red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Ucapan oleh Lau Weng San semasa membahas Usul Tergembar di bawah peraturan mesyuarat 17(1) di DUN Shah Alam pada Jumaat, 13 Mac 2009:

Ucapan perbahasan usul kerajaan persekutuan sabotaj kerajaan negeri

1. Malaysia adalah sebuah negara Persekutuan. Persekutuan bermaksud suatu sistem pemerintahan yang terdiri daripada beberapa buah negeri yang disekutukan demi kepentingan bersama.

2. Setiap negeri mempunyai kuasa eksekutif dan perundangan ke atas perkara-perkara yang tidak memerlukan keseragaman seperti Kerajaan Tempatan, meletakkan hal-ehwal perhutanan di bawah kuasa Kerajaan Negeri. Kerajaan Pusat pula mempunyai kuasa perundangan dan eksekutif atas perkara-perkara berhubung dengan luar negara dan perkara-perkara umum yang memerlukan keseragaman seperti pendidikan, pertahanan dan kewangan.

3. Ini bermakna Kerajaan Negeri mempunyai kuasa bebas dalam hal pentadbiran negeri tanpa campur tangan Kerajaan Pusat.

4. Di Malaysia, amalan federalisme ini dinyatakan melalui agihan kuasa secara jelas sebagaimana yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

5. Pelaksanaan program people centric oleh pejabat Pembangunan Negeri Selangor dengan matlamat menjatuhkan kerajaan negeri Selangor adalah satu penyalahgunaan kuasa yang bercanggahan dengan prinsip demokrasi.

6. Dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Persekutuan Negeri Selangor Bil. 1/2009 bertarikh 26 Februari 2009, program ini dirangka dengan matlamat menjatuhkan kerajaan negeri Selangor.

7. Program ini bertujuan untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada kerajaan persekutuan dengan meningkatkan imej dan kredibiliti pemimpin, sekaligus menjatuhkan imej dan kredibiliti pembangkang.

8. Program ini juga bertujuan untuk memenangi Pilihanraya Umum ke-13 dengan majoriti dua pertiga di Parlimen dan membantu Barisan Nasional menawan kembali negeri Selangor daripada pembangkang.

9. Berbanding dengan pelbagai program yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sepanjang satu tahun yang lalu di bawah tema “Merakyatkan Ekonomi Selangor” (M.E.S.), program ini dilaksanakan dengan cara yang adil dan saksama, di mana ianya dibuka kepada semua warga negeri Selangor tanpa mengira keturunan etnik dan agama, dan tanpa mengira fahaman politik.

10. Perkataan “tanpa mengira fahaman politik” ini merupakan sesuatu yang amat penting dalam penghayatan erti sebenar program ini. Ini bermakna program ini akan memanfaat sesiapa sahaja yang memenuhi syarat-syarat permohonan termasuk ahli-ahli parti politik UMNO, MCA, MIC dan sebagainya.

11. Ini merupakan pendekatan yang kita amalkan dalam mentadbir negeri tercinta ini. Walaupun begitu, untuk program people centric ini, ianya telah dirangka sedemikian rupa di mana ianya dijadikan alat untuk menjaga kepentingan politik Barisan Nasional.

12. Alasan bahawa ianya program-program ini dijalankan untuk kawasan-kawasan yang dimenangi oleh pembangkang juga adalah tidak benar kerana mengikut maklumat yang diperolehi saya, program-program telah dijalankan di kawasan-kawasan yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat, iaitu kawasan Parlimen Ampang yang meliputi kawasan DUN Lembah Jaya dan DUN Bukit Antarabangsa. Program-program juga dijalankan di kawasan DUN Seri Muda yang dimenangi oleh rakan saya yang duduk di sebelah kanan saya.

13. Saya tidak kecil hati dengan program-program yang dijalankan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Selangor yang diletakkan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

14. Kerajaan negeri di Pakatan Rakyat telah mengarahkan supaya butiran terperinci penggunaan peruntukan pembanguan kawasan di setiap kawasan DUN di Selangor dipaparkan dalam laman sesawang setiap Pejabat Tanah dan Daerah.

15. Malahan terdapat rakan-rakan saya yang lain turut memaparkan butiran ini dalam laman sesawang dan blog mereka seperti Yang Berhormat Subang Jaya dan Pendamaran. Saya juga telah mengikut jejak langkah mereka. Hari ini, kerajaan juga akan mengiystiharkan semua aset yang diperolehi Exco selepas pilihanraya umum yang lalu di laman sesawang rasmi kerajaan negeri Selangor.

16. Justeru itu, tahap ketelusan yang ditonjolkan oleh wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat adalah amat tinggi. Persoalannya, adakah Pejabat Pembangunan Negeri Selangor juga berhasrat berbuat demikian? Adakah wakil rakyat Barisan Nasional juga berhasrat untuk mengikut jejak langkah kita? Dua hari yang lalu, saya melemparkan soalan ini kepada Ketua Pembangkang dan Ketua Pembangkang memberi jawapan yang positif. Oleh itu, saya memohon supaya mereka mengotakan janji mereka.

17. Saya juga tidak kecil hati dengan program-program yang dijalankan di bawah Pejabat Pembangunan Negeri Selangor ini asalkan ianya memanfaatkan rakyat jelata. Tetapi soalannya ialah mengapakah ianya perlu dilaksanakan atas nama “menjatuhkan imej dan kredibiliti pembangkang”? Mengapakah ianya perlu disaratkan dengan niat jahat sebegini? Tidak bolehkan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan bekerjasama untuk memajukan negeri Selangor seperti yang dititah oleh Tuanku Sultan Selangor?

18. Satu lagi perkara yang memeranjatkan saya ialah cadangan keanggotaan program people-centric ini ialah Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pillihanraya (SPR). SPR seharusnya dijadikan sebuah badan yang bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pengaruh politik.

19. Apabila nama SPR wujud dalam senarai keanggotaan ini, ini telah menimbulkan tanda soal. Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh SPR dalam menjalankan program mesra rakyat? Apakah udang di sebalik batunya? Kita dimaklumkan bahawa proses pesempadanan semula kawasan-kawasan parlimen dan DUN telah dimulakan awal tahun ini dan akan berjalan selama setahun dua lebih. Adakah sempadan kawasan yang ditukar sehingga ianya memihak kepada pihak-pihak yang tertentu? Saya tidak tahu tetapi saya ingin mendapatkan jawapannya daripada rakan-rakan kita dari Barisan Nasional.

20. Program people-centric ini hanya merupakan salah satu program bertopengkan unsur politik yang dapat diketahui sehingga sekarang. Saya tidak tahu berapa banyak program seperti ini yang masih ada. Saya merasakan bahawa perbahasan ini diperlukan kerana mungkin ada lebih banyak program yang belum diketahui. Mungkin program-program ini dijalankan secara sulit dengan lebih dahsyat. Saya tidak tahu, rakan-rakan saya yang lain daripada Pakatan Rakyat tidak tahu, YAB Dato’ Menteri Besar dan barisan Exconya juga tidak tahu.

21. Kampung Tunku amat terkilan dengan taktik politik murahan yang ditunjukkan di sini. Malahan tindakan sedemikian rupa pernah berlaku di Selangor dan negeri-negeri yang lain, ini termasuk:

  • Proses penstrukturan semula industri air di Selangor – Kerajaan persekutuan telah memberi persetujuan kepada kerajaan negeri Selangor untuk mendahului dan mengetuai rundingan dengan empat syarikat konsesi air itu tetapi tiba-tiba kerajaan persekutuan melalui SPAN mengambil alih rundingan itu selepas kerajaan Selangor menawarkan harga tawarannya.
  • Pembinaan enam buah sekolah SJKC yang dijanjikan oleh kerajaan persekutuan masih belum dibina walaupun kerajaan negeri telah meluluskan pemberian tanah.
  • Arahan secara rasmi dan tidak rasmi kepada Guru Besar dan Pengetua sekolah untuk tidak menjemput wakil rakyat Pakatan Rakyat menghadiri program-program di dalam sekolah. Malahan terdapat wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat yang dihalang daripada memasuki sekolah biarpun mereka ingin membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi sekolah itu. Contohnya YB Kinrara. Terdapat juga ahli-ahli lembaga pengelola yang diugut kononnya peruntukan kepada sekolah mereka akan ditarik balik jikalau mereka melibatkan wakil rakyat Pakatan Rakyat dalam program-program yang dianjurkan sekolah mereka.
  • Pembinaan LRT dari Kelana Jaya hingga ke Subang Jaya dan kemudian sambung ke Bukit Jalil yang diwar-warkan oleh kerajaan persekutuan dua tiga tahun yang lalu sampai sekarang satu batang besi pun tidak nampak.
  • Kekurangan anggota polis untuk membanteras jenayah di Selangor dan kekurangan inisiatif untuk membanteras pusat permainan komputer haram. Sebenarnya PBT di Selangor mempunyai hasrat yang kuat untuk membanteras kegiatan jenayah tetapi PBT sendiri perlu melepasi pelbagai halangan untuk melaksanakan program Bandar Selamat sehingga pegawai-pegawai perlu bertungkus-lumus untuk mendapat kerjasama daripada Bukit Aman untuk menjalankan program-program seperti Polis Bantuan dan pemetaan aktiviti jenayah GIS-crime mapping.
  • Kelas-kelas tadika Kemas di premis kerajaan negeri juga sengaja dikosongkan sebagai satu taktik mengelirukan rakyat bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat menganiaya pelajar tadika seperti yang dilakonkan di Terengganu dahulu. Tetapi isu ini cepat selesai apabila kerajaan-kerajaan Pakatan rakyat menafikan dan mengarahkan kelas tadika berjalan seperti biasa.
  • Perbuatan mencabul konsep federalisme berterusan apabila Menteri Pelancongan membatalkan MoU berkaitan program pelancongan di lima negeri berkaitan kerana kononnya tidak bersefahaman. Adakah rakyat lima negeri ini bukan rakyat Malaysia?
  • Peruntukan pembangunan daripada kerajaan persekutuan kepada Selangor juga dikatakan akan disalurkan kepada Pejabat Pembangunan Negeri dan bukannya seperti dahulu iaitu disalurkan kepada PBT dan Pejabat Tanah dan Daerah. Untuk itu, saya juga agak bimbang sama ada peruntukan MARRIS yang penting untuk PBT-PBT bagi menyelenggara jalan-jalan mereka akan disampaikan kepada mereka atau tidak, di mana peruntukan MARRIS ini merupakan peruntukan wajib yang bakal diberi kepada kerajaan negeri oleh kerajaan persekutuan.
  • Malahan peruntukan-peruntukan untuk menjalankan program Local Agenda 21 kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) seolah-olah telah dibekukan.

22. Justeru itu, adalah jelas bahawa program ini juga merupakan tindakan subversif untuk mensabotaj kerajaan Pakatan Rakyat yang telah diamanahkan oleh rakyat Selangor untuk mentadbir negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu. Tindakan ini pasti akan mendatangkan kesan-kesan negatif kepada rakyat Selangor secara umum.

23. Lebih-lebih lagi, Kerajaan Persekutuan tidak harus menyalahgunakan jentera kerajaan untuk menjalankan agenda politiknya. Padahalnya, Kerajaan Persekutuan harus memahami konsep persekutuan ini, dan menerima keputusan rakyat serta bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk sama-sama membangunkan Selangor demi kepentingan rakyat seperti yang dititah oleh Tuanku Baginda Sultan Selangor.

24. Saya di sini memohon pihak-pihak yang berkenaan untuk menerangkan perkara ini secara terbuka, khususnya Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Bin Hj. Hassan dan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Selangor, Tn Hj Abdul Ghani Bin Salleh serta Ketua Pengarah ICU Tan Sri Khalid Ramli.

25. Saya juga berharap kerajaan negeri akan meneliti perkara ini dan sama-sama memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah ini.

Sekian, terima kasih.


* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional