Skip to content

12 acara termasuk 5 acara terjun dikeluarkan daripada SUKMA 2022 membuktikan krisis sukan negara semakin parah

Saya menyokong penuh tindakan kerajaan negeri Sarawak untuk mengubah keputusan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusi oleh Menteri Belia dan Sukan bagi mengembalikan acara terjun untuk dipertandingkan di temasya SUKMA 2022.

Saya berasa amat kecewa dengan keputusan kerajaan untuk mengeluarkan 12 acara sukan daripada SUKMA 2022 termasuk 5 acara terjun. Kelima-lima acara terjun adalah dalam kategori wanita.

Alasan yang diberikan ialah, kekurangan penyertaan daripada kontinjen-kontinjen negeri. Ini amat membingungkan memandangkan Malaysia pernah berdiri megah dalam acara terjun dengan ratu terjun kita Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hong yang pernah memenangi pingat perak dalam Sukan Olimpik, dan atlet-atlet terjun wanita kita seperti Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri turut pernah memenangi pingat dalam Kejohanan Dunia.

Menteri Belia dan Sukan seharusnya bertanggungjawab penuh ke atas situasi parah sukan negara pada hari ini.

Keadaan sektor sukan pada hari ini mengesahkan bahawa krisis sukan negara kini menjadi semakin buruk di bawah pentadbiran BN-PN. Sebelum ini, saya telah membangkitkan kemelut dalam sektor sukan tanpa sebarang maklum balas daripada Menteri KBS:

  1. Industri sukan mengalami kerugian besar dalam tempoh PKP tanpa sebarang bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), contohnya, sektor pengusahaan pusat kecergasan dan gim melaporkan kerugian lebih RM110 juta dalam tempoh setahun sahaja semasa PKP dari Mac 2020;
  2. Peruntukan sukan dipotong secara drastik dalam Belanjawan 2022, contohnya pengurangan hampir 80% peruntukan untuk penyediaan sukan antarabangsa dalam Belanjawan 2022 berbanding Belanjawan 2018;
  3. 253 orang atlet negara dihentikan elaun dan pengurangan sehingga 60% elaun bagi sesetengah atlet yang masih berada di bawah kontrak latihan – selepas kritikan keras daripada pembangkang, dan pemegang taruh, KBS mendakwa ada antara atlet-atlet tersebut yang telah dipulihkan elaun mereka;
  4. Atlet-atlet utama negara mengumumkan persaraan, dan pemain badminton nombor satu negara Lee Zii Jia bertindak keluar BAM;
  5. Prestasi paling buruk Malaysia dalam 40 tahun di Sukan SEA Hanoi 2021.

Alasan yang sering diberikan seperti Covid-19 tidak dapat diterima langsung kerana ini seolah-olah hanya negara kita yang terkesan dengan pandemik global tersebut. PN dan BN harus mengakui kegagalan kerajaan dalam mengurustadbir negara sehingga semua sektor merosot di Malaysia.

Saya menggesa agar Menteri KBS meluluskan permohonan kerajaan negeri Sarawak untuk mengembalikan acara terjun bagi SUKMA 2022. Menteri juga harus berhenti mengejar kuasa dan jawatan dan memberi perhatian serius kepada pembangunan belia dan sukan negara yang semakin kecundang di bawah pimpinannya.