Adakah Najib seorang yang mempunyai penyakit suka berbohong atau sememangnya seorang kaki pembohong? Adakah dia bersedia untuk berdebat mengenai topik “Bagaimana Malaysia terjerumus menjadi sebuah kleptokrasi global dan bagaimana kita boleh kembali menjadi sebuah negara terulung yang berintegriti”?

Adakah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seorang yang mempunyai penyakit suka berbohong atau sememangnya seorang kaki pembohong?

Dalam wawancara dengan Free Malaysia Today hari ini pun, tidak ada lain yang dibuatnya selain berbohong. Najib mendakwa beliau telah menjawab segala persoalan yang dibangkitkan saya dalam kenyataan media saya, yang mana adalah pembohongan yang nyata.

Adakah beliau sudah menjawab persoalan saya, antaranya yang telah dibangkitkan saya dalam kenyataan saya di Sandakan pada 8 Mei lalu mengenai sama ada lawatan kempen “Malu Apa Bossku” beliau untuk membantu kempen PBS dalam Pilihan Raya Kecil Sandakan adalah wadah terbaik untuk beliau menjelaskan mengapa beliau masih terus-menerus menafikan kewujudan skandal 1MDB, meskipun sejak empat tahun lalu, begitu banyak laporan berita mengenainya dikeluarkan oleh media antarabangsa, pelbagai buku dan filem telah diterbitkan mengenai skandal 1MDB sementara 10 negara lain telah melancarkan siasatan ke atas skandal terbabit?

Dia sepatutnya menjelaskan mengenai skandal 1MDB serta skandal rasuah mega yang lain yang berlaku di bawah pentadbirannya selaku perdana menteri sebelum ini, terutamanya tiga isu yang berbangkit sejak dua hari lalu, iaitu:

  • Ucapan ulang tahun pertama 509 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di mana perdana menteri itu berkata beliau amat “pelik” melihat Najib masih berlagak seperti orang tidak bersalah meskipun sedang disiasat berhubung skandal 1MDB dan pihak berkuasa US dan Singapura telah memulangkan sebahagian RM1.5 billion wang yang diselewengkan dari 1MDB serta siasatan pengubahan wang haram dijalankan oleh 10 negara;
  • Pendedahan oleh bekas ahli Panel Penilaian Operasi SPRM, Datuk Lim Chee Wee bahawa Najib tidak disiasat atas kesalahan rasuah ketika beliau masih memegang jawatan perdana menteri kerana beliau memecat Tan Sri Gani Patail selaku Peguam Negara, menggantikan Gani dengan Tan Sri Mohamad Apandi Ali, yang hanya mempunyai satu utama agenda selaku Peguam Negara, iaitu untuk melindungi Najib daripada siasatan rasuah;
  • Pendedahan oleh Deepak Jaikishan dalam sebuah wawancara dengan Al Jazeera bahawa isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor adalah “perdana menteri de facto” semasa Barisan Nasional masih berkuasa.

Najib tuduh saya obses dengannya. Beliau salah besar. Saya tidak berminat langsung dengan beliau jika beliau tidak melakukan kerosakan besar terhadap negara serta generasi masa kini dan akan datang dengan legasi kleptokrasi yang ditinggalkannya. Malah, beliau telah membawa malu kepada nama baik serta legasi arwah bapanya, Tun Razak.

Mengambil kira semua ini, wajarkah seseorang masuk gelanggang dan berdebat dengan seorang kleptokrat, seorang yang mempunyai penyakit suka berbohong atau seorang kaki pembohong?

Mungkin, subjek terbaik bagi sesi perdebatan tersebut adalah: “Bagaimana Malaysia terjerumus menjadi sebuah kleptokrasi global dan bagaimana kita boleh kembali menjadi sebuah negara terulung yang berintegriti”?

Giliran Najib pula untuk menjawab.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 21 Mei 2019