Kenyataan
Akhbar oleh Lim Guan Eng di Pulau Pinang pada hari Rabu, 17 September
2008:
Memohon maaf di atas pembatalan banyak program
Dengan rasa rendah hati, saya menyusun
sepuluh jari memohon maaf kepada semua pertubuhan, orang perseorangan,
agensi swasta atau kerajaan serta penganjur majlis berbuka puasa di atas
pembatalan program rasmi dan bukan rasmi saya pada beberapa hari ini.
Kemuliaan hati di atas jemputan ikhlas anda semua amat saya hargai dan
saya ucapkan terima kasih. Malangnya, keadaan tegang dan kelam-kabut
yang tercetus pada 12 September baru-baru ini, berikutan penangkapan dan
penahan Tan Hoon Cheng; wartawan akhbar Sin Chew Daily, Ahli Parlimen
Seputeh; Teresa Kok dan penulis blog; Raja Petra Kamaruddin di bawah
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Oleh yang demikian, sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, saya telah
bergegas untuk bersama-sama dengan rakan-rakan daripada pelbagai
pertubuhan dan agensi, berpadu tenaga memberikan sokongan kepada anak
watan Pulau Pulau Pinang, Tan Hoon Cheng dan keluarganya. Terima kasih
saya ucapkan kepada Ketua Polis Negeri, Dato’ Wira Ayub bin Yaakob di
atas kerjasama yang diberikan.
Setelah keadaan kembali normal dan stabil dengan Tan Hoon Cheng turut
dibebaskan pada petang hari yang berikutnya iaitu kurang daripada 24
jam, saya telah bergegas ke Kuala Lumpur bagi bersama-sama mereka di
sana memberikan sokongan kepada tahanan ISA yang lain iaitu Teresa Kok
dan Raja Petra serta keluarga masing-masing.
Sesungguhnya, saya percaya kezaliman dan kerakusan mereka yang berkenaan
menyalahgunakan undang-undang seperti ISA ini bagi kepentingan diri dan
politik masing-masing amat dikesali. Kita tidak mahu ramai lagi yang
tidak berdosa menjadi mangsa mainan politik mereka yang tidak
bertanggungjawab ini.
Oleh itu, pada bulan Ramadhan Al-Mubarak yang mulia ini, di samping para
Muslimin dan Muslimat berjuang menahan diri daripada lapar dan dahaga
serta melakukan nahi mungkar, marilah kita semua termasuk kaum-kaum lain
di Malaysia bersatu hati untuk berjuang membantah penggunaan ISA.
Ayuhlah semua kita jadikan ISA ini satu sejarah sahaja!
*
Lim Guan Eng, Ketua Menteri
Pulau Pinang & Setiausaha Agong DAP