red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada Isnin, 28hb Disember 2009:

Membuat laporan polis sendiri untuk siasat Guan Eng - kenapa tidak untuk orang UMNO?

Mengapakah Ketua Polis Selangor dan PDRM Selangor tidak membuat laporan polis sendiri terhadap insiden demonstrasi kepala lembu sedangkan PDRM Selangor pula berbuat demikian dalam siasatan mereka terhadap Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng?

Mengapa pula tiada tindakan susulan berikutan laporan-laporan polis yang dibuat oleh saya terhadap kenyataan-kenyataan menghasut oleh wakil-wakil UMNO semasa mereka berucap di Perhimpunan Agung UMNO beberapa tahun yang lepas?

Jikalau PDRM ingin dilihat sebagai menjalankan tugas dengan bertanggungjawab, adil, saksama dan tidak berat sebelah, maka kedua-dua persoalan di atas tidak harus berlaku.

Tindakan di mana PDRM Selangor di bawah Ketua Polis Negeri Selangor Dato’ Khalid Abu Bakar yang membuat laporan polis sendiri terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Lim Guan Eng telah dilihat sebagai satu tindakan yang bermotifkan politik dan saya ingin menekankan bahawa ini bukan kali pertama peristiwa sedemikian berlaku.

Pada bulan Januari 2009, Ketua Polis Negeri Selangor pernah secara terbuka menegur kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memandang remeh terhadap situasi jenayah di Selangor di mana beliau menuduh kerajaan Pakatan Rakyat tidak menjemput beliau untuk menghadiri mesyuarat EXCO bagi memberi taklimat jenayah di Selangor serta tidak bekerjasama dengan PDRM dalam usaha membanteras jenayah.

Saya telah mengatakan pada masa itu bahawa beliau sebagai seorang kakitangan awam tidak seharusnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh dilihat sebagai berat sebelah dari aspek politik. Jikapun beliau mempunyai apa-apa rintihan atau perasaan tidak puas hati dengan mana-mana pegawai atau pentadbiran kerajaan Selangor, beliau boleh menulis terus kepada Dato’ Menteri Besar Selangor dan bukannya mengkritik kerajaan secara terbuka kerana ini bukan perbuatan yang professional.

Kedua, saya juga pada masa itu mengatakan bahawa adalah tidak adil untuk Ketua Polis Negeri Selangor menegur kerajaan Pakatan Rakyat tidak serious dalam membanteras jenayah hanya kerana beliau tidak dijemput untuk memberi taklimat kepada Exco kerana semua wakil rakyat PR di Selangor memandang serious terhadap perkara ini dan mereka telah menjalinkan hubungan kerja yang baik dengan PDRM di tempat mereka untuk membanteras jenayah.

Mengapakah tidak boleh PDRM Selangor melakukan yang sama apabila golongan sayap kanan dan extremis perkauman UMNO mengeluarkan kenyataan yang lebih bersifat menghasut?

Saya meminta PDRM Selangor supaya menjalankan tugas mereka dengan adil. Hanya dengan ini nama baik PDRM dapat dipulih dan disanjung tinggi oleh rakyat Malaysia.


* Lau Weng San; Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional