Ucapan Penggulungan 
		(3) oleh Y.A.B. 
		Lim Guan Eng dalam Persidangan Dewan 
		Undangan Negeri pada hari Isnin, 28 Julai 2008: 
		 
		Amalan 
		Prinsip CAT 
		Kerajaan 
		Negeri yang baru memang bersungguh-sungguh mengambil pendekatan dan 
		mengamalkan Prinsip CAT. Ini diterjemahkan ke dalam semua urusan 
		pentadbiran kerajaan sama ada di peringkat jabatan atau di peringkat 
		Kerajaan Tempatan. Di dalam urusan pentadbiran tanah, kerajaan 
		mengamalkan pendekatan yang telus dan terbuka dalam menimbang semua 
		urusan permohonan tanah seperti permohonan pemberimilikan, tukar syarat 
		tanah, cantuman tanah, pecah bahagian, pecah sempadan, serah dan 
		berimilik semula, pengambilan balik tanah, Lesen Pendudukan Sementara, 
		Permit Bahan Batuan dan Permit Ruang Udara. Dalam hubungan ini, saya 
		sebagai Ketua Menteri yang juga bertanggungjawab ke atas hal ehwal tanah 
		mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah pada setiap minggu supaya semua 
		permohonan tanah dapat dibincang dan diberi pertimbangan supaya tidak 
		berlaku tunggakan.
		
		Saya percaya, pendekatan yang diambil ini akan menambahkan kecekapan, 
		mempercepatkan proses mendapatkan keputusan dan mengurangkan karenah 
		birokrasi. Bagi tujuan tersebut, beberapa jawatankuasa yang wujud dalam 
		pentadbiran kerajaan yang dahulu telah dimansuhkan seperti Jawatankuasa 
		Ad-hoc Tukar Syarat Tanah Pertanian. Begitu juga beberapa proses kerja 
		urusan tanah telah disemak semula bagi mengurangkan (dengan izin) red 
		tape dan memansuhkan proses kerja yang tidak perlu. Penambahbaikan ini 
		dibuat adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mempercepatkan sistem 
		penyampaian perkhidmatan tanpa mengorbankan prinsip CAT.
		
		Bagi memastikan prinsip CAT dihayati dan diterjemahkan sepenuhnya, 
		Kerajaan Negeri yang baru cuba menyempurna dan membersihkan beberapa 
		kepincangan yang telah berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri yang 
		lalu. Contohnya mengenai proses pengambilan balik tanah dan kes Tan Hack 
		Ju di mana kedua-dua kes ini masih dalam siasatan Kerajaan Negeri.
		
		Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama melancarkan 
		ePerolehan pada 17 Julai 2008. Melalui sistem ini, tawaran sesuatu 
		projek akan diemail secara terus kepada kontraktor yang berkelayakan dan 
		seterusnya berpeluang menawarkan sebut harga. Kerajaan Negeri akan 
		mendapat pulangan yang terbaik (dengan izin) Best Value For Money.
		
		Pengambilan Tanah
		
		Kerajaan negeri baru telah mendapati penyelewengan berlaku dalam proses 
		pengambilan balik tanah semasa kerajaan lama. Memang tidak dipertikaikan, 
		yang pengambilan balik tanah dibuat melalui proses undang-undang iaitu 
		menggunakan Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960, tetapi akhirnya 
		kerajaan negeri terpaksa keluar lebih dan menanggung kehilangan RM 84 
		juta. Antara penemuan yang boleh saya sebutkan di sini ialah:
		
			i. 
			Pertama – terdapat beberapa lot tanah yang tidak termasuk dalam 
			senarai asal yang dicadangkan oleh konsultan, tetapi lot tersebut 
			diselitkan dalam senarai tanah yang akan diambil tanpa ada rekod 
			justifikasi. Boleh ditafsirkan, lot tersebut dimiliki oleh orang 
			tertentu yang sengaja dimasukkan ke dalam senarai untuk mengaut 
			keuntungan. Ini menyebabkan bayaran RM 3.5 juta untuk pengambilan 
			tanah yang sebenarnya tidak dalam lakaran atau tidak diperlukan;
			
			ii. Kedua – adalah menjadi satu perkara yang aneh (yang tidak pernah 
			berlaku sebelum ini), di mana terdapat proses jual beli tanah ke 
			atas lot yang telah dikenal pasti terlibat dengan pengambilan. Dalam 
			hal ini, telah berlaku proses jual beli tanah sebanyak 18 lot yang 
			terlibat daripada satu syarikat kepada syarikat yang lain. Saya 
			beranggapan kuat, bahawa perkara tersebut telah dirancang bagi 
			mempengaruhi nilai tanah;
			
			
			iii. Ketiga – saya beranggapan kuat bahawa telah berlaku pakatan di 
			antara pihak yang cuba mengambil peluang mengaut keuntungan, dengan 
			menaikkan nilai bayaran pampasan tanah. Di dalam kes ini, 
			mengurangkan (awards) perintah bayaran yang dibuat oleh pentadbir 
			tanah adalah tidak mengikut nilai yang disyorkan oleh Jabatan 
			Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH); dan
			
			iv. Keempat – bayaran pampasan dibayar hanya kepada pihak tertentu 
			dan bukan kepada yang lain. 
		
		Saya ingin 
		menekankan bahawa, proses yang telah diamalkan didapati tidak telus. 
		Siasatan kini berjalan dan ia makan masa kerana melibatkan jumlah wang 
		yang besar dan juga urusan tanah yang agak kompleks. Sementara siasatan 
		berjalan, pegawai kerajaan yang disyaki terlibat juga telah dipindahkan 
		ke jabatan lain dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang 
		sewajarnya demi mempertahankan hak, kepentingan dan wang rakyat termasuk 
		membuat laporan kepada polis dan BPR.
		
		Inilah yang dikira menyeleweng wang rakyat di mana memang wujud 
		kehilangan wang kerajaan dan rakyat bukan sepertimana yang disebut oleh 
		YB Ketua Pembangkang fahamannya begitu berbau politik bila kita hapuskan 
		saman ia dianggap menyelewengkan wang rakyat. Mengapa pula pembelian 14 
		buah Mercedes oleh kerajaan negeri Terengganu sebanyak RM 3.43 juta yang 
		melanggari peraturan tidak disebut oleh YB Ketua Pembangkang sebagai 
		satu penyelewengan? 
		
		Kes Tan Hak Ju
		
		Ini satu lagi kes yang telah merugikan Kerajaan Negeri dan pembaziran 
		wang rakyat akibat kecuaian dan keputusan yang tidak tepat. Saya tidak 
		menafikan bahawa kecuaian dan kelalaian boleh berlaku di mana-mana dan 
		dalam semua perkara. Tetapi saya sangat musykil bagaimana Kerajaan 
		Negeri yang dulu boleh meluluskan sekeping tanah yang luasnya 10.6 ekar 
		kepada seorang individu yang kononnya adalah pengusaha kuari. Tanah 
		seluas 10.6 ekar adalah cukup besar untuk diberikan hanya kepada seorang 
		individu yang sepatutnya tidak berlaku. Dalam kes ini saya sesungguhnya 
		berpendapat telah berlaku kecuaian di semua peringkat. 
		
		Kes ini telah menjadi kes mahkamah apabila Kerajaan Negeri yang lalu 
		telah membatalkan pemberian milik tanah tersebut. Akibatnya Kerajaan 
		Negeri mengalami kerugian apabila keputusan mahkamah telah berpihak 
		kepada individu berkenaan. Saya difahamkan bahawa sebelum kes ini 
		difailkan di mahkamah, telah ada proses perundingan untuk menyelesaikan 
		kes ini di luar mahkamah. Dalam proses rundingan tersebut, pada satu 
		peringkat individu berkenaan telah bersetuju untuk menerima ganti rugi 
		yang jauh lebih rendah iaitu RM1.8 juta, tetapi Kerajaan Negeri yang 
		dahulu tidak bersetuju menyebabkan berlakunya saman di mahkamah di mana 
		akibatnya perintah bayaran yang dibuat oleh mahkamah ialah RM29 juta (asalnya 
		RM40 juta – dikurangkan selepas rayuan). Dengan kadar 8% sejak tahun 
		Februari 2005, jumlah kehilangan yang mungkin dialami oleh pihak 
		kerajaan negeri mungkin mencecah RM 40 juta. Peristiwa ini menunjukkan 
		bahawa Kerajaan Negeri yang dulu kurang bijak membuat keputusan dan 
		tidak menangani kes dengan baik. Lagipun tidak sebarang tindakan diambil 
		ke atas pihak yang bertanggungjawab. Saya dengan ini menegaskan sekali 
		bahawa prinsip CAT yang diperkenalkan oleh kerajaan boleh menghindarkan 
		daripada berlakunya skendal tanah yang merugikan ini.
		
		Y.B ADUN Permatang Pasir telah membangkitkan isu tanah Arumugam 
		Pillai yang telah dijual kepada penduduk di Kepala Batas tetapi belum 
		mendapat Hak Milik
		
		Tanah yang dimaksudkan adalah Lot 1999 Mk. 6 (GRN. 70518) Kepala Batas 
		SPU. Seluas 14.69 ekar, dikenali sebagai kawasan Kg. Kovil, Kepala Batas 
		yang mengandungi lebih kurang 110 plot yang kini telah didiami oleh 
		penduduk Kg. Kovil yang kesemuanya adalah masyarakat India.
		
		Tanah berkenaan dimiliki oleh Bertam Consolidated Rubber Plantation Co. 
		Ltd. (Bertam Estate) dan di dalam hak milik masih tercatat bahawa tuan 
		tanah berdaftar adalah Bertam Consolidated Rubber Plantation Co. Ltd. 
		Bagaimanapun sejarah lot ini menunjukkan bahawa tanah tersebut telah 
		dibeli oleh Chettiar Arumugam Pillai pada tahun 1960 dan kemudiannya 
		dijualkan kepada penduduk Kg. Kovil secara lot lidi (pecahan kecil) 
		tanpa pecahan sempadan yang sah tetapi pindahmilik tidak disempurnakan. 
		Chettiar Arumugam Pillai sepatutnya menguruskan pindahmilik tetapi ia 
		tidak berlaku. Cukai tanah masih dijelaskan oleh Bertam Consolidated 
		Rubber Plantatioon Co. Ltd.
		
		Sehingga kini, Pejabat Tanah SPU tidak menerima sebarang permohonan 
		pecah bahagian atau pecah sempadan dari mana-mana pihak. Kerjasama 
		sepenuhnya akan diberikan sekiranya terdapat permohonan dikemukakan.
		Pegangan 
		Bebas
		
		Isu pemberian tanah kepada status pegangan bebas telah dibangkitkan 
		oleh Y.B Telok Bahang
		
		Kerajaan Negeri yang baru telah mengambil satu pendekatan untuk 
		menghayati jiwa rakyat. Salah satu pendekatan yang dibuat ialah 
		berkongsi harta dengan rakyat dengan mengembalikan hak pemilikan 
		hartanah kepada rakyat di mana tanah kediaman akan dipegang oleh rakyat 
		bagi tempoh selama-lamanya. Dengan cara ini rakyat tidak perlu bimbang 
		akan kehilangan hartanah mereka. Peluang ini dibuka kepada semua rakyat 
		tanpa mengira kaum dan keturunan. Rakyat diberi pilihan sama ada hendak 
		mendapatkan status pegangan bebas atau kekal dalam bentuk pajakan ke 
		atas hartanah mereka, dengan tiada unsur paksaan. 
		
		Memandangkan kerajaan telah membuka peluang kepada rakyat untuk 
		mendapatkan hartanah atas milikan kekal, tentulah ia akan meningkatkan 
		nilai hartanah itu sendiri. Dengan hal demikian, kerajaan bercadang akan 
		mengenakan premium atas peningkatan hartanah tersebut. Dalam hubungan 
		ini jumlah premium dicadangkan akan dikenakan mengikut perkiraan formula 
		berikut:
		
		Nilai hartanah mengikut pegangan kekal TOLAK nilai hartanah atas baki 
		pajakan.
		
		Buat masa ini Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk memberikan potongan 
		diskaun ke atas jumlah tersebut. Adalah dijangkakan bahawa bilangan lot 
		yang akan terlibat adalah sebanyak 15,000 lot.
		
		Y.B Speaker, Y.B Penaga telah menimbulkan isu pemberimilikan semula 
		secara pajakan 60 tahun, lot di Kampung Selamat, Seberang Perai Utara
		
		Sehingga 30 Mei 2008, Pentadbiran Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara 
		telah menerima sejumlah 366 permohonan rayuan pengurangan premium 
		pemberimilikan semula kawasan Kampung Selamat. Berdasarkan kelulusan 
		daripada Pihak Berkuasa Negeri bertarikh 17 Jun 2008, Pentadbiran Daerah 
		dan Tanah Seberang Perai Utara telah mengeluarkan sejumlah 113 surat 
		kelulusan berserta Borang 5A (Seksyen 81 dan 82) Kanun Tanah Negara (KTN) 
		kepada pemohon secara berperingkat mulai dari 10 Julai 2008.
		
		Bayaran premium yang dikenakan adalah mengikut harga pasaran iaitu pada 
		kadar RM2.23 sekaki persegi bagi tanah pertanian. Kerajaan Negeri telah 
		meluluskan potongan sebanyak 88 peratus dan pemohon hanya perlu membayar 
		pada kadar 0.27 sen sekaki persegi. Purata bayaran premium yang perlu 
		dibayar bagi setiap permohonan adalah dalam lingkungan RM22,000.00 
		sahaja.
        
		*
    
    
 Lim Guan Eng, Ketua Menteri 
		Negeri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP