red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Loke Siew Fook di Seremban pada Jumaat, 27 Mac 2009:

Datuk Seri Mohamad Hasan patut melepaskan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan

Walaupun pemilihan pucuk pimpinan sesebuah parti sepatutnya tidak ada kena-mengena dengan pihak luar, namun oleh kerana kedudukan UMNO masih sebagai parti pemerintah maka ia memberi kesan kepada barisan kepimpinan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh UMNO. Itu antara sebabnya pemilihan Timbalan Presiden UMNO menjadi satu persoalan yang begitu penting di kalangan rakyat kerana pemimpin yang terpilih juga akan menyandang kerusi Timbalan Perdana Menteri. Begitu juga jawatan-jawatan Menteri Kabinet.

Saya mengucapkan syabas kepada Datuk Shahrir Samad kerana beliau menghormati pendirian dan prinsip bahawa sekiranya beliau telah ditolak oleh perwakilan partinya sendiri, maka adalah tidak sesuai untuk beliau terus menyandang jawatan Menteri. Justeru, keputusan beliau untuk melepaskan jawatannya dalam Kabinet adalah tepat dan sesuatu yang patut dihormati oleh semua pihak.

Saya juga berasa terkejut dengan kegagalan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mempertahankan kerusinya dalam Majlis Tertinggi UMNO. Sekiranya keputusan oleh perwakilan partinya ialah menolak peranan beliau dalam kepimpinan parti, maka ini ialah seolah-olah satu undi tidak percaya ke atas beliau.

Untuk mengelakkan sebarang perebutan kuasa dalaman yang akan menjejaskan kestabilan politik di Negeri Sembilan dan memberi impak negatif ke atas ekonomi, maka langkah yang terhormat untuk Datuk Seri Mohamad Hasan ialah mengikut jejak langkah Datuk Shahrir Samad untuk melepaskan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.


* Loke Siew Fook, Pengerusi DAP Negeri Sembilan & Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional