http://dapmalaysia.org 
 

Kenyataan media oleh  Lau Weng San di Petaling Jaya pada hari Khamis, 31 Julai 2008: 

Pengkhianatan terbuka terhadap para pengundi bukan Muslim jika PAS bergabung dengan UMNO

UMNO kebelakangan ini beria-ia untuk berunding dengan PAS khususnya terhadap kemungkinan untuk bergabung dengan PAS. Tindakan UMNO ini berpunca daripada kekalahan teruk UMNO dan BN dalam pilihanraya umum yang lepas, menyebabkan UMNO sebagai sebuah parti yang berunsurkan perkauman perlu berbincang kemungkinan untuk bekerjasama, malahan bergabung dengan sebuah parti politk yang majority besar keahliannya orang melayu.

Sebagai sebuah parti politik yang mempunyai sejarah parti melebihi 53 tahun, adalah mustahil untuk PAS mengetahui agenda tersembunyi UMNO ini, bak pepatah ada udang di sebalik batu.

Oleh yang demikian, adalah tidak wajar untuk Peseruhjaya PAS Kedah merangkap Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Abd Razak untuk mengkritik DAP agar tidak campau tangan dalam urusan perbincangan di antara PAS dengan UMNO.

Apa yang perlu diingatkan di sini ialah perbincangan sulit di antara beberapa pemimpin kanan PAS dan UMNO bukan sahaja tidak dimaklumkan kepada rakan-rakan yang lain di dalam Pakatan Rakyat, malahan kebanyakan ahli akar umbi PAS, termasuk Ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN PAS yang turut tidak dimaklumkan terhadap perbincangan sulit ini. Ini termasuk bekas Ketua Pemuda PAS Mahfuz.

Tindakan beberapa orang pemimpin kanan PAS ini bukan sahaja telah menimbulkan kerisauan dan kemarahan ahli-ahli akar umbi serta penyokong-penyokong bukan Muslimnya, malahan mereka pula mempermainkan perkataan-perkataan seperti "muzakarah" dan "muqabalah".

Biarpun DAP tidak berhak untuk bercampur tangan dalam urusan dalaman parti rakan, tetapi DAP mempunyai hak untuk bersuara jikalau sesuatu perkara yang berlaku di dalam parti itu akan memberi impak terhadap sokongan Rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Jikalau PAS bergabung dengan UMNO, maka ini telah membelakangi konsep "PAS untuk semua" yang selama ini dilaung-laungkan oleh PAS dan merupakan satu pengkhianatan terbuka kepada pengundi-pengundi bukan Muslim dan pengundi-pengundi Muslim yang tidak menyokong dasar-dasar perkauman UMNO.

Perlu diingat bahawa punca utama kekalahan besar UMNO dan BN dalam pilihanraya umum yang lalu adalah disebabkan dasar-dasar perkaumannya yang memudaratkan perpaduan nasional. Oleh sebab itu, UMNO bukan sahaja gagal memenangi kuasa kerajaan negeri Kelantan, malahan UMNO dan BN turut kehilangan kuasa kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

PAS tidak akan dapat mencapai keputusan yang sebegini cemerlang dalam pilihanraya umum yang lepas dengan memenangi 23 kerusi Dewan Rakyat di Parlimen dan 83 kerusi DUN dan sekaligus menjadi Menteri Besar di negeri Kedah, Perak dan Kelantan jikalau tidak mendapat sokongan padu daripada pengundi-pengundi bukan Muslim.

Sokongan yang dihulurkan oleh pengundi-pengundi bukan Muslim terhadap PAS bukan kerana mereka menyokong dasar negara Islam atau masalah perpaduan orang Melayu. Mereka menyokong Pas kerana mereka sudah jemu dengan hegemoni perkauman UMNO dan berhasrat untuk membawa satu perubahan dan pembaharuan.

Kesemua ini perlu dipandang serious oleh PAS. Jikalau tidak, PAS akan ditolak sebulat-bulatnya oleh pengundi bukan Muslim dalam pilihanraya yang akan datang.


* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor dan ADUN Kampung Tunku