Utusan Selamat Hari Raya Aidil Adha oleh 
		Lim Guan Eng di Petaling Jaya pada hari Ahad, 7 Dicember 2008: 
        
		Hari Raya Aidil Ad'ha yang turut dikenali dengan Hari Raya Korban dan 
		Hari Raya Haji pada tahun ini terpaksa kita sambut dengan penuh rasa 
		sedih dan pilu   
		Saya bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang 
		dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) ingin mengucapkan takziah kepada 
		keluarga mangsa-mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang meragut 
		empat nyawa serta memaksa pemindahan beribu-ribu penduduk di sana.
		
		Bagi sebuah negara yang tidak pernah diancam taufan, ribut, ledakan 
		gunung berapi dan pelbagai bencana alam yang lain, adalah malang bagi 
		rakyat Malaysia ditimpa kecelakaan yang bukan semula jadi.
		
		Apa yang berlaku di Bukit Antarabangsa mengingatkan kita semua kepada 
		tragedi bangunan runtuh Highland Towers kira-kira 15 tahun lalu yang 
		berlaku hanya sebatu jauhnya dari kejadian pada awal Sabtu lalu yang 
		mengorbankan banyak nyawa.
		
		Kejadian Highland Towers sepatutnya menyedarkan semua pihak, terutama 
		pihak berkuasa tempatan (PBT) betapa bahayanya membina bangunan di 
		lereng bukit dengan sewenang-wenangnya. Sehingga hari ini PBT dalam kes 
		Highlands Tower tidak pernah dikenakan sebarang tindakan. Nampaknya ia 
		masih tidak dipedulikan dan tidak ada sesiapa pun didapati bersalah 
		walaupun banyak nyawa terkorban.
		
		Apakah keadaan yang sama akan berulang dalam kes Bukit Antarabangsa? 
		Apakah nyawa rakyat Malaysia tidak lagi bernilai dan boleh diabaikan 
		oleh pihak yang bertanggungjawab?
		
		Saya sedih kerana Hari Raya Korban yang mulia ini terpaksa dihadapi oleh 
		banyak keluarga dalam suasana sedih dan pilu. Malah, pagi semalam, 
		sembilan orang terbunuh manakala 19 lagi cedera apabila bas ekspres yang 
		mereka naiki telah terbalik di lebuh raya dekat Tangkak, Johor. 
		Kemalangan seperti ini sepatutnya boleh dielakkan jika kita semua 
		sama-sama memandu cermat serta memikirkan keselematan semua pengguna 
		jalan raya.
		
		Saya berdoa agar mereka yang cedera segera pulih manakala keluarga 
		mangsa yang terkorban dapat menerima keadaaan ini dengan hati yang tabah 
		dan sabar pada hari yang mulia ini.
		
		Saya juga menyeru Kerajaan Pusat serta agensi-agensi terlibat supaya 
		melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh kejujuran dan 
		semangat pengorbanan demi kebaikan setiap rakyat Malaysia.
		
		Dalam suasana yang sedih dan pilu ini, saya sekali lagi menghulurkan 
		salam Aidil Ad'ha untuk semua umat Islam, dan bagi mereka yang sedang 
		berhadapan dengan masalah, bersabarlah dan tekadkan semangat pengorbanan.
		
		Sekian, terima kasih.
		*
    
    
 Lim Guan Eng, Setiausaha 
		Agung DAP & Ketua Menteri Pulau Pinang