Ucapan Penggulungan 
		(6) oleh Y.A.B. 
		Lim Guan Eng dalam Persidangan Dewan 
		Undangan Negeri pada hari Isnin, 28 Julai 2008: 
		Isu Pembalakan di Kawasan Tadahan Air
		
		Y.B ADUN Penaga mencadangkan supaya mengadakan perbincangan lanjut 
		dengan Kerajaan Negeri Kedah berhubung cadangan pembalakan di kawasan 
		tadahan air bagi mengelakkan masalah banjir. 
		
		Y.B Timbalan Ketua Menteri I telah mengetuai rombongan kunjungan hormat 
		ke atas YAB Menteri Besar Kedah pada 14 Julai 2008 bagi menyampaikan 
		pandangan kerajaan dan rakyat Negeri Pulau Pinang berhubung dengan isu 
		pembalakan di kawasan tadahan air Ulu Muda, Pedu dan Ahning, Kedah. 
		
		Semasa perbincangan ini diadakan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah 
		menerangkan secara terperinci kesan negatif yang akan timbul daripada 
		pembalakan ini dan cadangan penyelesaian yang boleh diambil bersama. Di 
		antara cadangan yang diberikan adalah seperti berikut:
		
			i. 
			Sebarang perbincangan antara kedua-dua negeri berkaitan hal ehwal 
			pengurusan air hendaklah dibawa kepada Majlis Sumber Air Negara dan 
			SPAN sebagai forum yang sesuai. Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 
			dasarnya tiada halangan dengan cadangan pembalakan tersebut asalkan 
			ia tidak dilaksanakan di kawasan tadahan air yang dicadangkan;
			
			ii. Mencadangkang supaya projek pembalakan dilaksanakan dalam 
			lingkungan kuota 3000 hektar setiap tahun melalui kaedah tender 
			terbuka untuk meningkatkan hasil Kerajaan Negeri Kedah;
			
			iii. Pengurusan sungai secara bersepadu antara kedua-dua negeri 
			diwujudkan; dan
			
			iv. Mencadangkan kawasan tadahan air terlibat digazetkan sebagai 
			kawasan tadahan air. 
		
		Pihak 
		Kerajaan Negeri Kedah memaklumkan bahawa pihaknya setuju dan sedar akan 
		impak negatif yang mungkin timbul daripada pelaksanaan projek ini. Dalam 
		hal ini, pihaknya telah memberikan jaminan kepada Kerajaan Negeri Pulau 
		Pinang bahawa perkara ini masih lagi diperingkat cadangan awal dan masih 
		belum diputuskan untuk dilaksana. 
		
		Saya berpandangan perjumpaan ini sedikit sebanyak telah berjaya 
		menyampaikan mesej yang jelas kepada Kerajaan Negeri Kedah supaya 
		pelaksanaan cadangan ini dipertimbangkan sedalam-dalamnya terutama 
		kesannya kepada sektor ekonomi, sosial dan alam sekitar. Kerajaan Negeri 
		sememangnya memandang serius akan perkara ini dan saya percaya 
		perjumpaan ini merupakan inisiatif pertama kita sebelum perjumpaan 
		susulan diadakan bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul. 
		Isu 
		Pampasan Projek PDRM
		Projek 
		melibatkan bayaran pampasan berjumlah RM2,391,100.00 yang meliputi 
		peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1,459,500.00 
		manakala peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM931,600.00. Peruntukan 
		daripada Kerajaan Persekutuan telah diterima oleh Kerajaan Negeri. 
		Jumlah setinggan yang terlibat adalah meliputi rumah kediaman 60 buah 
		kediaman, 12 buah bengkel, 1 kuil Hindu, 3 tokong Cina, 6 buah stor, 2 
		kilang perabot dan 3 perusahaan gaharu.
        
		*
    
    
 Lim Guan Eng, Ketua Menteri 
		Negeri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP