red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Press Release by Ng Wei Aik at Georgetown on Friday, 11th December 2009:

Hishamuddin should let us know whether Utusan is above the Law of Malaysia!!

DAPSY Negeri Pulau Pinang, mengutuk keras tindakan akhbar Utusan Melayu yang memaparkan artikel yang menyinggung perasaan warganegara Malaysia yang berketurunan India di Negara ini melalui artikel yang bertajuk “Al-Kisah India di India dan India di Malaysia” yang disiarkan pada 09hb Disember 2009. Utusan Melayu sekali lagi menunjukkan belangnya yang penuh dengan racun perkauman. Penulis artikel tersebut adalah individu yang cuba mendapatkan perhatian melalui gimik politik yang sempit sebegini. Sebelum ini individu tersebut pernah menulis satu artikel yang memfitnah EXCO Kanan Negeri Selangor Saudari Teresa Kok, yang juga dipaparkan dalam akhbar Utusan Melayu. Fitnah tersebut telah mengakibatkan penahanan beliau di bawah Akta ISA.

Ini bukanlah kali pertama Utusan Melayu memaparkan fitnah sebegini, dan jelas ini bukan kali pertama Laporan Polis dibuat terhadap artikel berbaur perkauman dan fitnah oleh Utusan Melayu. Namun sehingga kini, tidak ada tindakan oleh pihak Polis terhadap akhbar yang seringkali memaparkan artikel-artikel yang jelas berniat jahat yang mampu mengugat ketenteraman awam. Sehingga kini juga tidak ada tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri terhadap akhbar tersebut menurut Akta Penerbitan & Percetakan. Ini jelas menunjukkan agensi-agensi kerajaan seperti Polis dan KDN mengamalkan sikap double-standard di mana tidak akan ada tindakan terhadap Utusan Melayu, walaupun artikel-artikelnya mempunyai unsur-unsur perkauman yang jelas tidak menghormati sentimen kaum-kaum lain di Malaysia.

Adakah Utusan Melayu mempunyai imuniti di segi Undang-Undang Malaysia? Kalau ada akhbar vernakular Tamil dan Cina mengeluarkan artikel yang menyentuh sensitiviti kaum, pasti akan lesenya digantung atau dibatalkan terus. Kenapa ada double-standard dalam penguatkuasaan Undang-Undang? Apa jadi kepada kenyataan Menteri di dalam Parlimen bahawa Penguatkuasa Undang-Undang seperti Polis tidak berbelah bahagi? Adakah kesemua itu hanya sebahagian daripada cakap kosong Barisan Nasional?

DAPSY Pulau Pinang sedar bahawa walaupun kami membuat laporan Polis, namun tetap tidak akan ada tindakan terhadap Utusan Melayu. DAPSY Pulau Pinang tidak akan membuat laporan Polis terhadap Utusan Melayu, kerana laporan polis tersebut akan sia-sia sahaja kerana beberapa laporan Polis sebelum ini pun tidak pernah ada tindakan. DAPSY Pulau Pinang mencabar pihak Polis dan Kementerian Dalam Negeri, khususnya Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Hishamuddin Hussein untuk mengambil tindakan terhadap Utusan Melayu, berdasarkan pada laporan-laporan Polis yang dibuat sehingga kini. Kalau Dato Seri Hishamuddin betul mengahayati konsep 1Malaysia yang diomong-omong oleh Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak, beliau harus mengarahkan KDN untuk mengambil tindakan terhadap Utusan Melayu. Kalau tidak berdaya untuk mengambil tindakan terhadap akhbar berbaur perkauman itu, wajarlah pemimpin-pemimpin Barisan Nasional terutamanya Dato Seri Najib Razak, jangan terus melaungkan slogan 1Malaysia, yang hanya bersifat retorik.

DAPSY Pulau Pinang mengalu-alukan keberanian beberapa pemimpin Parti Komponen Barisan Nasional yang tampil ke depan untuk membuat laporan Polis terhadap sifat perkauman Utusan Melayu, walaupun, mereka yang tampil ke depan untuk membuat laporan Polis tidaklah memberangsangkan. Jangan pula yang membuat laporan pada hari ini menarik baliknya setelah “diarahkan” oleh segelintir pihak cuba untuk bermaharaja lela di Negara ini. DAPSY Pulau Pinang tertanya-tanya ke mana perginya Pemimpin-pemimpin utama Bahagian Pemuda parti-parti komponen Barisan Nasional seperti GERAKAN, MCA, PPP, & MIC? Masih segar dalam fikiran kita bagaimana bahagian pemuda satu parti komponen Barisan Nasional telah memberi tekanan kepada KDN untuk menggantung lesen percetakan akhbar Tamil, yang telah tersilap menerbitkan gambar yang sensitif agama, hanya disebabkan oleh kesilapan teknikal. Akhbar Tamil tersebut telah dihukum oleh KDN hanya kerana kesilapan teknikal, yang tidak disengajakan. Utusan Malaysia pula sering, sengaja memaparkan artikel-artikel yang jelas bersifat perkauman ekstrimis. Bagaimana pula Bahagian Pemuda Parti Komponen Barisan Nasional ini akan memberikan reaksi?

Bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin GERAKAN akan bereaksi dalam isu ini? Pemuda GERAKAN mempunyai masa yang amat lapang untuk membuat demonstrasi di hadapan Dewan Undangan Negeri yang jelas berpunca daripada sifat cemburu terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang, tetapi tidak ada masa untuk isu-isu yang amat penting sebegini. DAPSY Pulau Pinang amat menyesal dengan sifat “ketidakberaniaan” yang ditonjolkan oleh Parti-parti komponen Barisan Nasional terutamanya GERAKAN apabila berdepan dengan UMNO ataupun media UMNO seperti Utusan Melayu. DAPSY Pulau Pinang juga jelas memandang serius artikel berbaur perkauman yang diterbitkan oleh Utusan Melayu, dan mengutuk keras pemimpin-pemimpin UMNO yang berdrama dengan menggunakan slogan 1Malaysia, yang hanya retorik.

Sekian. Terima Kasih.


* Ng Wei Aik, Setiausaha Pemuda DAP (DAPSY) Negeri Pulau Pinang & ADUN Komtar

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional