http://dapmalaysia.org 
 

Kenyataan media oleh Loke Siew Fook di Seremban pada hari Rabu, 10 September 2008: 

Menteri Besar Negeri Sembilan tidak faham Perlembagaan Negeri  

Saya merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan semalam yang memetik beliau menyatakan bahawa beliau akan membubarkan Dewan Undangan Negeri jika terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti hingga membolehkan pembangkang menguasai negeri berkenaan.

Kenyataan beliau seolah-olah membayangkan ketidakpercayaan beliau kepada ketaatan ADUN-ADUN Barisan Nasional. Sekiranya ada ADUN BN yang ingin meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat, saya mengalu-alukan tindakan mereka. Tindakan mereka bukanlah untuk kepentingan peribadi tetapi boleh mencetuskan perubahan yang besar dalam arena politik negeri yang semakin berpecah dan segala keputusan pentadbiran kerajaan dibuat untuk kepentingan segelintir pihak tertentu.

Kenyataan tersebut juga menunjukkan keangkuhan Datuk Seri Mohamad Hasan dan beliau seolah-olah tidak mengerti kuasa beliau sebagai Menteri Besar dan langsung tidak menghormati Institusi Diraja. Menteri Besar hanya boleh menasihatkan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan untuk membubarkan DUN. Kuasa untuk membubarkan DUN terletak dalam tangan Tuanku. Tuanku boleh menolak nasihat daripada Menteri Besar dalam perkara pembubaran DUN seperti yang termaktub dalam Fasal 56 (2) Perlembagaan Negeri.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebagai Ketua Negeri juga boleh melantik mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri yang mendapat sokongan majoriti dalam DUN untuk memegang jawatan Menteri Besar tertakluk kepada beberapa syarat tertentu. Kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan tersebut seolah-olah membelakangkan kuasa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Saya menyeru Datuk Seri Mohamad Hasan supaya mendapatkan nasihat daripada Penasihat Undang-undang Negeri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang berhubung-kait dengan kuasa dan perkara dalam Perlembagaan Negeri atau Undang-undang Tubuh Negeri untuk mengelakkan sebarang keraguan di kalangan rakyat.


* Loke Siew Fook, Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan merangkap ADUN Lobak dan Ahli Parlimen Rasah