red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Ean Yong Hian Wah di Petaling Jaya pada Rabu, 26 Ogos 2009:

Tuduhan zalim mengenai TBH dan Exco Selangor membuat tuntutan palsu tidak berasas

Empat keping dokumen tuntutan dan sebutharga kerja telah dikemukakan kepada Inkues semalam oleh SPRM dan telah dibicara pada hari ini.

Mengikut Pemangku Penguasa Kanan SPRM Mohd Anuar Ismail, dokumen-dokumen ini dicetak oleh pembantunya Mohd Najeib dari laptop Teoh Beng Hock. Empat dokumen ini tidak ditandatangani atau dicop dengan rasmi oleh sesiapa. Beliau mengatakan bahawa mengikut siasatan SPRM didapati kerja yang dinyatakan tidak dilakukan oleh kontraktor.

Dua keping tuntutan kepunyaan Syarikat Aris dan Fizami Construction; dua keping sebutharga kepunyaan MKMN Enterprise dan MA Bina Melor Enterprise. Saya tidak pernah lihat dokumen-dokumen demikian sebelum ini.

Oleh itu, peguam saya Salim Bashir telah menunjukkan semua gambar, sebutharga dan tuntutan sebenar mengenai kerja-kerja yang telah disiapkan. Akhirnya, beliau sendiri setuju dan mengaku kepada koroner bahawa kerja-kerja telah disiapkan. Mohd Anuar juga beritahu bahawa dia tidak pernah melihat gambar-gambar dan tuntutan-tuntutan yang ditunjuk oleh peguam tersebut.

Peguam saya juga menyebut bahawa empat keping tuntutan dan sebutharga ini juga boleh diperolehi melalui satu “blog hitam” yang tidak dikenali dan bukan daripada pejabat SPRM sahaja.

Ini telah membuktikan bahawa tuduhan zalim mengenai Teoh Beng Hock dan saya membuat tuntutan palsu adalah tidak berasas langsung.

Saya ingin mengatakan SPRM telah menyerbu pejabat-pejabat daerah yang berkaitan dan merampas segala dokumen-dokumen mengenai peruntukan saya. Semua dokumen dan gambar yang saya serahkan kepada Inkues hari ini merupakan apa yang disimpan di pejabat-pejabat daerah masing-masing.

Saya mahu tanya, adakah SPRM menjalankan siasatan dengan serius, saksama dan profesional? Kalau tidak, sebagai seorang pegawai siasatan mengapakah Mohd Anuar tidak pernah semak dokumen-dokumen dan gambar-gambar tersebut dan terus menuduh kita membuat tuntutan yang palsu di dalam Inkues?

Ini jelas menunjukkan bahawa SPRM telah menpunyai agenda politik sendiri bukan sahaja mahu melarikan tanggungjawab ke atas kematian Teoh Beng Hock, tetapi juga mahu menjatuhkan imej DAP dan Pakatan Rakyat. Kita boleh lihat bahawa SPRM hanya mahu mengalihkan tumpuan kita dari kisah benar kematian Toeh Beng Hock.

SPRM perlu berhenti sekarang untuk terus menjadi alat bagi Barisan Nasional untuk melaksanakan rancangan merampas kuasa di negeri Selangor.


* Ean Yong Hian Wah, Pengerusi DAP Selangor & Exco Kerajaan Negeri Selangor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional