Dato Seri Najib Razak perlu hentikan muslihat berlian merah jambu dan mengelirukan rakyat bahawa pembelian rantai berlian US$27 juta dengan wang 1MDB tidak wujud

Dato Seri Najib sekali lagi dilihat cuba menafikan kenyataan bahawa isteri beliau, Rosmah Mansor telah membeli rantai berlian merah jambu yang bernilai US$27 juta.

Najib tidak boleh menyembunyikan sebenarnya terdapat dua versi penceritaan berbeza yang sedang berlegar. Cerita yang sedang digembur-gemburkan oleh beliau hanya tentang berlian dan barang kemas yang dibawa masuk oleh ejen dan dibawa masuk ke Malaysia untuk dilihat oleh Datin Seri Rosmah.

Akan tetapi skandal sebenar berlian merah jambu yang sering diketengahkan dalam kes 1MDB ini, bukanlah tentang berlian merah jambu yang dibawa oleh agen. Sebaliknya, skandal ini merujuk kepada rantai pink diamond 22-karat yang ditempah melalui Jho Low untuk Rosmah Mansor dan dibayar dengan duit yang berpunca daripada 1MDB.

Kes ini hakikatnya telah dihuraikan dalam pendakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam “No. CV 17-4438 Verified Complaint For Forfeiture In Rem” bagi kes “United States of America, V. Certain Rights To And Interests In The Viceroy Hotel Group” pada 15 Jun 2017.

Laporan DOJ menunjukkan berlian ini telah dibeli daripada pereka berlian yang bertapak di New York, Lorraine Schwartz Inc.

Pada Julai 5, 2013, Schwartz telah bertemu dengan Jho Low dan Rosmah di perairan Monaco, Perancis, di atas ‘Topaz’, yang merupakan antara kapal layar mewah terbesar di dunia. Jho Low telah menyewa kapal sepanjang 147 meter ini untuk 7 hari dengan kos €3.5 juta, yang juga dibayar dengan wang berpunca daripada pinjaman 1MDB.

Di atas Topaz, Schwartz telah mempamerkan berlian tersebut kepada Jho Low, Rosmah dengan kawan-kawannya. Mereka juga membincang reka bentuk rantai berlian yang akan memegang berlian merah jambu 22-carat tersebut.

Pada September 28, 2013, Schwartz sekali lagi berjumpa dengan Jho Low dan Rosmah Mansor di Hotel Mandarin Time Warner di New York untuk menunjukkan gambar rajah rantai berlian yang telah direka.

Schwartz telah mengeluarkan 2 invois ke atas pembelian berlian ini. Invois yang pertama bertarikh Julai 3, 2013 berjumlah US$23 juta untuk berlian “22.17carat Natural Fancy Intense Pink VS2 clarity (GIA#2115637296) Cut-Cornered Square Modified Brilliant Cut diamond.”

Invois kedua bertarikh Julai 31, 2013 untuk US$4.3 juta untuk rantai berlian yang akan memegang berlian di atas, yang bertulis “one graduate fancy intense pink and oval white diamond necklace with interchangeable pendant to ring.”

Menurut bukti dakwaan DOJ, kesemua invois ini telah dibayar dengan dana yang disalurkan daripada US$681 juta atau RM2.6 bilion yang telah dimasuki ke dalam akaun peribadi Dato’ Seri Najib Razak di Ambank, yang berpunca daripada pinjaman bon 1MDB pada tahun 2013.

Akhirnya, rantai berlian merah jambu dihantar kepada Rosmah Mansor melalui rakannya di Hong Kong pada Mac 7, 2014.

Dalam wayang skandal berlian merah jambu ini, “bossku” seperti biasa cuba memainkan watak yang dianiayai dan ditindas tetapi hakikatnya Najib Razak sedang menyembunyikan fakta pembelian “pink diamond” dan seterusnya menutup dosa pengubahan wang haram 1MDB.

Saya ingin mencabar Dato’ Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah untuk menafikan secara spesifik ke atas kesemua dakwaan dan bukti yang telah dikemukakan oleh DOJ. Apa sebabnya, sehingga hari ini, pasangan suami isteri ini tak pernah menafikan perkara ini?

Sudahlah berfoya dengan duit yang dirompak daripada rakyat, sekarang cuba memperbodohkan rakyat dengan aliran fakta yang bercelaru dan menyembunyikan fakta sebenar pula.

SETIAUSAHA PUBLISITI KEBANGSAAN DAP & AHLI PARLIMEN DAMANSARA
Kenyataan media oleh Tony Pua Kiam Wee di Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 13 April 2019