Ucapan Penggulungan 
		(4) oleh Y.A.B. 
		Lim Guan Eng dalam Persidangan Dewan 
		Undangan Negeri pada hari Isnin, 28 Julai 2008: 
        
		Projek-projek Mega  
		Jambatan 
		Kedua Pulau Pinang 
		
		Jambatan Pulau Pinang Kedua yang menghubungkan Batu Kawan di Seberang 
		Perai dan Batu Maung di bahagian pulau sedang dalam proses pembinaan dan 
		tidak akan ditangguhkan. Pembinaannya akan meningkatkan kadar 
		pembangunan di kedua-dua kawasan terutamanya di sebelah Batu Kawan. 
		Selain daripada itu, pembinaanya akan memudahkan perhubungan di antara 
		pulau dan tanah besar terutamanya pengangkutan input dan produk akhir 
		perindustrian selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Pulau Pinang 
		sebagai hub logistik di bawah NCER (Koridor Ekonomi Wilayah Utara). 
		
		Cadangan Y.B Penaga agar Kerajaan Persekutuan membatalkan projek 
		Jambatan Kedua Pulau Pinang telah memberi implikasi negatif ke atas 
		beberapa bakal pelabur. Oleh itu saya berharap Ketua Pembangkang 
		berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana kenyataan seperti itu 
		akhirnya akan merugikan rakyat Pulau Pinang juga. 
		
		Y.B. Penaga juga menyentuh mengenai Projek Landasan Keretapi 
		Berkembar
		
		Projek ini melibatkan laluan di tiga daerah iaitu Daerah Seberang Perai 
		Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan. Di sepanjang 
		laluan tersebut terdapat banyak binaan termasuklah bangunan kediaman, 
		bengkel, bangsal, dan tokong atau kuil. Kerajaan Negeri amat 
		mengalu-alukan projek ini kerana ia adalah satu projek yang boleh 
		menjana pertumbuhan ekonomi. Sebagai kerajaan yang prihatin, kebajikan 
		penduduk yang terlibat dengan pembinaan projek ini perlu diambil kira. 
		Pampasan yang setimpal harus diberikan kepada penduduk yang terlibat.
		
		Jumlah setinggan yang 
		terlibat:
		
			
				| 
				  
				Daerah Terlibat | 
				Jenis-Jenis Setinggan | 
			
				| 
				Kediaman | 
				Komersial | 
			
				| 
				Seberang Perai Utara | 55 | 5 | 
			
				| 
				Seberang Perai Tengah | 489 | 28 | 
			
				| 
				Seberang Perai Selatan | 27 | 9 | 
			
				| 
				Jumlah | 571 | 42 | 
		
		Jumlah Rumah Ibadat yang terlibat: 
		
			
				|   
				Daerah Terlibat | 
				Jenis-Jenis Rumah Ibadat | 
			
				| 
				Tokong | Kuil | Surau | 
			
				| 
				Seberang Perai Utara | 1 | 1 | 1 | 
			
				| 
				Seberang Perai Tengah | 16 | 11 | 2 | 
			
				| 
				Seberang Perai Selatan | 4 | 3 | 0 | 
			
				| 
				Jumlah | 21 | 15 | 3 | 
		
		Pendekatan 
		yang diambil oleh Kerajaan Negeri adalah meminta pemilik projek 
		menyediakan program penempatan semula penduduk yang terlibat. Kesemua / 
		keseluruhan bangunan kediaman dicadangkan untuk ditawarkan penempatan 
		semula di satu tapak yang akan diambil iaitu terletak berhampiran 
		stesyen KTMB Tasek Gelugor, Daerah Seberang Perai Utara. Sementara itu 
		bagi Daerah Seberang Perai Tengah pihak pemaju telah mencadangkan 
		penempatan semula penduduk dibuat di atas lot 35, 66, 690 dan 909 mukim 
		7 seluas 3.6724 hektar. Manakala bagi Daerah Seberang Perai Selatan pula 
		ianya akan ditempatkan di atas tanah KTMB sedia ada.
		
		Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah kerajaan berjiwa rakyat atau “people 
		centric”. Kerajaan Negeri baru akan bekerjasama dan meneruskan 
		perhubungan yang baik dengan Kerajaan Persekuatuan bagi memastikan 
		rancangan pembangunan dilaksanakan demi kepentingan rakyat. Malangnya 
		usaha Kerajaan Negeri menghulurkan tangan persahabatan tidak dihiraukan 
		bila projek-projek seperti Monorel, PORR, pembesaran Empangan Mengkuang 
		dan menaik taraf sistem keretapi Bukit Bendera sebanyak RM4.7 bilion 
		dibatalkan. Ini merupakan pengurangan 76% daripada RM6.152 bilion kepada 
		RM1.412 bilion. 
		
		Menaiktaraf Sistem Keretapi Bukit Bendera
		
		Kerajaan Negeri amat berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan 
		Persekutuan kerana memperuntukkan semula peruntukan berjumlah RM40 juta 
		untuk menaiktaraf sistem keretapi Bukit Bendera sebagai tambahan kepada 
		kerja pembaikan sebanyak RM 2.5 juta. Untuk tahun ini, Kerajaan Negeri 
		diperuntukkan sebanyak RM5.3 juta, yang mana RM2.8 juta adalah untuk 
		kerja-kerja perunding dan kajian, manakala RM2.5 juta adalah untuk 
		pembelian kabel gantian. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan 
		berunding semula dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan peruntukan 
		semasa yang disediakan dapat digunakan sepenuhnya tanpa pembaziran. 
		
		Namun begitu Kerajaan Negeri akan merayu semula kepada Kerajaan 
		Persekutuan supaya peruntukan yang telah dikurangkan bagi Projek 
		Menaiktaraf Infrastruktur Asas Kawasan Perindustrian bagi Negeri Pulau 
		Pinang yang dikurangkan daripada RM128 juta kepada RM66.6 juta 
		dipertimbangkan semula. Begitu juga dengan projek-projek Monorel, PORR 
		dan Empangan Mengkuang.
		
		Projek Tebatan Banjir Sungai Muda
		
		Y.B. Ketua Pembangkang telah membangkitkan perkara projek tebatan banjir 
		Sungai Muda. Di sini ingin saya tegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak 
		menghalang projek berkenaan, malah mengalu-alukannya, memandangkan ia 
		merupakan projek infrastruktur yang memberikan banyak kebaikan kepada 
		rakyat. Melalui pelaksanaan projek ini, dijangkakan sistem pengairan 
		dapat dipertingkatkan, dan mengurangkan risiko berlakunya banjir.
		
		Apa yang Kerajaan Negeri ingin tegaskan ialah pelaksanaan projek 
		tersebut perlu mengambil kira kesejahteraan penduduk yang terlibat di 
		mana rumah kediaman mereka terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan 
		kepada projek. Kerajaan Negeri tidak mahu keluarga yang terlibat diarah 
		berpindah begitu sahaja tanpa mempedulikan soal penempatan semula 
		penduduk.
		
		Sebagai makluman Y.B. Speaker, sebanyak 652 lot tanah milik terlibat 
		dengan cadangan pengambilan balik tanah iaitu 256 lot di sebelah hulu (dari 
		Jambatan Merdeka ke Kuala Muda) dan 296 lot di bahagian hilir sungai (dari 
		Ekor Kucing, Pinang Tunggal ke Jambatan Merdeka). Ia melibatkan sebanyak 
		242 buah bangunan di sepanjang jajaran. 
		
		Berdasarkan maklumat awal daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan 
		Galian Persekutuan (JKPTG) bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran (Rancangan 
		Tebatan Banjir) berhasrat untuk memperuntukkan sebahagian daripada tanah 
		yang diambil balik untuk maksud penempatan semula ground tenant tetapi 
		butiran tawaran akan dibincangkan kemudian.
        
		*
    
    
 Lim Guan Eng, Ketua Menteri 
		Negeri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP