Adakah Alexander Nanta Linggi akan letak jawatan jika tidak dapat pulihkan kenaikan 100% harga barang keperluan harian seperti sayur-sayuran?

Adakah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan meletak jawatan jika beliau tidak dapat memulihkan harga barang keperluan asas yang melambung tinggi, seperti sayur-sayuran yang naik lebih 100%? Pagi ini saya mengagihkan hampir 400 bakul makanan kepada penduduk yang memerlukan di kawasan Parlimen Bagan yang terjejas teruk akibat kenaikan harga barang keperluan asas. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penaja korporat dan dermawan atas sumbangan mereka.

Belum pernah rakyat Malaysia melihat harga barang keperluan harian yang tinggi bagi telur, ayam, roti, sayur-sayuran dan juga ais batu. Kerajaan Persekutuan perlu diingatkan bahawa barang keperluan harian ini bukanlah barangan mewah tetapi harganya kini berada pada paras mewah. Lebih buruk lagi ialah Kerajaan Persekutuan sama ada nampak tidak peduli atau tidak berkesan dan tidak melakukan apa-apa untuk mengawal kenaikan harga barang.

Rakyat menderita apabila mereka pergi ke pasar. Harga barang keperluan asas telah naik ke paras tertinggi dalam ingatan, jauh lebih tinggi berbanding semasa PH menjadi kerajaan, dan telah menghakis kuasa beli rakyat dengan teruk. Bukan sahaja kumpulan B40, tetapi ramai dalam M40 tidak tahu bagaimana untuk menampung kehidupan dengan kenaikan harga barang sebegini apabila mereka pergi ke pasar dan melihat harga sawi naik 100%. Ramai penerima bantuan di Bagan bertanya bagaimana mereka mampu menanggung kenaikan harga barang sedangkan gaji mereka tidak naik-naik?

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah menyalahkan kos operasi yang lebih tinggi dalam rantaian bekalan dan memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa harga barang keperluan harian yang naik melambung tinggi akan dapat diselesaikan sebelum 9 Disember. Kerajaan Persekutuan perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika harga barang tidak dapat diturunkan menjelang 9 Disember tetapi juga perlu bertindak sekarang untuk menurunkan harga barang sekarang dan tidak menunggu sehingga 9 Disember.

Muhyiddin Yassin dikenali sebagai kerajaan dan Perdana Menteri yang gagal kerana tidak mampu menangani pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi. Adakah Perdana Menteri baharu Ismail Sabri akan menjadi satu lagi kegagalan seperti Muhyiddin kerana bukan sahaja gagal menguruskan pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi tetapi juga harga barang keperluan asas yang naik melambung tinggi?

SETIAUSAHA AGUNG DAP & AHLI PARLIMEN BAGAN
Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Pulau Pinang pada hari Ahad, 28 November 2021