SB tidak boleh melanggar hak asasi manusia seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

2. Pinda Akta Polis bagi penyenggaraan operasi SB

Bagi memantapkan profesionalisme SB, dan untuk memastikan ketelusan dalam operasi, satu pindaan perundangan terhadap Akta Polis perlu dibuat untuk memasukkan peruntukan berkaitan SB termasuk fungsi, kuasa dan tanggungjawab SB. Pembaharuan yang disarankan di atas juga perlu dimasukkan ke dalam pindaan tersebut agar ia menjadi jelas kepada semua.

3. Kaji semula jumlah SB

Menurut laporan laman web New Mandala kendalian penyelidik-penyelidik dari Australian National University (ANU), saiz SB Malaysia adalah terlalu besar. Sebagai contohnya, pada tahun 2003, jumlah pegawai SB di UK adalah seramai 4,247 orang dengan populasi penduduk 59.4 juta, bersamaan dengan 1 SB kepada 14,000 penduduk. Manakala di Malaysia pula, pada tahun yang sama, terdapat seramai 5,037 orang pegawai SB dengan populasi penduduk 25.3 juta, bersamaan dengan 1 SB kepada 5,000 penduduk. Kini, ratio SB kepada penduduk Malaysia mengecil lagi kepada 1: 3500. Justeru jumlah polis SB masa kini perlu dikaji semula dan sekurang-kurangnya separuh daripada polis SB patut disalurkan kepada jabatan lain dalam PDRM terutamanya Jabatan Siasatan Jenayah.

Kesimpulan

Polis SB kita yang ditubuhkan pada zaman Darurat merupakan antara pasukan risikan yang terhebat di dunia. Mereka telah menjadi bahan rujukan operasi risikan keselamatan di negara-negara lain, termasuk saya difahamkan semasa perang Vietnam dan juga perang Iraq. Saya percaya jika kerajaan ikhlas untuk menanangi masalah keselamatan, maka dengan perlaksanaan pembaharuan di atas, kita mampu mengembalikan maruah dan kewibawaan polis SB sebagai pelindung kesejahteraan rakyat.

Steven Sim Chee Keong
Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY & Ahli Parlimen Bukit Mertajam
Kenyataan media oleh Steven Sim Chee Keong di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 4 Disember 2013