Negeri Pulau Pinang capai 51.1 peratus dos pertama

Sehingga 11:59 malam 28 Julai 2021, Pulau Pinang telah mencapai 51.1 peratus kadar suntikan dos vaksin pertama. Syabas kepada semua! Kerajaan Negeri berjanji akan melipatgandakan lagi usaha ini bagi memastikan kita mencapai sasaran populasi dewasa negeri ini memperoleh sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin lebih awal daripada sasaran iaitu pada awal September 2021.

Menerusi mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 atau COVID-19 Immunisation Taskforce (CITF) Peringkat Negeri Pulau Pinang semalam, sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega iaitu di SPICE Convention Centre (SPICE CC) akan beroperasi bermula 1 Ogos 2021 dengan kapasiti 5,000 dos suntikan sehari.

Turut diputuskan adalah golongan warga emas sama ada yang telah berdaftar atau sebaliknya menerusi aplikasi MySejahtera dan belum memperoleh sebarang janji temu boleh ‘walk-in’ bermula pada 2 Ogos 2021 di PPV Dewan Millenium (Daerah Seberang Perai Utara); PPV SP Arena (Daerah Seberang Perai Tengah), PPV Dewan Serbaguna Jawi (Daerah Seberang Perai Selatan) manakala di SPICE CC adalah bermula pada 3 Ogos 2021 khas kepada warga emas yang menetap di Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya. Sila bawa dokumen diri khususnya kad pengenalan bagi proses pendaftaran serta imunisasi.

Adalah ditekankan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mengambil pendekatan 3T iaitu saringan (testing), pengesanan kontak (tracing) dan rawatan (treatment) ke arah usaha memutuskan rantaian perebakan COVID-19 di negeri ini. Apa yang kita lihat kini termasuk rekod catatan kes tertinggi semalam merupakan hasil saringan massa yang dilaksanakan bukan hanya oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), malah juga daripada Program Penang Saring COVID Percuma dan inisiatif sendiri pihak industri khususnya.

Peningkatan kadar saringan adalah meliputi saringan kluster, kontak rapat dan lain-lain ekoran pertambahan kluster-kluster baru yang dilaporkan sepanjang tempoh minggu ini. Sehingga jam 12 tengah hari 28 Julai 2021, terdapat 51 kluster aktif dilaporkan iaitu 40 dari sektor perkilangan; tempat kerja (7); institusi pendidikan (2) dan tapak bina (2). Malah, empat kluster baru yang dilaporkan semalam juga adalah melibatkan sektor perkilangan membabitkan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS). Berlandaskan laporan daripada JKNPP, sebanyak 155 buah kilang telah diarahkan untuk tutup pada tempoh Januari hingga 26 Julai 2021 berbanding tahun lalu, 17.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang
Kenyataan media oleh Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada hari Khamis, 29 Julai 2021