Penubuhan JASA hanya membazir wang dan menyalahgunakan kuasa

Kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Mohd Puad Zarkashi yang dilaporkan mahu DAP “Ini kali mati” pada PRU ke-14 bukan sahaja bersifat angkuh, malah merupakan penyalahgunaan kuasa sehingga mahu mengubah fungsi agensi awam menjadi sebuah Jabatan Propaganda UMNO/BN.

Selepas dua tahun ditewaskan di kawasan Parlimen Batu Pahat, Puad dilantik sebagai Ketua Pengarah JASA pada awal Mac 2015.

Menurut maklumat terdapat pada laman sesawang rasmi, JASA yang ditubuhkan pada Mei 1960 adalah berfungsi untuk memelihara dan mempertahankan kestabilan politik dan kerajaan Perikatan (sekarang BN).

Dalam konteks hari ini, JASA sudah menjadi salah satu agensi yang diperalatkan UMNO/BN untuk memburukkan nama Pakatan Rakyat.

Malah pada tahun 2014, JASA di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia mempunyai seramai 1046 kakitangan dan dianggarkan perbelanjaan agensi kerajaan ini mencecah sehingga RM74 juta bagi tujuan propaganda UMNO/BN.

Sama seperti Cawangan Khas Polis yang muncul di tapak aktiviti ahli politik DAP untuk membuat risikan, aktiviti JASA telah menelankan perbelanjaan yang besar dan tidak fungsinya tidak pun menjadi keperluan segera oleh rakyat Malaysia.

Sumber-sumber tersebut sepatutnya boleh dimanfaatkan bagi kegunaan yang lebih utama untuk rakyat seperti pembangunan industri perusahaan dan peningkatan kemahiran pekerja; malah tidak memerlukan pencukaian GST untuk membayar gaji Ketua Pengarah JASA UMNO!

Saya menasihatkan agar Puad mengkaji semula sebab-sebab beliau telah ditolak oleh pengundi Batu Pahat, bukannya mempermainkan isu-isu perkauman dan agama di media untuk meraih sokongan.

Malaysia berhadapan pelbagai isu yang kritikal dan perlu ditangani segera contohnya kemelesetan ekonomi, peningkatan kadar jenayah dan sebagainya.

DAP dan Pakatan Rakyat telah bertungkus lumus memperjuangkan isu-isu penting di negara ini tanpa mengira kaum dan agama sehingga menghasilkan 52% sokongan rakyat Malaysia pada PRU-13 yang lalu.

Ingin saya mengingatkan Puad, perjuangan politik seharusnya berasaskan isu dihadapi rakyat, bukan hanya tahu mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama seperti yang dimainkan oleh UMNO/BN.

Tan Hong Pin
Setiausaha Kebangsaan DAPSY & ADUN Mengkibol
Kenyataan media oleh Tan Hong Pin di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 1 April 2015