red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Ucapan Lau Weng San semasa membahas Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (No.1) 2009 di peringkat dasar di DUN Selangor pada Khamis, 9 Julai 2009:

Dasar berjimat-cermah, belanja secara berhemah dan value for money harus diteruskan dalam mengurus kewangan negeri Selangor

Selangor tidak dapat mengelakkan dirinya daripada terjejas dengan kemerosotan ekonomi yang melanda dunia sekarang. Mengikut fakta yang saya perolehi pelaburan asing di seluruh negara merosot melebih 90% berbanding dengan tempoh lima bulan pertama tahun lalu, iaitu daripada RM46.1 bilion jatuh ke RM4.2 bilion.

Fenomena ini berlaku di merata-rata tempat termasuk di Selangor. Walaupun begitu, saya percaya jikalau prinsip-prinsip seperti ketelusan, keterbukaan dan bermerit diteruskan, kutipan hasil dan pelaburan yang kita dapat kumpulkan pasti akan bertambah kerana rakyat akan mempunyai keyakinan terhadap kerajaan Selangor, bahawa cukai dan hasil yang mereka bayar akan digunakan sebaik-baiknya untuk rakyat Selangor. Mereka akan melihat membayar cukai kepada kerajaan Selangor adalah untuk membantu mereka sendiri.

1. Pemberian bantuan kepada sekolah-sekolah SJKT, SJKC, SAR serta Sekolah Menengah Persendirian Cina perlu dikekalkan untuk tahun yang akan datang.

a. Think Out Of The Box Adakah kerajaan Selangor boleh menawarkan biasiswa kepada murid-murid dan pelajar-pelajar sekolah yang menunjukkan prestasi akademik dan ko-kurikulum yang cemerlang? Jikalau boleh saya ingin bercadang supaya Yayasan Selangor diberi peluang untuk memainkan peranaan yang lebih penting dalam membangunkan modal insan di Selangor dengan peruntukan yang lebih banyak diberi kepada Yayasan Selangor pada masa depan.

2. Program SPIES dan PTRS perlu dirombak semula mengikut kesesuaian kawasan masing-masing. Saya lebih rela jikalau peruntukan ini dapat digunakan untuk memperkasakan perpustakaan-perpustakaan awam yang ada di Selangor di bawah PPAS, dan juga perpustakaan-perpustakaan yang terletak di bawah PBT. RM35 juta diperuntukkan pada tahun 2009 untuk tujuan ini dan saya menggesa supaya tulisan-tulisan atau karya-karya dalam pelbagai bentuk judul dan bahasa untuk memperkayakan simpanan buku dalam perpustakaan negeri kita supaya ianya boleh dikunjungi oleh rakyat pelbagai kaum.

Menurut Laporan Tahunan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor pada tahun 2007, terdapat 930,000 buku dipinjam. Bandingkan angka ini dengan bilangan penduduk di Selangor yang mencecah 5 juta, ini bermakna rakyat Selangor hanya membaca 0.18 buku setiap tahun. Bagaimana kita boleh mengelar kita sebagai negeri maju jika rakyat kita kurang membaca?

Oleh itu saya ingin mencadangkan supaya dijadikan Tahun 2010 ini sebagai Tahun Membaca Selangor dan kita mengiatkan budaya membaca di seluruh negeri Selangor. Kita boleh menjemput penerbit-penerbit, pengedar-pengedar atau penulis-penulis buku untuk bersama-sama dengan kerajaan kerajaan negeri Selangor untuk membangunkan budaya membaca ini di Selangor.

Saya memberi sokongan penuh kepada program-program seperti Pesta Buku tetapi saya berpendapat ianya tidak harus tertumpu di sekitar Shah Alam sahaja tetapi perlu diperluaskan ke tempat-tempat yang lain seperti Klang, Petaling Jaya, Ampang Jaya, Bangi dan Sekinchan.

3. Kakitangan awam meminta kerajaan mempertimbangkan untuk mengambil kakitangan-kakitangan kontrak yang telah berkhidmat lebih daripada 5 tahun atau 10 tahun sebagai kakitangan kekal. Saya juga bercadang supaya temuduga terbuka diadakan untuk perlantikan ke jawatan-jawatan tinggi seperti Ketua Jabatan, Setiausaha dan Datuk Bandar/YDP supaya kita dapat menyerap pakar-pakar dari luar untuk berkhidmat di bawah kerajaan Selangor.

4. Perlantikan kontraktor-kontraktor oleh kerajaan negeri Selangor perlu lebih telus dan lebih terbuka tanpa mengira kaum dan agama. Tarikh tamat pendaftaran juga perlu ditetapkan supaya mereka yang dilantik ini boleh menawarkan perkhidmatan mereka dengan kos yang munasabah seawal yang mungkin. Memandangkan kerajaan Persekutuan telah menghapuskan syarat ekuiti Bumiputera sebanyak 30% untuk syarikat-syarikat yang disenaraikan di BSKL, maka saya juga mencadangkan kepada kerajaan Selangor untuk mengambil syarikat-syarikat bukan Bumiputera untuk berurusniaga dengan kerajaan Selangor.

5. Kerajaan negeri juga perlu lebih berhati-hati dalam pemberian tanah kepada persatuan-persatuan tertentu. Kerajaan perlu menetapkan satu proses saringan dan pemantauan tentang penggunaan tanah ini agar ianya tidak disalahgunakan untuk memperkayakan individu-individu tertentu seperti apa yang berlaku dalam skandal PKFZ, di mana tanah yang begitu luas, iaitu sebanyak 1000 ekar diberi kepada Koperasi Pembangunan Pulau Lumu KPPL dan KPPL menjual balik tanak itu kepada KDSB dan seterusnya LPK untuk dibangunkan projek PKFZ. Alangkah sayangnya tanah kerajaan yang begitu bernilai diberi kepada sebuah koperasi dengan tujuan untuk membantu koperasi itu, tetapi tanah itu telah digunakan untuk mengaut keuntungan cepat.

6. Pelaburan apakah corak pelaburan yang kita ingin menarik? Adakah ia industri yang berasaskan teknologi hijau, industri makanan halal dan yang berasaskan pertanian. Satu soul-searching exercise perllu dijalankan.

ADUN Sungai Panjang menuduhkan bahawa Selangor dipintas oleh Sarawak. Apa saya faham ialah sebab mengapa Sarawak dipintas Selangor ialah Sarawak mempunyai satu projek Peleburan Aluminium di Similajau, Sarawak, Projek ini adalah satu projek usahasama antara CMS Sdn. Bhd. dengan Rio Tinto dari Australia. Saiz pelaburannya ialah RM5.3bilion. Memang dengan pelaburan yang sebegini besar, Sarawak dapat memintas Selangor tetapi harus diingatkan juga bahawa industri peleburan aluminium ini merupakan satu industri yang tidak mesra alam sekitar kerana ianya memerlukan tenaga elektrik yang banyak. Oleh kerana terhadap surplus bekalan tenaga elektrik daripada stesen janakuasa Bakun, maka kerajaan Sarawak bermati-matian untuk mencari pelaburan asing untuk menghadamkan surplus tenaga elektrik ini. Bagi saya, ini bukan model pelaburan yang diperlukan di Selangor.

7. Prestasi Tourism Selangor dalam mempromosikan sektor pelancongan di Selangor. Beberapa lawatan ke Singapura oleh PBT yang dianjurkan oleh Tourism Selangor Sdn. Bhd. tidak dirancang dengan rapi dan pulangan yang diperolehi daripada lawatan ini adalah rendah dan saya meminta Exco yang berkenaan untuk memantau perkara ini dengan betul-betul. Saya meminta supaya satu senarai lawatan rasmi PBT dan kerajaan Selangor yang dianjurkan untuk setu tahun yang lalu oleh Tourism Selangor Sdn. Bhd.

8. Bandar Selamat mencadangkan agar ditubuhkan satu lagi jawatankuasa di bawah PBT ialah Jawatankuasa Bandar Selamat untuk menyelaras segala perkara berhubungan dengan pencegahan jenayah melalui perancangan Bandar yang lebih bersepadu. Buat masa sekarang ianya hanya merupakan satu jawatankuasa Ad-Hoc di peringkat PBT sahaja.

9. Sejumlah RM44.9 juta telah diperuntukkan untuk Rancangan Mencegah Banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor untuk tahun 2009 dan sekarang dimaklumkan pula JPS ingin menambah peruntukan sebanyak RM7juta. Apabila diperhatikan peruntukan tambahan ini, peruntukan RM7 juta ini adalah untuk menampung emolumen dan bayaran pekerja, saya berpendapat ini harus dielakkan kerana kerja-kerja pencegahan bajir seperti mendalamkan sungai adalah kerja-kerja yang tidak boleh dilengah-lengahkan lagi. Saya ingat seharusnya wang ini sewajarnya digunakan untuk menjalankan kerja-kerja pencegahan banjir sebagai priority.

10. Saya juga meminta kerajaan supaya memantau betul-betul projek penyaluran air dari Pahang ke Selangor supaya air yang dibekalkan itu tidak akan dicemari sianida dan unsure-unsur logam berat yang lain kerana saya difahamkan tapak tadahan air di Pahang itu terletak berdekatan dengan tapak lombong emas yang menggunakan sianida untuk melombong emas.

11. ADUN Sungai Panjang menuduh kerajaan negeri Selangor membuat perjanjian dengan sebuah syarikat kroni untuk mengembangkan internet jalur lebar di Selangor. ADUN Sungai Panjang menuduh syarikat ini tidak mempunyai lessen WiMAX oleh SKMM. Saya memang mengaku syarikat ini tidak mempunyai lesen WiMAX kerana teknologi yang digunakan pun bukan WiMAX. Teknologinya ialah HyWIN iaitu satu teknologi yang mengabungkan WiFi dengan WiMAX untuk perkhidmatan dan kelajuan internet jalur lebar yang lebih stabil. Oleh itu, tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Sungai Panjang adalah tidak berasas malahan memesongkan dewan.

Perkara-perkara yang masih belum menampak apa-apa penambahbaikan:

Dalam sidang DUN yang lepas, saya pernah membangkitkan perkara-perkara yang berikut:

1. Pindaan terhadap garis panduan perancangan bandar dan desa yang sedia ada, khususnya perkara-perkara yang jelas sudah ketinggalan zaman, contohnya penyediaan tempat letak kereta di kawasan perumahan berbilang tingkat (strata) yang lebih banyak.

2. Cadangan untuk diadakan rizab tanah / infrastuktur untuk pembinaan struktur-struktur berikut:

a. Rizab tanah pemancar gelombang elektromagnet syarikat-syarikat telekomunikasi agar isu-isu pemasangan menara base-station dapat diselesaikan untuk projek perumahan yang akan datang.

b. Menetapkan supaya sesuatu projek perumahan/pembangunan perlu dilengkapi dengan talian telefon dan talian fibre optic untuk membantu memecukan penggunaan internet jalur lebar di Selangor.

c. Rizab tanah untuk pemasangan CCTV sejajar dengan matlamat ke arah bandar selamat.

3. Pewartaan Draf Rancangan Tempatan Petaling Jaya II yang masing belum diputuskan sehingga sekarang walaupun beberapa isu besar telah dibangkitkan dalam sesi pendengaran awam.

Sehingga sekarang, saya masih belum mengetahui sama ada sebarang mesyuarat teknikal atau tindakan telah diambil oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) walaupun JPBD telah mengemukakan jawapan bertulis terhadap cadangan-cadangan yang saya bangkitkan dalam sidang DUN yang lalu.

Saya juga ingin bertanya soalan-soalan yang berikut:

  • Apakah status Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor sekarang selepas penubuhannya pada sidang DUN yang lepas?

  • Apakah perkembangan-perkembangan terbaru pusat-pusat kebudayaan Tionghua, Melayu dan India yang bakal ditubuhkan, khususnya Pusat Kebudayaan Tionghua?

  • Ucapan syabas kepada Exco Perumahan untuk menwujudkan Petugas COB untuk membantu menyelesaikan masalah perumahan bertingkat. Pada masa yang sama, saya tidak bersetuju dengan cadangan Exco Perumahan untuk membeli lot rumah bumiputera kerana ianya tidak akan membantu menyelesaikan masalah rakyat dan bumiputera. Apa yang diperlukan ialah rumah mampu milik yang diperlukan bukan sahaja golongan bumiputera tetapi juga masyarakat bukan bumiputera yang tidak seberapa berada.

Dengan itu, saya memohon menyokong.


* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional