red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Akhbar oleh Ean Yong Hian Wah di Shah Alam pada Isnin, 28hb Disember 2009:

Hian Wah: Saya langsung tiada sebarang kuasa untuk mengarahkan pihak polis untuk menghentikan siasatan terhadap Sdr Guan Eng

Saya berasa terkejut apabila Ketua Polis Selangor Dato’ Khalid Abu Bakar mendakwa bahawa saya memberi arahan kepada pihak polis supaya menghentikan siasatan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengenai ucapannya di Konvensyen Pakatan Rakyat yang lalu.

Dalam ucapan tersebut, Guan Eng meluahkan pendapat bahawa Teoh Beng Hock dibunuh dan ucapan tersebut dianggap sebagai cuba menghasut dan mempengaruhi orang awam oleh pihak polis.

Sebenarnya kenyataan saya di Malaysiakini, saya hanya menyeru kepada pihak polis supaya menghentikan siasatan ke atas Guan Eng dengan serta merta, kerana rakyat ingin polis menyiasat kisah sebenar kematian Teoh Beng Hock. Jikalau polis mendapati saranan sebegini adalah keterlaluan, mereka boleh membuat keputusan dengan sendiri.

Saya ingin menegaskan bahawa walaupun saya merupakan seorang ahli Exco, tetapi saya langsung tiada sebarang kuasa untuk mengarahkan pihak polis untuk membuat sesuatu. Hanya Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri atau Perdana Menteri mempunyai kuasa tersebut.

Selama ini, pihak polis memang jarang mengikut apa yang diminta oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan mereka haruslah bertindak secara profesional dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

Saya bersiap sedia untuk memberi kerjasama jika pihak polis mahu merekodkan percakapan saya mengikut Seksyen 506(ugutan jenayah), Kanun Jenayah. Akhir sekali, saya berharap pihak polis dapat menjalankan tugas secara profesional dan bebas.


* Ean Yong Hian Wah; Pengerusi DAP Selangor & Exco Kerajaan Negeri Selangor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional