red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Ucapan Lau Weng San semasa mencadangan Usul Peraturan Tetap 26 mengenai penggesaan kepada Kerajaan Persekutuan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal RM12.5 bilion PKFZ pada Rabu, 15 Julai 2009:

Menggesa Kerajaan Persekutuan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal RM12.5 bilion PKFZ

Saya berdiri di bawah Peraturan Tetap 26(1) ingin membawa satu usul yang berbunyi seperti berikut:

“Bahawa Dewan yang mulia ini menggesa Kerajaan Persekutuan menubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat secara menyeluruh skandal RM12.5 bilion Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang bermula dengan penjualan tanah yang diberi kerajaan Selangor kepada Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad pada tahun 1990-an.”

Saya telah menghantar satu usul kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor untuk membahas skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang mencecah RM12.5 bilion dengan menyeru kerajaan persekutuan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja Siasatan untuk menyiasat skandal ini secara menyeluruh.

Ini merupakan tugas yang paling mustahak buat masa sekarang kerana untuk beberapa hari yang lalu, terdapat beberapa individu dan syarikat yang terlibat atau disebut dalam laporan yang dikeluarkan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) akan menimbang untuk membawa Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan PwC ke mahkamah untuk tuduhan memfitnah.

Saya amat khuatir jikalau isu tentang PKFZ ini akan dilupakan dan seterusnya dihilangkan dalam kamar mahkamah. Justeru itu, kerajaan persekutuan harus bertindak cepat dan segera menubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja Siasatan untuk menyiasat skandal ini dengan lebih menyeluruh. Apa yang pasti ialah dakwaan fitnah adalah tidak diperlukan sama sekali pada masa sekarang.

PKFZ terletak di atas satu bidang tanah seluas 1000 ekar di Pulau Lumut (sekarang bernama Pulau Indah). Tuanpunya asal tanah ini, Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad (KPPLB) menjual tanah ini secara beransur-ansur kepada Kuala Dimensi Sendirian Berhad (KDSB) dengan harga RM1.37/kaki2 dan RM2.98/kaki2, ialah sebanyak RM94 juta. PKA membeli tanah daripada KDSB dengan harga RM25/kaki2, termasuk kos infrastruktur. Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) telah membuat penilaiannya pada harga RM10.16/kaki2 tanpa mengira kos infrastruktur.

Oleh itu, apa yang kita bercakap-cakap ialah kerugian sebanyak RM8.79/kaki2 hingga RM23.63/kaki2 terhadap kerajaan negeri apabila tanah yang diberi hakmilik kepada KPPLB ini asalanya tanah kerajaan negeri Selangor. Sekarang skandal ini menjadi skandal mencecah RM12.5 bilion. Adakah kita namapak mana-mana individu yang diheret ke mahkamah, didakwa di mahkamah dan dihukum seberat-beratnya?

ADUN Sementa telah memberitahu media bahawa beliau akan mendakwa PWCH. Malahan beliau bukan sahaja telah menghantar notis tuntutan kepada PWCH, beliau juga menghantar notis tuntutan yang sama kepada sembilan individu termasuk media. Mereka ini termasuklah ADUN Kinrara, Lembaga Pelabuhan Klang, Sun Media Corporation, Suara KeADILan, New Straits Time Press dan Pelita Koridor Sdn. Bhd.

Daripada menghantar notis tuntutan kepada pihak-pihak yang dinyatakan di atas, ADUN Sementa sewajarnya memberi penerangan terbuka mengapa KPPLB menjual tanah yang diberi oleh kerajaan itu kepada pemaju swasta? Kita tidak harus lupa bahawa lokasi yang diduduki oleh PKFZ sekarang terletak bersebelahan dengan Pelabuhan Barat dan pada masa tanah ini dijual kepada KDSB, Pelabuhan Barat baru bermula beroperasi dan sekaligus menjadikan tanah kepunyaan KPPLB ini satu tanah emas.

Skandal PKFZ ini bukan sahaja serious dari segi nilai wang ringgit yang terlibat, ianya juga berkenaan dengan bagaimana syarikat-syarikat, kopeerasi-koperasi, pertubuhan-pertubuhan dan persatuan-persatuan yang mempunyai kaitan rapat dengan UMNO tergamak menjual tanah yang diberi oleh kerajaan untuk keuntungan cepat. Ini merupakan sebab utama saya membawa usul ini ke Dewan Yang Mulia ini untuk diputuskan agar Kerajaan Persekutuan membentuk sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal ini.


* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional