red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Ucapan Lau Weng San semasa membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2010 di peringkat dasar pada Khamis, 12 November 2009:

Ucapan Perbahassan DUN Selangor - Rang Undang-undang Perbekalan 2010

Kampung Tunku berterima kasih dan ingin memulakan serangkap pantun untuk renungan kita semua.

Yang tidur akhirnya bangun pula,
Yang bangun akhirnya tidur juga,
Yang hilang akhirnya muncul pula,
Yang muncul akhirnya hilang juga.

Pantun ini saya khaskan untuk rakan saya daripada Kuala Kubu Baru dan Pelabuhan Klang. Semoga mereka dapat menghayati makna-makna di sebalik pantun ini.

Mengelakkan ketirisan dan mempertingkatkan pendapatan

1. Kampung Tunku telah meneliti laporan Ketua Audit Negara terhadap laporan kewangan, prestasi kewangan Kerajaan Negeri serta laporannya terhadap prestasi kewangan dan pengurusan beberapa agensi-agensi, badan-badan berkanun, pihak berkuasa tempatan, anak-anak syarikat Kerajaan Negeri dan jabatan Kerajaan Negeri.

2. Rata-ratanya, Kerajaan Negeri mendapat pujian daripada Ketua Audit Negara di mana hasil Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat (PR) telah bertambah sebanyak 18% pada tahun 2008 berbanding dengan tahun 2007 apabila kerajaan Selangor masih di bawah Barisan Nasional (BN)

3. Sementara waktu, Kerajaan Negeri Berjaya menambah hasil dan mengurangkan tunggakan hasil negeri pada tahun 2008. Kecairan tunai Kerajaan Negeri juga berada dalam keadaan baik oleh Ketua Audit Negara.

4. Sementara itu, pencapaian pengurusan kewangan pada tahun 2008 oleh jabatan/agensi negeri juga menunjukkan peningkatan. Majlis Agama Islam Selangor berada dalam keadaan sangat baik manakala 17 buah Jabatan/Agensi negeri berada dalam keadaan baik. Ini merupakan satu peningkatan berbanding dengan tahun 2007 di mana hanya lapan buah agensi/jabatan berada dalam keadaan baik dan dua lagi pada tahap memuaskan sahaja.

5. Walaupun begitu, Ketuan Audit Negara telah memberi teguran-teguran yang amat mengejutkan buat kita semua tentang prestasi kewangan dan pengurusan sesetengah agensi-agensi, badan-badan berkanun, pihak berkuasa tempatan, anak-anak syarikat Kerajaan Negeri dan jabatan Kerajaan Negeri.

6. Memang tidak boleh dinafikan bahawa bajet Kerajaan Negeri merupakan perkara yang terpenting bagi sesebuah kerajaan. Biarpun begitu, yang selalu dilalaikan oleh orang ramai dan media ialah cara penjawat-penjawat awam mengendalikan wang yang sebegitu besar dan banyak. Kampung Tunku berpendapat bahawa apa yang sama penting ialah perisian kepada bajet sesebuah kerajaan dan sama ada sesuatu peruntukan itu telah dibelanjakan dengan berhemah atau tidak.

7. Ketirisan masih berlaku.

A) Jabatan Agama Islam Selangor – Pengurusan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA)

i. Perjanjian perlantikan penyelia dan guru KAFA yang tidak ditandatangani.

ii. Elaun guru KAFA yang terlebih bayar.

iii. Penempatan murid melebihi 40 orang dalam satu kelas.

iv. Prasarana dan kemudahan asas tidak lengkap dan tidak kondusif.

B) Jabatan Perhutanan Negeri Selangor – Pengurusan Hutan, Kepentingan Kepada Alam Sekitar

i. Penguatkuasaan yang tidak memuaskan dan masih terdapat pencerobohan hutan simpanan kekal

C) Perbendaharaan Negeri Selangor – Pengurusan Sistem Perakaunan Berkomputer Standard Kerajaan Negeri

i. Matlamat SPEKS masih belum kecapaian. Tujuh penyata bagi tahun 2008 yang dikemukakan untuk audit masih disediakan secara manual.

D) Lembaga Urus Air Selangor dan Agensi Bekalan Air Negeri – Pengurusan Kualiti Air Minum

i. Tangki dan kolam imbangan loji pembersihan air Sungai Sireh tidak pernah dicuci melebihi 10 tahun.

ii. Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS) tidak mencuci 309 tangki dan kolam airnya pada tahun 2008.

E) Jabatan Pertanian Negeri Selangor – Pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan Negeri Selangor.

i. Objektif utama Taman Kekal Pengeluaran Makanan masih belum mencapai sepenuhnya.

F) Jabatan Pengairan Dan Siliran Negeri Selangor – Projek Tebatan Banjir Di Kawasan Shah Alam, Daerah Petaling.

i. Semakan audit mendapati pengurusan tujuh projek tebatan banjir yang melibatkan kos RM4 juta di sepanjang lembangan Sungai Damansara tidak memuaskan.

ii. Tiada perancangan menyeluruh, tiada penyelarasan dengan agensi kerajaan yang lain, kontraktor yang dilantik tidak mematuhi syarat yang ditetapkan oleh CIDB sehingga berlakunya “method of construction” yang tidak bersesuaian dan sebagainya.

iii. [Wijaya Baru Sdn. Bhd.]

G) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor – Pengurusan Bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor

i. Semakan audit mendapati pengurusan penyewaan premis PKNS tidak memuaskan.

ii. Perjanjian sewa tidak ditandatangani, tidak diperbaharui, lewat ditandatangani.

iii. Aspek kawalan keselamatan di asset-aset PKNS tidak memuaskan.

H) Majlis Bandaraya Shah Alam – Projek Penswastaan Pembangunan Tapak Kuarters Seksyen 20, Shah Alam.

i. MBSA kehilangan dua lot tanah bernilai RM10 juta yang diswastakan kepada pemaju swasta untuk mendapati bangunan kuarters

I) Pengurusan PKNS Infra Berhad (PIB) – tadbir urus PIB tidak memuaskan.

i. Pelantikan Lembaga Pengarah dan pengurusan perbelanjaan manfaat Lembaga Pengarah tidak selaras dengan peraturan dan Amalan Terbaik tadbir Urus Korporat.

ii. Objektif penubuhan syarikat secara keseluruhannya tidak tercapai.

8. Ketirisan yang berlaku ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk memastikan ketirisan seperti ini tidak terus berlaku lagi. Kampung Tunku meminta kepada Ketua-Ketua Pengarah, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Daerah, Datuk-Datuk Bandar serta semua YDP PBT perlu memberi laporan pendek atau maklum balas ringkas kepada barisan EXCO dan Menteri Besar secepat mungkin. Kita tidak harus menunggu PAC untuk memanggil mereka untuk memberi keterangan tetapi mereka perlu menyegerakan respons mereka kepada eksekutif jikalau jabatan / agensi mereka telah disebut-sebutkan dalam laporan Ketua Audit Negara.

9. Sehingga sekarang, Dewan Negeri Selangor telah menubuhkan beberapa jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas (select committee) yang ditugaskan untuk memantau eksekutif khususnya berkenaan dengan perbelanjaan wang awam. Tujuan-tujuan penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa ini bukan untuk mencabuli kuasa-kuasa eksekutif tetapi untuk memantau dan menyemak sistem penyampaian perkhidmatan awam.

10. Dengan adanya sistem-sistem pemantauan ini, Kerajaan Negeri dapat mengesan sebarang aktiviti penyelewengan dengan lebih cepat dan lebih berkesan, serta mampu mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyelesaikannya supaya ianya tidak berlarutan sehingga disiasat oleh pihak-pihak berkuasa yang lain. Kampung Tunku difahamkan bahawa 41 kes di dalam Laporan Ketua Audit Negara telah dikenalpasti untuk siasatan lanjutan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

11. Baru-baru ini, SPRM dalam satu kenyataannya bertarikh 21 Oktober 2009 telah memaklumkan berkaitan laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2008. Pihak SPRM sedang mengkaji laporan berkenaan untuk mengesan jika terdapat sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengurusan dana awam.

12. Kajian ini merupakan prosedur biasa yang dilakukan setiap tahun bagi memastikan ketelusan dalam setiap penyata dan pengurusan kewangan yang telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

13. Jika terdapat sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, maka tindakan selanjutnya akan dilaksanakan oleh pihak SPRM berdasarkan prosedur siasatan yang sedia ada.

14. Kampung Tunku berpendapat, sekiranya semua penjawat awam dapat menjalankan tugas dengan jujur dan ikhlas, dan jikalau sistem-sistem pemantauan yang Kampung Tunku sebutkan tadi dapat berfungsi dan berjalan dengan bebas dan adil, maka bukan sahaja kita dapat mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan awam kita, malahan teguran-teguran daripada Ketua Audit Negara juga akan berkurangan. Akhirnya kita dapat melindungi penjawat-penjawat awam kita daripada disiasat SPRM.

Menoyokong SELCAT dan SELESA untuk memartabatkan keutuhan Dewan Negeri Selangor

15. Kampung Tunku berasa kesal dengan tindakan beberapa orang Ahli Yang Berhormat di Dewan Yang Mulia ini untuk mengheret SELCAT ke mahkamah dengan memfailkan saman pemula terhadap Pengerusi SELCAT dan enam anggota SELCAT termasuk dua orang ADUN BN yang menganggotai SELCAT iaitu Permatang dan Dusun Tua, serta Setiausaha Dewan dan Kerajaan Selangor.

16. Walaupun mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian, tetapi tindakan mereka telah sekali lagi menunjukkan kecelaruan fikiran mereka.

17. Memadailah kalau mereka sekadar hendak mendakwa Tuan Speaker dan SELCAT, tetapi sekarang Setiausaha Dewan yang merupakan seorang penjawat awam yang hanya menjalankan tugas pun didakwa bersama. Kalau ada orang mengadu bahawa SELCAT membuli penjawat awam, Kampung Tunku rasa tindakan menyaman Setiausaha Dewan ini lagi teruk.

18. Kecelaruan fikiran mereka tidak dapat Kampung Tunku bayangkan sehingga mereka sanggup mengheret orang sendiri ke mahkamah. Sudah cukup kita menyaksi kepincangan MCA dan sekarang pula kita lihat UMNO Selangor sendiri lawan sendiri sehingga dua orang ADUN BN pun didakwa bersama.

19. Kerajaan Selangor menjunjung prinsip pengasingan kuasa dan semangat ini juga telah termaktub di dalam Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh tentang Keistimewaan Dewan Negeri.

20. Perkara 72(1) berbunyi “Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah.”

21. Kenyataan ini juga jelas maknanya iaitu mana-mana perjalanan Dewan Negeri tidak boleh dicabar di Mahkamah. Oleh itu, tindakan ketiga-tiga orang ADUN ini jelas telah melanggari peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

22. Mana-mana dewan atau badan perundangan yang bercirikan sistem Westminster memperuntukkan kuasa kepadanya untuk membuat undang-undang dan menubuhkan jawatankuasa pilihan khas.

23. Setiap Dewan memiliki dan mengawalkan pelbagai hak istimewa. Keluasan hak istimewa parlimen adalah berasaskan hukum dan adat. Sir William Blackstone, seorang hakim terkemuka England pada abad ke-18 menyatakan bahawa hak istimewa ini adalah "very large and indefinite", dan tidak dapat ditakrifkan kecuali oleh Dewan sendiri.

24. Antara hak istimewa utama Dewan-dewan adalah kebebasan bercakap dalam debat, iaitu tiada apa-apa yang dikatakan oleh mana-mana Ahli Dewan boleh disoalkan dalam mana-mana mahkamah atau institusi lain di luar Parlimen.

25. Suatu lagi hak istimewa didakwa adalah kebebasan dari penangkapan kecuali derhaka besar, feloni atau pelanggaran aman

26. Dewan juga memiliki kuasa untuk menghukum pelanggaran hak istimewa mereka. Penghinaan Parlimen — contohnya, keingkaran suatu sepina dikeluarkan oleh seorang jawatankuasa — boleh juga dihukum. Hukuman-hukuman dikenakan oleh mana-mana Dewan tidak boleh dicabarkan dalam mana-mana mahkamah.

Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor (SELESA)

27. Perkara ini juga berkaitan dengan cadangan untuk menwujudkan satu enakmen baru yang dinamakan sebagai Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor atau singkatannya “SELASA”.

28. Kampung Tunku menyeru Kerajaan Selangor untuk meneliti butiran-butiran di dalam SELESA ini dengan cepat serta menyelesaikan masalah-masalah teknikal yang sedang dihadapi.

29. Berikutan dengan kes pendakwaan terhadap SELCAT dan Setiausaha Dewan, maka Kampung Tunku rasa adalah penting untuk Kerajaan Selangor menwujudkan enakmen ini untuk melindungi Ahli-ahli Dewan dan Penjawat Awam Dewan Negeri daripada pendakwaan dan kes-kes mahkamah berkenaan dengan urusan Dewan yang jelas mempunyai unsur-unsur politik.

Ketidakseimbangan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bercanggahan dengan semangat persekutuan federalisme

30. Semasa membentangkan Bajet 2010 pada 10 November 2009, Dato’ Menteri Besar telah menyentuh tentang terimaan daripada Kerajaan Persekutuan yang telah merosot dari segi peratusan pada tahun 2009 jika dibandingkan dengan tahun 2008 dan 2007.

31. YAB Menteri Besar juga menyebut bahawa projek-projek persekutuan seperti Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) kini dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) dan tidak lagi dilaksanakan melalui agensi-agensi pelaksana di peringkat tempatan dan akar umbi seperti Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

32. Ini sememangnya sesuatu yang bercanggahan dengan semangat federalism yang antara lain menggariskan sikap saling menghormati yang perlu ada di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan. Kedua-dua Kerajaan Negeri dan persekutuan mempunyai hak, had dan kebebasan masing-masing dalam menjalankan tugas-tugas pemerintahan kerajaan mengikut peruntukan undang-undang.

33. Dalam konteks Malaysia, undang-undang yang dimaksudkan itu tidak lain tidak bukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

34. Kerajaan Persekutuan menafikan tanggungjawabnya untuk membayar royalti minyak 5% kepada Kerajaan Negeri. Jadi apa yang dibayar Kerajaan Persekutuan selama ini kepada Kerajaan Negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak? Bukankah ia wang royalti?

35. Nisbah hasil Kerajaan Persekutuan terhadap jumlah keseluruhan hasil semua Kerajaan Negeri telah berkembang daripada 4.4 pada tahun 1990 ke 10.4 pada tahun 2007.

36. Nisbah Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan terhadap jumlah keseluruhan jumlah keseluruhan perbelanjaan semua Kerajaan Negeri telah bertambah daripada 4 kali ganda pada tahun 1990 ke 12 kali ganda pada tahun 2007.

37. Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2009 melebihi RM200 bilion tetapi perbelanjaan setiap negeri hanya berada di antara RM2 juta (Perlis) dan RM3 bilion (Sabah).

38. Selain itu, peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri telah secara perlahan beralih daripada geran ke dalam bentuk pinjaman. Sebagai contoh, geran Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri telah merosot daripada 9.9% perbelanjaan pada tahun 1975 ke hanya 2.9% pada tahun 2008.

39. Antara tahun 1975 hingga 11999, pinjaman Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri telah bertambah daripada RM1.1 bilion ke RM9 bilion. Walaupun terdapat geran daripada Kerajaan Persekutuan, tetapi geran ini diberi dalam bentuk projek-projek pembangunan.

40. Berkenaan projek-projek PIA dan PIAS yang disebut-sebutkan, biarpun peruntukan ini berasal daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan tidak harus lupa bahawa negeri Selangor menyumbangkan kira-kira RM16 bilion daripada pendapatan Kerajaan Persekutuan.

41. Seandainya Kerajaan Persekutuan mengenakan cukai pendapatan ke atas sebuah kilang yang dibuka oleh pelabur asing, sekiranya PBT dan perkara-perkara seperti tanah yang diletakkan di bawah Kerajaan Negeri tidak diuruskan dengan bagus, adalah mustahil sama sekali untuk para pelabur asing ini datang ke Malaysia.

42. Sementara itu, Kerajaan Negeri juga mengakui bahawa Kerajaan Persekutuan turut membantu dalam menyediakan kemudahan-kemudahan infrastruktur yang lain seperti lapangan terbang, pelabuhan, jalan raya dan sebagainya untuk membantu menarik pelabur asing ke Malaysia.

43. Apapun sekali, semangat saling menghormati ini perlu dijunjung senantiasa. Malahan komunikasi yang berterusan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri harus berkekalan tanpa sebarang gangguan politik.

44. Malangnya, apa yang kita lihat di Selangor adalah terlalu jauh daripada gambaran idealistik ini.

45. Bukan sahaja Kerajaan Persekutuan tidak menyalurkan peruntukan ini kepada PTD dan PBT yang sepatutnya lebih dekat kepada rakyat dan memahami apa yang benar-benar diperlukan oleh rakyat tempatan, malahan projek-projek yang dijalankan mereka selalunya tidak memperolehi kelulusan daripada PTD atau PBT.

46. Ini telah melanggari peruntukan dalam Seksyen 50 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang menyatakan bahawa PBT hendalah membina dan menyenggara parit dan alur air. Seksyen ini menyatakan bahawa PBT perlu menyelenggara parit dan mana-mana pihak lain yang ingin menjalankan kerja-kerja perparitan hanya boleh berbuat demikian setelah mendapat kelulusan daripada PBT.

47. Kampung Tunku telah menerima aduan daripada beberapa tempat terhadap kontraktor-kontraktor yang dilantik oleh PPN untuk menjalankan kerja-kerja perparitan tidak menjalankan kerja-kerja mereka dengan teratur tanpa pemantauan daripada pakar-pakar kejuruteraan daripada PBT dan PTD sehingga ada yang membina parit dengan gradient kecerunan yang tidak betul, laluan air yang sempit serta permukaan parit yang lebih tinggi daripada permukaan jalan.

48. Semua ini disebabkan oleh kekurangan pemantauan dalam menjamin kualiti kerja-kerja kecil terletak di bawah PPN. Maklumlah, PPN hanya merupakan sebuah pejabat pentadbiran sahaja dan tidak mempunyai kepakaran-kepakaran yang lengkap untuk mentadbir sebuah perbandaran seperti perancangan bandar, kebersihan bandar, kejuruteraan, lanskap dan sebagainya.

49. Justeru itu, Kampung Tunku meminta kepada Kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan untuk senantiasa menjalankan pemantauan dan mengeluarkan notis berhenti kerja tanpa was-was apabila mendapati terdapat kontraktor atau individu tertentu yang menjalan kerja-kerja parit dan jalan tanpa kebenaran majlis.

Polis Komuniti sebagai cara proaktif Kerajaan Negeri membanteras jenayah

50. Apabila kita bercakap tentang melestarikan komuniti, Kampung Tunku tertanya-tanya di hati kecil Kampung Tunku, apa maknanya “melestarikan” komuniti?

51. Perkataan “lestari” bermakna pulihara, perlindungan daripada kemusnahan.

52. Dalam konteks keadaan sebenar di Selangor, Kampung Tunku berpendapat ianya melebihi apa yang dimaksudkan oleh kamus. Ianya bermakna sebuah masyarakat yang mempunyai kesedaran sivik, social dan moral yang tinggi.

53. Kerajaan boleh membantu komuniti untuk memperkasakan mereka dengan menjalankan program-program yang boleh merapatkan perhubungan sesama ahli-ahli dalam sesuatu komuniti.

54. Salah satu aktiviti atau program yang boleh dilaksanakan ialah Polis Komuniti di mana ianya merupakan satu pasukan keselamatan tempatan yang ditubuhkan oleh masyarakat setempat bersama-sama dengan PBT dengan kerjasama daripada pihak Polis.

55. Dalam program polis komuniti ini, semua pihak yang terlibat mempunyai tanggungjawab yang sama untuk mengenalpasti, mengurangkan, menghapuskan dan mengelakkan kejadian jenayah. Ianya terdiri daripada kakitangan sepenuh masa, separuh masa atau sukarelawan termasuk pegawai-pegawai polis yang telah bersara. Di negara-negara maju, telah terbukti bahawa pasukan polis komuniti telah berjaya mengurangkan kadar jenayah di masyarakat setempat.

56. Ini telah dilaksanakan di beberapa bandar terkemuka di seluruh dunia. Antara contoh-contoh yang boleh kita teladan ialah UK Police Community Support Officer, US Community Oriented Policing Services dan Vancouver Community Police.

57. Kampung Tunku difahamkan bahawa MBPJ telah bersedia untuk melaksanakan Auxiliary Police Force di kawasan pentadbiran MBPJ tetapi sehingga sekarang ianya masih belum dapat dilaksanakan kerana MBPJ masih menunggu kebenaran daripada Bukit Aman.

58. Malangnya, situasi di mana kerajaan negara lain yang menurunkan kuasa kepada PBT dalam soal keselamatan di peringkat masyarakat tempatan tidak dapat kelihatan di Selangor.

59. Oleh itu, Kampung Tunku meminta supaya program polis komuniti ini dapat dijadikan sebagai satu langkah pro-aktif daripada Kerajaan Negeri biarpun kepolisan terletak di bawah Kerajaan Persekutuan untuk membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap masalah-masalah jenayah.

60. Ini adalah salah satu cara bagaimana kita dapat melaksanakan komuniti lestari dengan mengadakan kerjasama di antara penduduk tempatan dengan balai polis berdekatan di bawah pemantauan PBT. Contohnya program ini telah bermula di SS20, Petaling Jaya dan setahu Kampung Tunku ini merupakan satu-satunya program polis komuniti yang berjaya.

Kerajaan Persekutuan perlu menurunkan kuasa kepada Kerajaan Negeri perihal pengangkutan awam

61. Penggunaan kenderaan peribadi yang semakin meningkat – kesesakan lalulintas di bandar merupakan satu masalah besar di Semenanjung Malaysia. Ianya kebanyakkannya disebabkan oleh kadar peningkatan penggunaan kenderaan awam yang meningkat lebih jauh daripada pengembangan jaringan jalanraya dan landasan keretapi untuk beberapa dekad yang lalu.

62. Nisbah bilangan kereta kepada populasi di Malaysia merupakan keempat tertinggi di rantau Asia Pasifik, iaitu di belakang New Zealand, Korea Selatan dan Australia. Pada tahun 2006, 67% daripada populasi di Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas memiliki sebuah kereta, iaitu dua kali ganda di Thailand, tiga kali ganda di Singapura dan lima kali ganda Filipina.

63. Selain itu, kehilangan tumpuan Kerajaan Persekutuan dalam membina infrastruktur jaringan pengangkutan turut menyumbang kepada kesesakan lalulintas di Lembah Klang. Wang digunakan untuk membina lebih banyak jalanraya dan lebuhraya dan bukannya untuk memperbanyakkan sistem pengangkutan di Lembah Klang.

64. Sebagai contoh, KTM Komuter yang dimulakan pada tahun 1995 mempunyai hanya 36 tren sekarang berbanding dengan 62 tren pada permulaan operasinya biarpun bilangan stesyen dan penumpangnya telah meningkat mengikut masa.

65. Semasa membentang Bajet Kerajaan Persekutuan untuk tahun 2009, Kerajaan Persekutuan berjanji untuk membelanjakan RM35bilion untuk pengangkutan awam selama enam tahun.

66. Biarpun kita tidak pasti bagaimana wang ini akan dibelanjakan, apabila kita mempuratakan wang ini setiap tahun, ianya hanya bernilai RM5.8bilion setahun, iaitu 1.1% daripada KDNK tahun 2008. Kalau dibandingkan dengan negara-negara jiran di sekitar Asia Tenggara, angka ini nyata terlalu rendah.

67. Kerajaan Persekutuan juga terlalu bergantung kepada sektor swasta untuk merancang dan membangunkan pengangkutan awam di Lembah Klang dan ini telah menyebabkan kekurangan penyelarasan dan koordinasi di antara beberapa buah syarikat-syarikat swasta dan sekaligus menyebabkan kekurangan perangkaian (lack of connectivity) di antara beberapa sistem pengangkutan seperti bas, monorel dan LRT.

68. Salah satu contoh yang bagus ialah sistem LRT. Sebelum ini, Putra-LRT, Star-LRT dan KL-Monorail merupakan tiga entiti pengangkutan tren yang beroperasi secara berasingan pada mulanya. Kerajaan Persekutuan terpaksa mengambil-alih ketiga-tiga buah syarikat ini apabila syarikat-syarikat swasta ini mengalami kerugian.

69. Satu lagi contoh yang amat mengejutkan kita ialah keputusan Kerajaan Persekutuan membeli sejumlah 20 lokomotif bernilai RM220juta daripada China pada tahun 2003 secara barter di mana Malaysia akan menjual 110,000 tan minyak kelapa sawit dengan China.

70. Walaupun laporan penilaian kualiti asal bercadang kepada kerajaan untuk tidak menerima tawaran ini, tetapi Kerajaan Persekutuan tetap meneruskan jual-beli ini dan akhirnya tren-tren yang dibeli dari China tidak mengikut spesifikasi KTMB, sistem penyejukan enjinnya tidak direka mengikut cuaca di Malaysia dan roda-roda tren ini tidak boleh digunakan untuk trek-trek di Malaysia dan perlu diganti dengan cepat. Akhirnya pada Mei 2008, hanya 5 daripada 20 lokomotif yang dapat diguna sementara yang lain perlu dihantar balik.

71. Tujuan Kampung Tunku membawa contoh-contoh bukan untuk mengaibkan Kerajaan Persekutuan tetapi adalah untuk menerangkan bahawa dalam soal-soal berkenaan dengan pengangkutan awam ini, Kerajaan Persekutuan tidak boleh membuat keputusan sendiri tanpa rundingan dan perbincangan dengan Kerajaan Negeri dan PBT.

72. Kerajaan Persekutuan perlulah menurunkan sebahagian kuasa dan peruntukan kewanganya kepada Kerajaan Negeri dan PBT untuk menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi.

73. Untuk sepuluh tahun yang akan datang, kawasan-kawasan bandar yang ada sekarang yang menghadapi pembangunan tepu dan aktiviti permbangunan dan perbandaran akan bertukar ke kawasan-kawasan luar bandar yang ada di Selangor sekarang seperti di Daerah Hulu Selangor, Hulu Langat, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

74. Oleh itu, dari segi perancanngan bandar, konsep Transit-Oriented Development (TOD) perlu dilaksanakan dalam lima Draf Rancangan Selangor untuk Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) yang dilancarkan pada minggu lepas termasuk untuk kawasan-kawasan luar bandar dan kita perlu mendesak penurunan kuasa daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri.

Kualiti pengurusan sisa-sisa pepejal oleh Alam Flora Sendirian Berhad perlu disemak dan dinilai semula

75. Kutipan sisa-sisa pepejal oleh Alam Flora telah membebankan PBT di Selangor. Ini adalah kerana kos pengurusan sisa-sisa pepejal di semua PBT di Selangor selalunya menelan belanja antara 20% hingga 40% daripada pendapatan sesebuah PBT. Peratusan sehingga ke 40% adalah amat tinggi.

76. Walaupun kontraktor-kontraktor baru telah dilantik di beberapa PBT baru-baru ini termasuk di MBPJ, Kampung Tunku difahamkan bahawa perlantikan kontraktor-kontraktor ini tidak mengikut ketetapan dan pengesyoran daripada UPEN.

77. Sama ada ini dilakukan mengikut peruntukan kontrak antara PBT dengan AFSB atau tidak, Kampung Tunku berpendapat sudah sampai masanya untuk semua PBT menilai semula kontrak peswastaan pengurusan sisa-sisa pepejal antara PBT-PBT dengan AFSB khususnya untuk PBT-PBT yang mempunyai kemampuan untuk mengendalikan masalah sisa-sisa pepejal dengan kos yang lebih rendah daripada keadaan sekarang.

Enakmen Kebebasan Maklumat menunjukkan komitmen kerajaan terhadap prinsip ketelusan

78. Mendeklasifikasikan dokumen-dokumen sulit Kerajaan Negeri yang tidak perlu disulitkan seperti Minit Mesyuarat Penuh PBT, Minit Mesyuarat Jawatankuasa PBT, Butiran-butiran Kuantiti (Bills of Quantity – BQ) tentang sesuatu projek atau tender sama ada oleh PBT, Pejabat Tanah dan Daerah atau Kerajaan Negeri dan sebagainya.

79. Deklasifikasi dokumen-dokumen ini adalah penting untuk memastikan semua projek atau tender yang dilaksanakan oleh kerajaan telus khususnya BQ di mana ini membolehkan orang ramai melihat dengan mata sendiri apakah bahan-bahan yang terlibat dalam sesuatu projek pembangunan itu.

Tindakan tegas perlu diambil terhadap pembinaan dewan masyarakat haram yang dibina atas tanah kerajaan

80. Pejabat Tanah dan Daerah perlu bertindak tegas terhadap mereka yang membina rumah, kontena, dewan di atas tanah kerajaan.

81. Kerajaan melalu operasi fasa pertama telah menjalankan operasi untuk mengambil alih dewan-dewan orang ramai dan balai-balai raya yang digunakan oleh parti-parti politik sebagai pejabat mereka.

82. Kini kerajaan dalam peringkat kedua untuk mengambil alih bangunan-bangunan haram yang dibina atas tanah kerajaan dan operasi ini dijangka akan menghadapi kesukaran yang lebih tinggi kerana selalunya mereka yang menduduki bangunan ini akan menuduh bahawa bangunan itu didirikan dengan menggunakan wang mereka dan bukannya wang kerajaan tanpa mengetahui bahawa tanah yang mereka duduki itu tanah kerajaan dan sebarang bangunan yang didirikan di atas tanah kerajaan merupakan bangunan haram jika tanah itu tidak ada geran tanah.

83. Sebagai contoh, Kampung Tunku ingin bertanya sama ada Pejabat MCA di Kampung Baru Ulu Yam Lama boleh didirikan di atas tanah rezab jalan tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan daripada PTD? Perkara yang sama juga berlaku di kawasan Kampung Tunku dan kawasan-kawasan yang lain dan Kampung Tunku ingin bertanya, adakah PTD tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang tanah untuk mengambil tindakan? Golongan yang tidak bertanggungjawab ini terus bermaharajalela di kampung sehingga mereka berani menceroboh gelanggang bola keranjang dan mengubahsuaikan nama JKKK kepada JKKKP dengan menambahkan huruf “P”!

Pusat Kebudayaan Tionghua di Klang, Pusat Penternakan Babi di Tumbuk, Zon Antarabangsa di Mutiara Damansara, Petaling Jaya

84. Akhirnya, Kampung Tunku ingin membangkitkan beberapa projek dan program yang pernah disebut-sebutkan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini seperti yang berikut:

A) Pusat Kebudayaan Tionghua di Klang

B) Pusat Penternakan Badi di Tumbuk

C) Program kawalan kendiri (self-regulation) dalam penjualan minuman beralkohol di Shah Alam.

D) Zon Antarabangsa di Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

85. Kampung Tunku meminta kerajaan untuk memberi laporan terhadap projek-projek di atas.

86. Akhirnya Kampung Tunku ingin memohon maaf sekiranya terlanjur kata dalam ucapan saya ini. Sekian, terima kasih.


* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional