Perutusan
Hari Pekerja oleh Lim Guan Eng di Petaling Jaya pada 1 Mei 2008:
Petronas
harus memberikan separuh daripada keuntungan kasar RM 80 bilion setahun
kepada keluarga berpendapatan rendah untuk mengelakkan ketirisan dalam
pengurusan dana besarnya yang menjalankan projeknya yang kurang efisien
dan berkesan
Sempena hari
yang bersejarah pada 1 Mei ini, DAP mengucapkan Selamat Hari Pekerja
kepada semua warga pekerja di negara ini tidak kira di sektor swasta
atau awam. Hari ini harus direnung sebagai hari di mana hak-hak pekerja
di negara ini mesti dijamin tanpa sebarang bentuk penindasan atau
penderaan.
Masalah
pekerja di negara ini banyak melibatkan cara pendtabiran negara termasuk
pengurusan ekonomi. Sebenarnya isu-isu hak pekerja saling berkaitan
dengan masalah-masalah negara.
Mengikut Laporan Daya Saing Dunia atau Global Competitiveness Report
2007, Malaysia berada pada kedudukan ke-23 dalam dunia, iaitu jatuh satu
tempat dari tangga ke-22. Sedangkan 10 tahun lalu, Malaysia berada di
tempat ke-17. Jelas bahawa ekonomi Malaysia semakin menjunam. Daya saing
Malaysia terus merosot.
Kadar inflasi
juga turut meningkat walaupun Kerajaan Pusat Barisan Nasional mendakwa
ia dalam kadar 2 peratus – sedangkan berdasarkan kenaikan harga barang
dan perkhidmatan, inflasi sebenarnya sudah mencecah 20 peratus.
Semua masalah
ini memberi kesan teruk kepada kehidupan pekerja di negara kita. Memang
kita terus berjuang untuk memastikan hak-hak pekerja akan terus terjamin.
Namun pada masa yang sama, usaha meningkatkan taraf hidup merangkumi
semua pekerja dan keluarga mereka.
Bagi membantu
meningkatkan taraf hidup pekerja, kita perlu bersama-sama berkongsi
hasil keluaran negara, terutamanya minyak dan gas Petronas. Perkongsian
hasil ini bukan sahaja dengan mengguna pakai keuntungan Petronas untuk
pembangunan semua negeri diagihkan secara adil. Petronas harus
memberikan separuh daripada keuntungan kasar RM 80 bilion setahun kepada
keluarga berpendapatan rendah untuk mengelakkan ketirisan dalam
pengurusan dana besarnya yang menjalankan projeknya yang kurang efisien
dan berkesan. Adalah tidak adil Petronas untung besar sedangkan rakyat
jelata susah hasil inflasi ekoran kenaikan harga minyak antarabangsa
yang mencecah US$120 setong.
Pekerja-pekerja di Malaysia juga dapat dielakkan dari beban tekanan
hidup jika Kerajaan Pusat melaksanakan dasar-dasar yang lebih adil dan
baik untuk rakyat, termasuk usaha mengurangkan atau menghaopuskan kadar
tol di lebuhraya-lebuhraya, menghentikan tindakan menaikkan kadar
elektrik dan air serta menyekat kenaikan harga minyak dan gas kerana
kita tahu Petronas terus mencatatkan keuntungan besar berikutan kenaikan
harga di pasaran antarabangsa. Mengana syarikat swasta Independent Power
Producers boleh diberikan subsidi gas berpuloh-puloh bilion ringgit
sedangkan mereka dapat untung berbilion-bilion ringgit?
DAP juga
menyeru agar Kerajaan Pusat memulihkan ekonomi kita segera untuk
mengurangkan jurang pendapatan antara kaya dan miskin. Ini boleh
dimulakan secara jujur dan ikhlas dengan tidak bersifat dendam terhadap
negeri-negeri yang bukan lagi di bawah pentadbiran Barisan Nasional
seperti Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan. Hanya
hubungan harmoni di antara Kerajaan Pusat dan semua kerajaan negeri akan
memastikan kaum pekerja terjamin hak dan sentiasa dilindungi.
Sebagaimana
yang DAP gariskan dalam dasar-dasar perjuangan DAP, kita mahu
menggalakkan persaingan untuk produk-produk dan perkhidmatan bagi
menurunkan harga barangan keperluan.
Kita juga mahu mewujudkan peluang saksama berdasarkan merit dan
keperluan. Usaha mengurangkan jurang perbezaan pendapatan, mengurangkan
pergantungan terhadap tenaga kerja asing dan menggalakan pembayaran gaji
adil akan tetap diteruskan.
Begitu juga
iltizam DAP untuk menarik pelaburan berkualiti yang membawa
pekerjaan-pekerjaan bergaji lumayan di Pulau Pinang dan DAP harap usaha
ini mendapat sokongan semua pihak pekerja dan majikan di seluruh negara.
Sebagaimana
yang telah DAP berulang kali nyatakan, kita telah lama menderita akibat
dasar-dasar yang memecahbelahkan dan mendiskriminasi rakyat. Kita mahu
menjadi Bangsa Malaysia yang menghargai kebebasan dan kepelbagaian
kepercayaan agama dan keturunan etnik kita.
Kaum pekerja
di Malaysia boleh bersatu padu melalui aspirasi bersama demokrasi yang
menghormati kesaksamaan politik, peluang-peluang ekonomi yang saksama
dan keadilan sosio-ekonomi.
*
Lim Guan Eng, Setiausaha
Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan dan ADUN Air Puteh