Ucapan Penggulungan 
		(9) oleh Y.A.B. 
		Lim Guan Eng dalam Persidangan Dewan 
		Undangan Negeri pada hari Isnin, 28 Julai 2008: 
		Yang Berhormat Tuan Speaker,
		Ahli-ahli Yang Berhormat,
		Penghapusan bayaran saman dan kompaun 
		Pihak Berkuasa Tempatan 
		Keputusan Kerajaan Negeri untuk menghapuskan 
		saman tidak seharusnya dipertikaikan oleh Barisan Pembangkang kerana 
		ianya adalah hak Kerajaan Negeri. Ia bukan satu penyelewengan 
		sebagaimana yang disebut oleh Y.B. Penaga bahawa Kerajaan Negeri 
		telah menyeleweng wang rakyat berjumlah RM30 juta. Sebagai makluman Y.B. 
		Penaga, berdasarkan Kamus Dewan, istilah menyelewengkan bermakna 
		menggelapkan dan mencuri. Mana ada kerajaan negeri mencuri dan 
		menggelapkan wang rakyat bila ia masih kekal dalam tangan rakyat. Saya 
		ingin tegaskan bahawa, pemimpin Kerajaan Negeri tidak pernah menyeleweng, 
		menggelapkan dan mencuri sesen pun wang rakyat. Saya ingin nasihatkan YB 
		Ketua Pembangkang sekiranya ada bukti, buatlah laporan dan kami akan 
		ambil tindakan tetapi janganlah memperdagangkan fitnah, tohmahan, 
		penipuan dan pembohongan dalam Dewan yang mulia ini – ini dosa besar 
		bagi beliau.
		
		Sebaliknya penghapusan saman ini merupakan satu bentuk bayaran one-off 
		sebagai menghargai sokongan rakyat di samping mengurangkan bebanan 
		rakyat. 
		
			
				| Bil. | Bentuk Kesalahan | Bil. Kes | Amaun yang boleh dituntut (RM) | 
			
				| 1. | Letak Kereta Bermeter | 147,300 | 4,386,960.00 | 
			
				| 2. | Letak Kereta Bertiket | 33,451 | 99,110.70 | 
			
				| 3. | Kompaun Bahagian Penguatkuasa | 328,920 | 9,091,360.00 | 
			
				| 4. | Kompaun Bahagian Pelesenan | 23,150 | 1,095,630.00 | 
			
				| Jumlah | 532,721 | 14,673,068.70 | 
		
		 
		 
		 
		 
		 
		 
		 
		Sementara bagi MPSP pula 
		adalah seperti berikut :
		
			
				| Bil. | Kompaun | Bil Kes. | Amaun yang boleh dituntut (RM) | 
			
				| 1. | Kompaun letak  
				kereta | 581,670 | 14,541,750.00 | 
			
				| 2. | Kompaun 
				Penjaja | 2,364 | 591,000.00 | 
			
				| Jumlah | 584,034 | 15,132,750.00 | 
		
		Jumlah keseluruhan yang dikecualikan kutipan 
		oleh Kerajaan Negeri ialah RM29,805,818.70.
		
		Walaupun penghapusan telah diberi, namun Kerajaan Negeri melalui 
		kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan akan tetap melaksanakan kerja-kerja 
		penguatkuasaan seperti biasa dan berusaha supaya kutipan hasil 
		penguatkuasaan akan ditingkatkan.
		
		Urus Tadbir Yang Baik
		
		Y.B. ADUN Seberang Jaya telah memberikan beberapa cadangan untuk 
		mempertingkatkan lagi urus tadbir yang baik dalam bidang pentadbiran 
		tanah. Saya mengucapkan terima kasih di atas cadangan yang diberikan, 
		dan cadangan tersebut akan dikaji mengikut kesesuaian. Ingin saya 
		tegaskan di sini bahawa kerajaan baru akan berusaha bersungguh-sungguh 
		untuk meningkatkan kecekapan dalam pentadbiran tanah dan mengelak 
		sebarang bentuk penyelewengan. Memang benar Kerajaan Negeri yang baru 
		telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat kes penyelewengan. 
		Walau bagaimanapun, memandangkan siasatan belum lagi selesai, maka hasil 
		penemuan siasatan belum lagi dapat diumumkan.
		
		Y.B. berkenaan juga telah mencadangkan supaya disediakan sebidang tanah 
		untuk digunakan sebagai tempat pembakaran dan penyimpanan mayat orang 
		bukan Islam. Saya berpendapat ini satu cadangan yang baik, walau 
		bagaimanapun saya perlu melihat semula pelan pembangunan keseluruhan 
		Bandar Seberang Jaya yang disediakan oleh PDC, samada masih terdapat 
		tanah yang belum dimajukan di kawasan tersebut, dan sesuai untuk maksud 
		berkenaan. Setahu saya, PDC telah menyediakan beberapa tapak Rumah 
		Ibadat Bukan Islam (RIBI) di kawasan yang berhampiran dengan Taman 
		Burung Seberang Jaya iaitu rumah ibadat untuk kaum Cina, Hindu dan Sikh. 
		Lembaga PDC dalam mesyuaratnya pada 24 Mei 1993 telah meluluskan 
		penjualan sebidang tanah seluas satu ekar di kawasan RIBI Seberang Jaya 
		kepada Gurdwara Sahib Butterworth (GSB) dengan kadar RM5.60 / kaki 
		persegi. Surat perjanjian jual beli telah ditandatangani pada 29 
		September 1993. Antara syarat yang terkandung dalam S&P adalah bahawa 
		pihak GSB perlu memulakan kerja pembinaan dalam tempoh dua tahun dari 
		tarikh permohonan pemberian milik tanah diluluskan oleh pihak Berkuasa 
		Negeri. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini pihak GSB masih belum 
		memulakan kerja pembinaan Gurdwara berkenaan. Dalam perkara ini PDC 
		tidak bertanggungjawab / terlibat dalam pembinaannya.
		
		Y.B. ADUN Seberang Jaya melalui surat bertarikh 6 Mei 2004 telah 
		menyokong permohonan Pertubuhan Perayaan Yee Lan kepada Y.A.B. Tan Sri 
		Ketua Menteri Pulau Pinang supaya plot 11 di kawasan RIBI Seberang Jaya 
		dijadikan sebagai tapak dewan menyimpan mayat (funeral parlour). PDC 
		melalui memo kepada YAB Pengerusi Perbadanan telah memaklum balas 
		seperti berikut:
		
			i. Pertubuhan Perayaan Yee Lan adalah 
			merupakan satu bertubuhan keagamaan cina yang menyelaras upacara 
			keagamaan ’penyembahan hantu’ di kawasan perumahan dan kebanyakan 
			pertubuhan sebegini tidak berdaftar dengan pendaftar Pertubuhan.
			
			ii. Berdasarkan kepada ini, kesahihannya di dalam mewakili penduduk 
			Cina di kawasan Seberang Jaya diragui dan perlu diteliti.
			
			iii. PDC pernah merancang dewan menyimpan mayat di kawasan RIBI 
			Seberang Jaya sebelum ini dan cadangan berkenaan tidak diterima 
			dengan alasan ia jauh dari kawasan perumahan serta letak 
			bersebelahan dengan tapak rumah ibadat yang lain.
			
			iv. Tapak yang dipohon adalah merupakan tapak yang digunakan sebagai 
			tempat letak kereta untuk kegunaan pengunjung keagamaan rumah ibadat 
			bukan Islam.
		
		Pertubuhan Perayaan Yee Lan baru-baru ini 
		pada 21 April 2008 telah meminta status permohonan yang dikemukakan 
		sebelum ini melalui Y.B. ADUN Seberang Jaya. Kerajaan Negeri 
		melalui PDC telah memaklumkan kepada pihak berkenaan bahawa plot 
		tersebut telah dikenal pasti sebagai tempat letak kenderaan untuk diguna 
		bersama oleh seluruh RIBI di kawasan tersebut. Oleh yang demikian pihak 
		pemohon dinasihatkan untuk berbincang bersama bagi mendapatkan 
		persetujuan semua RIBI di kawasan tersebut terlebih dahulu. Sebarang 
		persetujuan bertulis yang diperolehi hendaklah dikemukakan kepada PDC.
		
		Isu mengenai bilangan mesyuarat Lembaga PDC yang telah diadakan dan 
		perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat
		
		Mesyuarat Lembaga PDC telah diadakan sekali pada tahun ini iaitu pada 17 
		Julai 2008 baru-baru ini. Antara perkara yang dibincangkan ialah yang 
		berkaitan aktiviti utama PDC iaitu pembangunan tanah dan pelaburan serta 
		cara untuk membantu menarik pelabur serta untuk membangunkan ekonomi 
		Negeri secara amnya dari aspek PDC.
		
		Y.B. ADUN Seberang Jaya juga telah mencadangkan supaya kawasan 
		yang diduduki oleh penduduk di kawasan perkampungan di Tanjung Tokong 
		diambil alih untuk dibuat penyusunan semula yang lebih teratur. Perkara 
		ini memang telah lama dirancang oleh UDA kerana tanah yang berkenaan 
		adalah tanah milik UDA. Walaupun pelan perancangan telah disedikan oleh 
		UDA tetapi pelaksanaanya tidak mudah kerana ia melibatkan bilangan rumah 
		yang banyak, serta timbul pelbagai bantahan dan tuntutan oleh penduduk 
		sendiri. Walau bagaimanapun, projek tersebut akan diteruskan dan proses 
		perundingan sedang dijalankan antara UDA dengan penduduk Tanjong 
		To’kong.
        
		*
    
    
 Lim Guan Eng, Ketua Menteri 
		Negeri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP