red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Memorandum by Pakatan Rakyat Youth to Prime Minister on Setting Up Royal Commission of Inquiry into Teoh's Death on Tuesday, 21st July 2009:

Penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock

21 Julai 2009

Y.A.B. DATO’ SERI MOHD. NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
Perdana Menteri Malaysia
Pejabat Perdana Menteri,
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA.

YAB Dato’ Seri,

PENUBUHAN SURUHANJAYA DIRAJA UNTUK MENYIASAT KEMATIAN TEOH BENG HOCK

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara yang tersebut di atas.

2. Seperti YAB sedia maklum, isu kematian misteri mendiang Teoh Beng Hock (Setiausaha Politik kepada EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah) semasa dalam sesi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor dan mayatnya terjumpa di perkarangan Ibu Pejabat SPRM Selangor pada 16 Julai 2009 telah menimbulkan pelbagai persoalan dan tanda tanya mengapa kejadian tersebut boleh berlaku.

3. Memandangkan isu ini telah menimbulkan pelbagai kesangsian orang ramai dan menjadi perhatian seluruh negara, Kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat Malaysia bukan sahaja kepada pihak SPRM tetapi juga institusi penguatkuasa kerajaan secara keseluruhannya.

4. Justeru itu, PEMUDA PAKATAN RAKYAT yang terdiri daripada Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) serta Angkatan Muda Keadilan (AMK) secara sebulat suara menyeru YAB Dato’ Seri untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kes kematian mendiang Teoh Beng Hock dan cara-cara penyiasatan SPRM serta isu-isu yang berkaitan. Suruhanjaya Diraja ini perlu ditubuhkan segera dan sebaik-baiknya dalam mesyuarat Kabinet 22 Julai 2009 kerana kelewatan tindakan dari pihak Kerajaan hanya akan menimbulkan lebih banyak persepsi yang negatif terhadap pentadbiran YAB Dato’ Seri.

5. Seluruh rakyat Malaysia mengharapkan tindakan pantas daripada YAB Dato’ Seri supaya keadilan dapat ditegakkan dan sesiapa yang bertanggungjawab dalam kematian mendiang Teoh Beng Hock akan dibawa ke muka pengadilan.

Sekian. Terima kasih.

 

……………………………      ……………………………         ……………………………

LOKE SIEW FOOK                NASARUDIN TANTAWI            SHAMSUL ISKANDAR
KETUA DAPSY                      KETUA DPP PUSAT                 KETUA AMK


* Pakatan Rakyat Youth

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional