http://dapmalaysia.org 
 

Speech by Teresa Kok on the RM10-cut motion for the Home Minister and Inspector-General of Police in the 2009 Budget debate on the Home Ministry on Thursday, 4th December 2008:

Motion under SO.66(9) on RM10-cut for Home Minister and Inspector-General of Police 

Tan Sri Yang diPertua, saya ingin merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 66(9) dengan membentangkan satu usul memotong gaji RM10 ke atas YB Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara berdasarkan masalah dan ketidakcekapan kedua-dua mereka seperti apa yang disebutkan di bawah:

Penahanan ISA

Tindakan Polis DiRaja Malaysia yang menggunakan ISA untuk menahan pemberita Sin Chew Jit Poh, Cik Tan Hoon Cheng, penulis blog Raja Petra Kamarudin dan saya pada 12 September 2008 merupakan penyelewengan kuasa yang amat nyata sekali. Dalam kes penangkapan ini, Cik Tan Hoon Cheng ditahan selama 18 jam, saya ditahan selama 7 hari manakala Raja Petra Kamarudin ditahan selama 56 hari dan dibebaskan selepas Mahkamah meluluskan permohonan habeas corpus.

Dalam kes penahanan pemberita Cik Tan Hoon Cheng, Menteri Dalam Negeri berkata bahawa kerajaan menahannya kerana ingin “memberi perlindungan kepadanya kerana keselamatannya terancam”.

Dalam kes penahanan saya, saya ditahan secara perkurungan persendirian selama 7 hari atas tuduhan “menyebabkan ketegangan dan pergaduhan di antara kaum dan agama” di bawah fasal 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Walaupun saya dilemparkan tuduhan yang begitu serius, saya hanya ditanya tiga soalan utama oleh pegawai penyiasat polis yang berdasarkan pada tulisan yang tidak benar dalam sesetengah laman web dan juga satu artikel yang bertajuk “Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya …” yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 10 September 2008, saya memang dapat menjawab kesemua pertanyaan ini dengan mudah sekali, kerana saya memang telah menerangkannya kesemua tuduhan-tuduhan tersebut kepada pemberita akhbar Bahasa Malaysia dan disiarkan dalam blog saya pada 10 September 2008, iaitu dua hari sebelum saya ditahan di bawah ISA.

Datuk Pengerusi, salah satu tuduhan liar terhadap saya yang mana dimulakan oleh Khir Toyo, iaitu bekas Menteri Besar Selangor daripada UMNO, di mana saya dikatakan membawa penduduk di kawasan Puchong untuk mengadakan petisyen membantah laungan azan di satu Masjid di Bandar Kinrara. Soalannya, saya tidak pernah pernah berjumpa dengan kesemua penduduk yang membuat petisyen tersebut dan saya malah tidak pernah pergi ke masjid tersebut.

Apakah penahanan saya menunjukkan pihak polis tidak menjalankan siasatan sebelum mereka menahan saya? Kenapakah pihak polis tidak panggil saya memberi keterangan di balai polis, tetapi sebaliknya mereka menahan saya di bawah ISA baru menjalankan siasatan?

Datuk Pengerusi, saya difahamkan pada hari-hari sebelum saya ditahan di bawah ISA, terdapat banyak sms, email dan sesetengah blog yang menyiarkan tuduhan yang bukan-bukan dan tohmahan terhadap saya, termasuk laman web bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo? Apakah tindakan yang diambil oleh Kementerian Dalam Negeri dan PDRM ke atas kesemua tohmahan dalam internet terhadap saya tersebut, dan juga laporan polis terhadap pihak Utusan Malaysia, Zaini Hassan, iaitu penulis yang menulis artikel “Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya …”. Saya merasa amat kesal bahawa pihak polis langsung tidak mengambil tindakan terhadap kesemua orang yang membuat tuduhan liar, laporan palsu dan tohmahan ke atas saya tersebut, kerana kesemua tulisan ini telahpun melanggari fasal 8 dalam Akta Percetakan, iaitu di bawah kesalahan “laporan palsu”. Apakah ini menunjukkan bahawa PDRM kita berat sebelah, tidak bertanggungjawab dan langsung tidak profesional dalam isu ini?

Siapa yang memberi arahan tentang penahanan ISA?

Datuk Pengerusi, saya merasa amat hairan bahawa pihak kerajaan dan PDRM gagal memberitahu orang ramai tentang orang yang memberi arahan ke atas penahanan ketiga-tiga kami di bawah ISA ini.

Saya difahamkan selepas saya ditahan di bawah ISA, Perdana Menteri berkata bahawa dia tidak tahu saya ditahan, Menteri Dalam Negeri pula berkata bahawa kesemua penahanan ISA ini adalah dilakukan oleh polis. Di sini, saya ingin tanya, apakah PDRM berani menjalankan penahanan ISA tanpa kelulusan daripada Menteri Dalam Negeri? Sekiranya Menteri Dalam Negeri tidak diberitahu oleh polis tentang penahanan saya, apakah tindakan disiplin telah diambil oleh pihak Kementerian terhadap pihak polis, khususnya Ketua Polis Negara dan Pengarah Cawangan Khas di PDRM atas cara mereka menahan ketiga-tiga kami tanpa menjalankan siasatan? Selain itu, dalam kes penahanan penulis blog Raja Petra Kamaruddin pula, apakah rasional kerajaan untuk menahan beliau di bawah ISA walhal beliau telahpun didakwa ke mahkamah? Kerajaan tidak membiar Mahkamah untuk mengadili beliau tetapi perlu menahan beliau di bawah ISA?

Datuk Pengerusi, ISA merupakan undang-undang lapuk yang dikutuk orang ramai. Mengikut satu kajian yang dibuat oleh Merdeka Center baru-baru ini, 75% daripada responden yang menjawab soal-selidik berkata mereka amat tidak setuju kerajaan menahan orang tanpa perbicaraan seperti ISA. Selepas kerajaan menjalankan penahanan ISA terhadap ketiga-tiga kami pada 12 September 2008, negara kita telahpun disenaraikan sebagai “Crisis country” di sesetengah negera di Eropah. Saya diberitahu oleh seorang diplomat daripada negara Barat bahawa mereka dikehendaki untuk memberi laporan harian tentang keadaan politik Malaysia kepada kerajaan mereka, dan mereka juga memberi nasihat kepada pelabur di negara mereka masing-masing supaya jangan datang melabur di Malaysia kerana Malaysia dianggap sebagai negara yang tengah mengalami pergolakan politik.

Selain itu, penahanan ISA ini juga menarik perhatian dan kritikan daripada ramai Ahli Parlimen dan pemimpin negara asing sehingga mereka mengeluarkan kenyataan dan menulis surat bantahan kepada Kementerian Dalam Negeri.

Tan Sri Pengerusi, saya rasa amat kesal untuk membaca surat yang dijawap oleh YB Menteri Dalam Negeri kepada Honorable Glenys Kinnock dan Silver Meikar, Ahli Parlimen Eropah yang menyampaikan keprihatinan mereka terhadap penggunaan ISA oleh Kerajaan, beliau bertulis dalam surat yang bertarikh 8 Oktober 2008 bahawa “The Government of Malaysia has a responsibility to protect the collective interest of multi-racial people of Malaysia and this takes precedence over the right of any individual citizen.”

Jawapan yang diberi oleh YB Menteri kepada Ahli Parlimen Parlimen Eropah ini membayangkan seolah-olah saya terlibat dalam apa-apa aktiviti subversif yang merosakkan hubungan antara kaum di negara kita, apakah ini adil? Sebenarnya, selepas saya dibebaskan daripada ISA, YB Menteri memang telah berkata kepada media bahawa siasatan polis menunjukkan saya tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Isi kandungan surat YB Menteri memang menunjukkan bahawa beliau meluahkan kenyataan bohong kepada Ahli Parlimen Eropah.

Apakah penahanan ISA saya berkait dengan “balas dendam” PDRM terhadap saya?

Datuk Pengerusi, di sini saya ingin bertanya, sekiranya YB Menteri berkata bahawa beliau tidak memberi arahan untuk menahan saya di bawah ISA, apakah penahanan ISA saya juga berhubung kait dengan siri kes penyelewengan kuasa PDRM yang didedahkan oleh saya di dalam dan di luar Parlimen, termasuk kes ketuk-ketambi tahanan wanita yang berbogel badan di lokap polis, pembelian helikopter PDRM yang melibatkan Web Power yang dipunyai oleh Othman Talib, kawan baik Ketua Polis Negara dan sebagainya? Dan pihak PDRM cuba membalas dendam terhadap saya dengan menahan saya di bawah ISA?

Datuk Pengerusi, saya pernah menyentuh tentang siri salah-laku oleh pegawai Jabatan Logistik di PDRM di ucapan bajet saya, di mana seorang aktivis Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) Tan Sri Robert Phang telah memanjangkan laporan tentang salah-laku beberapa pegawai kanan polis kepada pihak Kementerian Dalam Negeri, Badan Pencegah Rasuah (BPR), Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Polis Negara (KPN), tetapi kesalnya pihak Kementerian Dalam Negeri dan PDRM langsung tidak mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang terlibat.

Salah-laku pegawai kanan PDRM ini melibatkan Pengarah Jabatan Logistik, Timbalan Pengarah II, Jabatan Logistik, Pegawai Perolehan Teknikal Jabatan Logistik, Pegawai Penyelidikan Jabatan Logistik dan Pegawai Undang-undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah.

Kesalahan dan penyelewengan pegawai-pegawai PDRM termasuk:

i) perolehan peralatan persiapan untuk Pilihan Raya Umum Ke-12 pada bulan Mac yang melebihi RM90 juta yang langsung tidak mengikut prosidur, barang-barang tersebut tidak mengikuti spesifikasi serta kuantiti kurang daripada yang sepatutnya tetapi pembayaran diluluskan dengan mudahnya.

ii) pembelian anjing dari Negeri China untuk kegunaan D6 (K-9) daripada satu syarikat yang lebih tinggi daripada sepatutnya.

iii) pembelian kain biru untuk kegunaan PDRM secara rundingan terus dengan Impressive Mahir Sdn Bhd, kepunyaan bekas polis yang rapat dengan Pengarah Jabatan Logistik.

iv) perlantikan pegawai yang tidak sesuai dan tidak layak berdasarkan sikap pilih-kasih dalam projek Document Management System untuk rekod personnel di Jabatan Pengurusan dan juga di Jabatan Logistik. Misalnya, seorang pegawai polis yang berpangkat ASP yang hanya berkelulusan SPM dilantik sebagai pegawai penyelidikan di Jabatan Logistik, satu jabatan yang bertanggungjawab dalam mengurus perbelanjaan PDRM beratus-ratus juta ringgit setahun?

Datuk Pengerusi, dalam jawapan lisan yang diberi oleh YB Menteri Dalam Negeri semalam bahawa aduan terhadap kesemua pegawai polis Jabatan Logistik PDRM ini telahpun dipanjangkan kepada Badan Pencegah Rasuah, oleh itu Kementeriannya tidak dapat berbuat apa-apa.

Datuk Pengerusi, jawapan yang diberi oleh YB Menteri ini hanyalah benar separuh sahaja, kerana walaupun pihak Kementerian boleh menolak kesemua tanggungjawab penyiasatan ini kepada BPR, tetapi Salahlaku Pengarah Jabatan Logistik berkahwin kali ke-2 (poligami) tanpa mendapat kebenaran daripada Ketua Polis Negara, memang telah melanggar perintah KPN, arahan KPN 39/37 yang bertarikh 6 Disember 2005.

Kenapa perkara ini boleh berlaku tanpa apa-apa tindakan daripada pihak pengurusan tertinggi PDRM? Apakah kerana Pengarah Jabatan Logistik ini merupakan kawan rapat Ketua Polis Negara, maka tindakan tatatertib tidak diambil terhadapnya?

Apakah siasatan polis terhadap tohmahan melalui SMS terhadap saya & kes molotov cocktail?

Datuk Pengerusi, kadar jenayah negara kita tengah naik secara mendadak, tetapi PDRM memberi pelbagai alasan untuk menjustifikasikan bahawa negara kita aman damai dan mempunyai kadar jenayah yang lebih rendah daripada negara-negara maju lain di rantau Asia ini.

Saya ingin ambil apa yang berlaku pada diri saya sebagai satu contoh, apakah hasil siasatan polis terhadap siri tohmahan melului sms yang menyerang namabaik dan peribadi saya sebelum dan selepas saya ditahan di bawah ISA, dan juga siasatan polis terhadap pembuangan botol Molotov cocktail ke kediaman keluarga saya? Kesemua sms ini dihantar daripada beberapa nombor telefon bergerak yang sama. Apakah siasatan polis terhadap kes kes ini?
Kenapakah PDRM selalu berkata mereka menghadapi masalah kekurangan kakitangan manakala PDRM sanggup hantar begitu pegawai polis dan anggota FRU untuk menyuraikan dan menahan anggota NGO dan parti pembangkang yang mengadakan perhimpuan aman atas isu-isu tertentu? Ahli Parlimen PJ Utara kita juga pernah dilayan secara kasar oleh

PDRM pilih kasih semasa menjalankan tugas

Tan Sri Pengerusi, pasukan polis selalunya berat sebelah semasa menjalankan tugas. Misalnya, kita baca surat khabar pada hari ini, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek disoal-siasat oleh polis di bawah Akta Hasutan berkenaan dengan kenyataan Ketuanan Melayu yang dibangkitkan oleh beliau. Di sini, saya ingin tanya, kenapakah Ahli Parlimen Jerlun daripada UMNO yang menyeru kerajaan menutup semua sekolah rendah Cina dan Tamil yang mana jelas menyakitkan hati masyarakat bukan Melayu ini tidak disoal-siasat oleh polis?

Selain itu, pihak polis juga selalu menyuraikan anggota-anggota NGO yang membantah penggunaan ISA, tetapi pada malam 1 Disember 2008, satu kumpulan yang bernama Pekida dan Pewaris yang ingin kekalkan ISA berhimpun di luar bangunan Majlis Peguam Negara apabila satu forum berkenaan penahanan ISA diadakan di dalam bangunan tersebut, kenapakah pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap mereka? Begitu juga dengan siri perhimpunan dan tunjuk perasaan yang dilakaukan oleh orang UMNO di luar bangunan kerajaan Selangor selepas Pakatan Rakyat menjadi kerajaan di Selangor, polis juga tidak mengambil tindakan terhadap mereka?

Apakah ini menunjukkan “double standard” yang diamalkan oleh pihak polis?

Tan Sri Pengerusi, berdasarkan kesemua alasan yang disebutkan tadi, saya ingin mencadangkan supaya usul memotong gaji RM10 ke atas YB Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara diluluskan di dewan ini.  


* Teresa Kok, DAP National Organising Secretary & MP for Seputeh