red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada Sabtu, 7 Mac 2009:

Mendesak Karpal memohon maaf – tindakan yang menyangsikan!

Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara Latt Sharizan Abdullah yang meminta Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh memohon maaf terhadap mereka merupakan satu permintaan yang menyangsikan!

Latt Sharizan Abdullah, yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Simfoni Maya Sdn Bhd, sebuah syarikat pengiklan papan iklan luaran (outdoor billboard advertising company), berkata bahawa Pemuda Umno Selangor akan mengemukakan tiga usul kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Ahli Parlimen berkaitan salah laku Karpal dan Gobind agar dikenakan tindakan sewajarnya diambil, serta mendesak Karpal dan Gobind Singh memohon maaf kepada ahli Parlimen dan rakyat.

Kenyataan Latt Sharizan Abdullah adalah tidak masuk akal dan menyangsikan.

Apa yang jelas berlaku pada hari itu ialah kumpulan pemuda-pemuda UMNO di bawah Latt Sharizan Abdullah telah bertindak melulu dan mengambil undang-undang di tangan mereka dengan mengepung Karpal Singh, yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, daripada memasuki ke dalam Dewan Rakyat.

Tindakan mereka inilah yang sepatutnya dikecam dan dibawa ke Jawatankuasa Hak Istimewa Ahli Parlimen kerana mereka telah bertindak melulu menghalang Ahli Parlimen memasuki Dewan Rakyat.

Memang benar bahawa tidak sehelai rambut Karpal Singh yang gugur dalam kejadian itu tetapi adakah wajar untuk 12 orang pemuda UMNO yang kuat dan sihat ini mengepung Karpal Singh, seorang OKU yang berkerusi roda?

Tidak bolehkah mereka menulis kepada Karpal Singh atau menghantar memorandum kepada Karpal Singh untuk menerangkan perasaan tidak puas hati mereka? Perlukah mereka meneriak di dalam kalangan Dewan Rakyat hanya untuk menunjukkan keheroan mereka?

Lebih-lebih lagi, Karpal Singh telah menarik balik perkataan “celaka” yang dilemparkan beliau terhadap Pemuda UMNO semasa berucap di Dewan Rakyat dan Speaker telah menerima penarikan perkataan tersebut oleh Karpal Singh.


* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional