Ucapan Penggulungan
(5) oleh Y.A.B.
Lim Guan Eng dalam Persidangan Dewan
Undangan Negeri pada hari Isnin, 28 Julai 2008:
Pembangunan Perindustrian
Invest-in-Penang Berhad (investPenang) telah ditubuhkan pada bulan
November 2004 dan telah mula beroperasi pada 1 Januari 2005. Sebagai
agensi yang tidak berasaskan kepada keuntungan dan dimiliki penuh oleh
Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui State Secretary Incorporated (SSI),
investPenang adalah dipertanggungjawabkan untuk mempromosikan Pulau
Pinang sebagai lokasi pilihan untuk teknologi, industri dan perniagaan.
Dengan mengambil maklum tentang misinya, investPenang mempunyai 5
objektif utama iaitu:
i.
Meningkatkan suasana perniagaan yang lebih selesa (dengan izin)
Enhance Penang’s business-friendly environment;
ii. Meningkatkan daya saingan Negeri dari segi teknologi serta
kemudahan menjalankan perniagaan (dengan izin) Strengthen Penang’s
competitive edge;
iii. Mempromosikan pelaburan dalam industri dan perkhidmatan yang
bernilai tambah tinggi dan berteknologi tinggi (dengan izin) Promote
investments in high value-added and hi-tech industries;
iv. Menyokong pembangunan syarikat yang sedia ada untuk berkembang
dari segi rantaian nilai (dengan izin) support the growth of
existing companies and their movement up the value chain; dan
v. Membantu industri tempatan untuk bersaing di seluruh dunia (dengan
izin) Facilitate domestic industries to compete globally.
Cabaran dan
saingan yang dihadapi dari dalam dan luar negara:
i.
Persaingan untuk Pelaburan di Antara Negara di Rantau Asia
Negara
China merupakan persaing kepada Negeri Pulau Pinang. Walaupun Negara
China masih rancak dalam pembangunannya, ia juga menghadapi beberapa
kekangan telah timbul dari segi infrastruktur yang mungkin tersesak,
kos keseluruhan yang semakin menigkat dan kadar pusing ganti kerja
mengurangkan (dengan izin) turnover rate bagi tenaga mahir yang
semakin meningkat, serta isu mengenai (dengan izin) ‘Intellectual
Property’ dan sebagainya. Negara lain seperti India dan Vietnam juga
adalah pesaing kepada Negeri Pulau Pinang yang mana sedang giat
membangun. Namun Pulau Pinang masih mendahului dalam beberapa aspek
dan ini sekaligus memberi peluang bagi Kerajaan Negeri untuk menarik
pelaburan ke Negeri ini. Oleh itu, walaupun terdapat pelaburan ke
negara Vietnam dan India, namun masih terdapat beberapa syarikat,
khasnya yang berskala sederhana mulai beralih minat mereka dan ada
juga yang menutup operasi mereka di Negara China dan memindah
kembali ke Negeri Pulau Pinang.
ii. Sistem Penyampaian Kerajaan bagi Kelulusan Permit dan Insentif
Berbanding dengan Negara seperti Singapura, Thailand, Vietnam dan
beberapa kawasan di Negara China, proses kelulusan permit dan
insentif di Negara Malaysia mengambil masa yang lebuh panjang. Ini
adalah kerana sistem pentadbiran Malaysia adalah secara berpusat (dengan
izin) centralised, berbanding dengan Vietnam dan Negara China di
mana pemberian insentif dan kelulusan permit adalah secara berpusat
oleh provinsi atau wilayah masing-masing.
iii. Kekurangan Tanah Perindustrian Terutamanya di Bahagian Pulau
Memandangkan sektor perindustrian di Pulau Pinang telah pesat
membangun sejak 36 tahun, tanah perindustrian telah dipenuhi. Ini
menyebabkan kekurangan tanah perindustrian yang merupakan satu
penghalang utama dalam usaha untuk terus mengembangkan lagi
pembangunan perindustrian di Pulau Pinang, terutamanya di kawasan
Pulau. Pada masa yang sama, terdapat kawasan perindustrian baru di
Seberang Perai seperti di Batu Kawan yang tidak dapat menarik minat
para pelabur kerana tidak tidak mempunyai infrastruktur yang lengkap
dan bersesuaian dengan keperluan perindustrian.
iv. Pembangunan IKS
Antara cabaran yang dihadapi oleh IKS tempatan pula adalah untuk
mempertingkatkan Kapabiliti dan Kapasiti IKS tempatan dalam kegiatan
Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Rekabentuk atau (dengan izin)
‘design’. Untuk syarikat IKS yang mempunyai pelanggan di kalangan
syarikat MNC, semakin banyak kelompok pelanggan mereka yang
berpindah operasi berintensifkan buruh ke negara yang menawarkan kos
pengeluaran lebih rendah seperti China dan Vietnam. Syarikat IKS
yang bermodal besar berupaya mengikut pelanggan syarikat MNC mereka
ke luar Negara tetapi tidak bagi syarikat yang kekurangan modal.
Usaha yang
Telah Dibuat Oleh Kerajaan Negeri untuk Meningkatkan Pelaburan dari
Dalam dan Luar Negara Adalah:
i.
Meningkatkan keyakinan pelabur melalui urus tadbir berpandukan
prinsip CAT iaitu Cekap (dengan izin) (Competency), Bertanggungjawab
(Accountability) dan Telus (Transparency).
ii. Menubuhkan “Pasukan Petugas Khas” (dengan izin) Special Task
Force yang diketuai oleh saya sebagai Ketua Menteri. Pasukan ini
berfungsi sebagai pemudahcara perniagaan bagi pelaburan yang
melebihi jumlah RM1 Billion.
iii. Menambah baik sistem penyampaian sektor awam iaitu
mempermudahkan sistem, garis panduan dan prosedur, menyelaraskan
agensi di peringkat Kerajaan Negeri dan mempertingkatkan tahap mesra
pelanggan bagi membolehkan Pulau Pinang kekal menarik kepada bakal
pelabur.
iv. Mempromosikan aktiviti yang nilai tambahnya lebih tinggi (dengan
izin) high value added activities.
v. Memperkenalkan strategi promosi yang inovatif seperti “Bina dan
Sewa” (dengan izin) Build & Lease bangunan industri kepada pelabur.
vi. Mempertimbangkan skim harga tanah yang kompetitif untuk
ditawarkan kepada pelabur asing yang ingin melabur dalam projek yang
strategik.
vii. Mensasarkan dan menarik minat industri strategik negara luar
supaya mengembangkan serta menempatkan operasi mereka di Pulau
Pinang.
viii. Meneruskan program yang dilaksanakan oleh investPenang
bersama-sama dengan syarikat tempatan untuk mengambil bahagian dalam
pameran antarabangsa dengan menyewa ruang pameran sebagai usaha
untuk mencari pelaburan baru serta peluang perniagaan.
ix. Mempromosi industri tempatan dalam bidang bioteknologi dan
peralatan perubatan melalui program investPenang yang menyelaraskan
penyertaan syarikat tempatan di BioMalaysia, Kuala Lumpur dan di
MEDICA (Pameran Peralatan Perubatan Antarabangsa), Germany.
x. Membantu syarikat yang sedia ada untuk melabur semula dalam
aktivti tambah nilai berteknologi tinggi dan untuk meningkatkan
rantaian nilai. Ini dilaksanakan dengan menyediakan infrastruktur
yang diperlukan, menjalinkan kerjasama dengan institusi latihan
teknikal tempatan untuk melatih tenaga kerja memiliki kemahiran unik
serta kerjasama penuh daripada MIDA untuk pemberian insentif.
xi. Mempromosikan Pulau Pinang sebagai hab pelaburan global dengan
mensasarkan pelaburan industri berteknologi tinggi seperti
“Avionics”, “OLED” dan “Photovoltaic”. Ini dapat dilaksanakan
melalui misi pelaburan antarabangsa serta rangkaian perhubungan
dengan syarikat MNC.
xii. Bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dalam usaha untuk
membantu pelabur asing khusus berkaitan dengan pengurusan alam
sekitar semasa permohonan mereka diproses untuk mendapat kelulusan.
xiii. Mewujudkan beberapa “cluster” iaitu (dengan izin) “Penang
Automation Cluster (PAC)”, “Penang Radio Frequency Cluster (PRFC)”,
“Software Consortium of Penang” (SCOPE) dan “Techbiz (Bumiputra ICT
Cluster)”. Selain daripada itu, investPenang sedang berusaha untuk
menubuhkan (dengan izin) “Penang Medical Device Cluster”. Matlamat
utama Kerajaan Negeri mewujudkan “clusters” ini adalah untuk
mewujudkan sinergi serta meningkatkan daya saingan industri tempatan.
investPenang juga telah menubuhkan Panel Penasihat Pakar Peralatan
Perubatan dan Instrumentasi serta Panel Penasihat Pakar Bioteknologi,
Farmaseutikal dan Nutraseutikal. Untuk menjana idea yang inovatif
dan berdaya maju, panel penasihat ini dilantik di kalangan akademia
dan juga industri dalam bidang yang berkaitan.
xiv. Bekerjasama dengan agensi kerajaan di peringkat persekutuan
yang terlibat dalam aktiviti pelaburan seperti MIDA, SMIDEC, MATRADE,
MDEC, Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) dan
Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp). Jalinan kerjasama
ini diperkukuhkan dalam usaha menarik pelabur asing dan tempatan
melalui seminar, perbincangan, pemadanan perniagaan atau usaha sama
yang berpotensi.
xv. Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan 14 Kementerian dan
38 Agensi Kerajaan dalam membantu IKS di Pulau Pinang untuk terus
berkembang dengan merangka pelbagai program pembangunan untuk IKS
seperti berikut:
a.
Penyediaan bantuan kewangan dalam bentuk geran dan pinjaman;
b. Penyediaan premis perniagaan/kilang;
c. Program latihan;
d. Program pembudayaan; dan
e. Program promosi dan pemasaran
Kejayaan
i. Sejak
penubuhannya, investPenang telah berjaya dalam usahanya untuk
mempromosikan pelaburan asing mahupun pelaburan tempatan ke Negeri Pulau
Pinang serta turut membantu pelabur-pelabur asing, sama ada pelabur baru
mahupun pelabur sedia ada dan pertumbuhan syarikat-syarikat tempatan di
Pulau Pinang.
ii. Tahun
2008 telah menunjukkan prestasi yang amat menggalakkan di mana jumlah
keseluruhan pelaburan yang telah diluluskan dalam tempoh masa Januari
sehingga April 2008 adalah berjumlah RM4.841 bilion. Daripada jumlah
tersebut, pelaburan tempatan adalah sebanyak RM4.367 bilion atau 90%
daripada jumlah keseluruhan pelaburan manakala pelaburan asing adalah
berjumlah RM473 juta atau 10%.
iii. Melihat
kepada jumlah pelaburan tempatan yang telah dinyatakan di atas, Kerajaan
Negeri melalui investPenang telah berjaya meyakinkan syarikat tempatan
untuk terus melabur di Negeri ini. Seperti yang telah dinyatakan itu,
pelaburan tempatan pada awal tahun ini yang mencapai tahap RM4.367
bilion adalah merupakan peningkatan sebanyak 3 kali ganda jika
dibandingkan dengan tahun dengan 2007 yang berjumlah RM1.546 bilion.
Pencapaian ini akan turut menjadi sejarah bagi industri tempatan di
Negeri ini, di mana pelaburan industri tempatan ini juga merupakan
pelaburan yang tertinggi sejak dari tahun 1970an.
iv. Jumlah
projek pelaburan yang telah diperolehi sejak mengambil alih Kerajaan
Negeri Pulau Pinang bagi tempoh Mac hingga April tahun 2008 adalah
sebanyak 17 buah projek tempatan dan luar negara dan telah diluluskan di
negeri ini. Jumlah keseluruhan pelaburan yang telah diluluskan dalam
tempoh masa yang sama adalah berjumlah RM1.389 bilion. Daripada jumlah
tersebut, jumlah pelaburan tempatan yang telah diluluskan adalah
sebanyak RM1.283 bilion manakala pelaburan asing pula adalah berjumlah
RM105 juta.
v. Kerajaan
Negeri tidak mempunyai rancangan untuk mengkaji semula kedudukan atau
faedah-faedah yang diberikan kepada syarikat Free Trade Zone (FTZ) dalam
tempoh masa lima tahun akan datang memandangkan bahawa kedudukan atau
faedah-faedah yang diberikan kepada syarikat FTZ adalah di bawah bidang
kuasa Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, dalam tempoh lima tahun
ini, Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan Kerajaan Pusat
dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi membantu pelabur-pelabur asing
yang sedang beroperasi ataupun yang akan memulakan operasi bagi
menyelesaikan isu-isu mereka di kawasan FTZ. Selain daripada itu, dari
semasa ke semasa, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (MPPP
dan MPSP) akan terus memperbaiki dan menyelesaikan segala isu dan
masalah seperti keselamatan, sosial, alam sekitar, kemudahan
infrastruktur dan pengangkutan yang berlaku di kawasan FTZ.
*
Lim Guan Eng, Ketua Menteri
Negeri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP