http://dapmalaysia.org 
 

Memorandum by Loke Siew Fook in Petaling Jaya on Monday, 22nd December 2008:

Memorandum opposing the privatisation plan of IJN 

22 Disember 2008

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Razak
Menteri Kewangan Malaysia
Kementerian Kewangan
Putrajaya.

Yang Amat Berhormat,

Memorandum bantahan terhadap cadangan penswastaan Institut Jantung Negara

Adalah saya dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara yang tersebut di atas.

2. Saya mewakili Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY Malaysia) ingin secara tegasnya menyatakan bantahan kami terhadap sebarang cadangan penswastaan Institut Jantung Negara (IJN) seperti yang telah dilaporkan oleh media massa. Walaupun pihak YAB telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan telah menangguhkan cadangan penswastaan tersebut dan perlu dikaji secara lebih teliti, namun DAPSY ingin menyeru Kerajaan Persekutuan supaya membatalkan terus hasrat untuk menswastakan IJN.

3. IJN merupakan sebuah pusat perubatan jantung yang terunggul bukan sahaja di Malaysia namun di seluruh rantau ini. Kejayaan IJN menjadi sebuah pusat perubatan jantung yang termasyur perlulah dijadikan tauladan kepada sektor awam dan menjadi model kepada institusi-institusi kerajaan yang lain. Kekuatan IJN ialah terletak di bahu para pakar bedah di institut tersebut dan seluruh warga sokongannya. Komitmen terbuka mereka terhadap IJN dan kenyataan mereka yang menyangkal kononnya mereka menuntut gaji yang lebih lumayan perlulah diambil kira secara serius oleh pihak kerajaan.

4. IJN telah membantu ramai warga golongan miskin mendapatkan pembedahan dan perkhidmatan kesihatan yang terbaik walaupun mereka tidak mampu dari segi tanggungan kewangan kerana falsafah penubuhan IJN ialah menanggung tanggungjawab sosial dan bukannya berorientasikan keuntungan. Falsafah ini perlu dipertahankan di IJN buat selama-lamanya. Kenyataan bahawa kerajaan akan tetap mengawal kos perubatan di IJN selepas diswastakan adalah kurang menyakinkan dan tidak dapat memberikan apa-apa jaminan kepada rakyat.

5. Sebagai seorang bekas pesakit yang pernah mendapat pembedahan di IJN, saya sendiri menganggap IJN bukan sahaja sebagai sebuah pusat perubatan tetapi sebuah institusi yang amat membanggakan rakyat Malaysia. Setiap pesakit yang mendapat rawatan di IJN diberi layanan yang terbaik dan secara saksama. IJN bukan sahaja tempat untuk menyembuhkan pesakit jantung tetapi ia juga tempat yang terbaik untuk menyemai hati rakyat Malaysia yang murni dan bersatu-padu. Kejayaan IJN dalam pembedahan “transplant” adik Tee Hui Yee adalah antara banyak contoh yang menjanakan semangat kekitaan dan masyarakat penyayang di Malaysia.

6. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan pemimpin masyarakat, kami amat berharap YAB sebagai bakal Perdana Menteri dapat membuat satu keputusan yang pantas dan tegas dalam perkara ini. Respons negatif dari pelbagai pihak terhadap cadangan ini menunjukkan betapa tidak popularnya cadangan tersebut. Kerajaan seharusnya memberikan satu komitmen terbuka untuk tidak menswastakan IJN dan terus memberikan sokongan kepada IJN sebagai sebuah institusi milik kerajaan.

7. Kesudian pihak YAB mendengar pandangan kami adalah amat dialu-alukan dan dihargai. Keputusan positif daripada pihak kerajaan mengenai perkara ini amat diharapkan oleh seluruh rakyat Malaysia pada masa kini. Pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak YAB didahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian dimaklumkan.


Berkhidmat untuk rakyat,


……………………………………..
LOKE SIEW FOOK
AHLI PARLIMEN RASAH merangkap
KETUA DAPSY MALAYSIA 


* Loke Siew Fook, DAPSY National Chairman & MP for Rasah