Akhirnya berita baik mengenai Covid-19 pada hari terakhir 100 hari pertama Ismail Sabri — kadar jangkitan terendah sejak 16 Mei dan juga kadar kematian akibat Covid-19 kedua terendah dalam enam bulan yang lepas

Selepas 99 hari dengan berita yang suram, di mana situasi yang paling baik sekalipun hanyalah apabila kita didatangkan dengan berita yang “tidak buruk”, kita akhirnya menerima berita yang baik pada hari terakhir 100 hari pertama Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Semalam, Malaysia mencatatkan 4,239 kes baharu Covid-19, kadar terendah dalam 196 hari sejak 16 Mei, dan pada masa yang sama mencatatkan 29 kematian akibat Covid-19 — kadar kematian kedua terendah dalam enam bulan yang lepas.

Saya telah berharap sekurang-kurangnya dalam 100 hari pertama Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri kesembilan ini, kita dapat memulihkan semula kerosakan yang telah disebabkan oleh Proklamasi Darurat oleh kerajaan Muhyiddin Yassin pada 11 Januari 2021, di mana kita mencatatkan 2,232 kes baharu dengan empat kematian akibat Covid-19 dan sejumlah 138,224 kes dan 555 kematian terkumpul.

Semasa Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021, kadar kes Covid-19 dalam negara adalah sepuluh kali ganda berbanding dengan semasa darurat diisytiharkan dengan 22,262 kes baharu, manakala kadar kematian pula telah meningkat 50 kali ganda kepada 223 kematian pada hari tersebut.

Kita belum memenangi perang melawan wabak Covid-19 ini dan sekiranya kadar yang tidak masuk akal tersebut berterusan sehingga ke penghujung 100 hari pertama Ismail Sabri, kita sudah akan mencatatkan lima juta kes dengan lebih kurang 100,000 kematian akibat Covid-19.

Inilah sebab utama saya menyokong memorandum persefahaman (MOU) kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) di antara Ismail Sabri dan pemimpin Pakatan Harapan, kerana apabila negara kita sedang berhadapan dengan ancaman besar yang melibatkan jutaan kes dan ribuan korban nyawa, kita perlu ketepikan perbezaan kita untuk melindungi nyawa, punca pendapatan, dan fabrik masyarakat Malaysia.

Kita telah menghentikan keadaan terburuk Covid-19 tetapi kita belum memenangi perang melawan wabak ini.

Daripada mengumpulkan lima juta kes dan 100,000 kematian akibat Covid-19, kita sebaliknya mencatatkan 2,623,816 kes dan 30,309 kematian akibat Covid-19 menjelang 100 hari pertama Ismail Sabri — perkara ini bermakna MOU CSR ini berjaya mengelakkan 2.4 juta jangkitan Covid-19 dan berjaya menyelamatkan kira-kira 60,000 ke 70,000 nyawa.

Daripada berada dalam kedudukan sedang kalah, MOU CSR ini mengubah arah tuju negara untuk menghentikan peningkatan melampau kes dan kematian akibat Covid-19, tetapi kita masih belum berjaya dalam perang ini selagi mana kita belum mencapai sekurang-kurangnya kadar kes yang dicatatkan pada era pra-darurat pada 11 Januari 2021.m

Untuk 99 hari, kita turun daripada kemuncak 24,599 kes pada 26 Ogos dan kemuncak 592 kematian pada 11 September, tetapi proses ini bergerak dengan terlalu perlahan — memandangkan selepas enam minggu, kita masih berada dalam julat 4,500 ke 6,500 kes setiap hari.

Pada hari terakhir 100 hari pertama Ismail Sabri ini, negara kita akhirnya terkeluar daripada jerat 4,500-6,500 kes ini dengan 4,239 kes baharu.

Harapnya, perkara ini mencatatkan permulaan di mana kita mula berjaya mengawal penularan Covid-19 dengan lebih baik dalam 100 hari kedua Ismail Sabri, di mana kita tidak boleh hanya mengurangkan kes ini kepada kadar pra-darurat, tetapi kita juga perlu menamatkan gelombang penularan terpanjang di dunia yang telah berlarutan selama 14 bulan sejak daripada PRN Sabah pada tahun lepas.

Kita perlu terus berharap kepada suatu hari di mana kadar peningkatan kes baharu ini berada dalam julat dua angka dengan kadar kematian dalam julat satu angka.

Indonesia semalam mencatatkan 264 kes baharu dengan satu kematian akibat Covid-19. Sedangkan India pula mencatatkan 6,226 kes baharu dengan 20 kematian akibat Covid-19.

Indonesia telah mencatatkan kadar kes baharu dalam julat tiga angka sejak untuk tujuh minggu sejak 14 Oktober dan mencatatkan kematian dalam julat dua angka selama lapan minggu sejak 3 Oktober.

Kini Indonesia mencatatkan kadar kematian akibat Covid-19 dalam julat satu angka.

Bilakah kita akan menyaksikan perkara seperti ini?

Persoalan ini menjadi lebih mendesak apabila terdapat laporan mengenai varian baharu Covid-19, Omicron, yang sedang tular di seluruh dunia walaupun masih belum jelas sama ada varian Omicron ini lebih mudah berjangkit berbanding dengan varian-varian lain atau sama ada ia menyebabkan penyakit yang lebih parah.

AHLI PARLIMEN ISKANDAR PUTERI
Kenyataan media (2) oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 29 November 2021