http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance
 

Ucapan Penggulungan (10) oleh Y.A.B. Lim Guan Eng dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada hari Isnin, 28 Julai 2008: 

Y.B ADUN Pulau Tikus, Y.B ADUN Sungai Bakap dan Y.B ADUN Teluk Bahang telah membangkitkan mengenai:

i. Penambahbaikan sistem aliran kerja di peringkat Kerajaan Negeri perlu dilakukan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam menghasilkan kerja yang sistematik dan berkualiti;

ii. Kejujuran dan keikhlasan pegawai dalam melaksanakan apa jua program / projek dan bukan untuk faedah diri sendiri, parti atau kumpulan; dan

iii. Tuduhan rasuah dan salah guna kuasa di kalangan kakitangan awam.

Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk mencapai sistem perkhidmatan awam yang cekap, bertanggungjawab dan telus. Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan di peringkat negeri dan daerah telah ditubuhkan bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan integriti, dan akauntabiliti dalam pentadbiran Kerajaan Negeri. Melalui Jawatankuasa ini, undang-undang dan peraturan serta proses dan sistem aliran kerja dikaji dari semasa ke semasa untuk mengatasi kelemahan pengurusan. Sistem dan prosedur kerja juga telah dikaji, diubah dan dipinda bagi meningkatkan kecekapan, keberkesanan, ketelusan serta akauntabiliti dalam perkhidmatan, di samping pencegahan rasuah, salah guna dan penyelewengan. Selain itu, pelan operasi latihan negeri telah disediakan bagi memperingkatkan tahap pengetahuan, kemahiran dan pembinaan sikap bekerja yang positif di kalangan pegawai Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir pegawai awam yang masih melakukan rasuah dan menyalah guna kuasa. Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat mengikut kes.

Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa cuba untuk mempertingkatkan kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan pentadbiran awam negeri dengan mengkaji sistem dan prosedur kerja bagi meminimakan peluang dan ruang melakukan rasuah serta salah guna kuasa. Pegawai kerajaan adalah bersifat neutral dan (dengan izin) serve government of the day. Sebagai usaha untuk menjadikan perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang yang berkesan, berintegriti, efisien, responsif dan peka dengan kehendak semasa para (dengan izin) stakeholders, kod etika sebagai landasan kepada semua anggota perkhidmatan awam untuk mengamalkan secara berterusan nilai murni seperti Benar, Amanah, Bijaksana, Telus, Adil dan Bersyukur.

Dalam aspek ini saya ingin ucapkan terima kasih kepada kakitangan kerajaan negeri yang telah berusaha menyesuaikan diri dengan prinsip urustadbir CAT khususnya YB Datuk SUK, Datuk PKN dan juga YB Penasihat Undang-undang. Tempoh peralihan ini bukanlah perkara yang senang, saya percaya dengan keikhlasan dan komitmen mereka, kita dapat mencapat matlamat yang sama iaitu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan menjadikan perkhidmatan negeri yang paling cemerlang dan juga bersih di Malaysia. Sungguhpun peribahasa Melayu menyebutkan nila setitik rosal susu sebelanga, saya percaya sekerat dua pegawai yang terpesong tidak akan menjejaskan keyakinan kerajaan negeri baru terhadap kewibawaan dan keupayaan pegawai kerajaan negeri sekalian.

Dalam menjalankan tugas murni ini, kami akan melakukan kesilapan tetapi ini hanya mencerminkan kelemahan kita sebagi insan tidak sempurna yang dicipta oleh Tuhan. Perbezaannya dengan dulu adalah kami bersedia mengakui kesilapan dan membetulkannya. Yang penting ialah kami melakukan kesilapan bukan atas sikap bejat atau nafsu tetapi atas usaha melaksanakan perubahan yang boleh membawa perbezaan positif dan meningkatkan mutu kehidupan rakyat.

Dalam pentadbiran kerajaan kami akan berpandukan pemerintah gemilang dalam zaman sejarah Islam seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, Perdana Menteri Wei Zheng dalam Dinasti Tang di bawah Maharaja Li Shih Min dan Maharaja Empayar Roma seperti Marcus Aurelius serta model moden seperti Nelson Mandela dan Mahatma Gandhi. Apabila saya ingin mengenali hikmah Umar Abdul Aziz saya digelarkan ”kurang ajar” oleh Ahli Parlimen UMNO tetapi apakah salahnya sekiranya seorang bukan Islam hendak belajar teladan baik pemimpin Islam ataupun seorang Islam hendak mencontohi amalan baik pemimpin bukan Islam.

Sudah sampai masanya kita lepaskan diri daripada cengkaman ekstremis perkauman, agama dan fahaman politik. Sudah tiba masanya kita bebaskan diri dari belenggu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penafian hak rakyat.

Marilah kita mengorak langkah baru dengan lonjakan paradigma bahawa kerajaan bukanlah penindas rakyat seperti yang dinyatakan oleh Confucious ”a cruel government is more frightening than a ferocious tiger” tetapi pembantu, pembela dan penyayang rakyat. Marilah kita melengkapkan diri dengan pengetahuan agar kita boleh memilih yang terbaik agar mendaki puncak keunggulan. (Choose the best to be on top of the rest)

Marilah kita mengenali diri sebagai warganegara Malaysia terdahulu lebih daripada suku kaum Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban. Bukannya seperti sistem BN di mana orang Melayu hanya bantu orang Melayu di UMNO dan orang Cina bantu orang Cina di MCA atau orang India bantu orang India di MIC tetapi di mana sistem politik berwajah baru di mana orang Melayu bantu orand India dan orang Cina bantu orang Melayu di antara satu sama lain di bawah naungan PR.

Sama seperti UNESCO mengiktiraf Georgetown sebagai tapak warisan dunia, kita mahu raikan dan banggakan warga Pulau Pinang bukan kerana agama, jantina atau kaumnya tetapi atas keupayaan, kesungguhan, ketabahan, etika, nilai dan amalan hidup yang bertakwa dan prestasi yang cemerlang .

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon menyokong.


* Lim Guan Eng, Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP