red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Ucapan Perbahasan Bajet Negeri Sembilan 2010 oleh Loke Siew Fook di DUN Negeri Sembilan pada Rabu, 25 November 2009:

Ucapan Perbahasan Bajet Negeri Sembilan 2010 (Lobak)

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih dan merakamkan setinggi-tinggi tahniah ke bawah DYMM Tuanku Muhriz di atas pertabalan Baginda sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada 26 Oktober yang lepas.

Rakaman tahniah juga saya ingin sampaikan kepada pasukan bolasepak NS atas kejayaan mereka merangkul Piala Malaysia buat kali pertama dalam masa 61 tahun baru-baru ini.

Dato Yang Di Pertua,

Kemelesetan Ekonomi

Umum diketahui bahawa sekiranya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan yang negatif untuk 2 suku berturut-turut, maka ia akan ditakrifkan oleh ahli-ahli ekonomi sebagai “technical recession”. Maka tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia secara amnya dan NS secara khususnya mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 2009. Keadaan ini ditambah buruk lagi dengan kehadiran pelaburan asing atau FDI yang amat rendah sekali pada tahun ini iaitu hanya RM76.9 juta bagi tempoh Jan hingga Ogos 2009 seperti yang dimaklumkan oleh Kerajaan Negeri.

Pertumbuhan yang negatif dan iklim pelaburan yang begitu lembap ini menyebabkan keadaan ekonomi NS meleset dan amat perlahan. Aktiviti ekonomi yang lembap ini menyebabkan banyak perniagaan terjejas, pendapatan secara relatifnya berkurangan dan ini sudah tentunya menjejaskan daya saing dan taraf hidup rakyat NS.

Sememangnya dalam keadaan ekonomi yang meleset, saya juga turut mempercayai bahawa Kerajaan perlu memainkan peranan yang aktif untuk memangkin dan merangsangkan ekonomi. Ini adalah berdasarkan kepada teori ekonomi Keynesian iaitu apabila 2 komponen utama dalam ekonomi iaitu C atau Consumption (Perbelanjaan Persendirian) dan I iaitu Investment atau Pelaburan menjadi lembap maka G perlu ditingkatkan iaitu melalui perbelanjaan Kerajaan dalam pembangunan infrastruktur dan sebagainya.

Semua kerajaan di seluruh dunia tidak terlepas daripada menggunakan kaedah ini iaitu melalui “stimulus package” atau “pump priming” melalui suntikan dana oleh kerajaan dalam ekonomi masing-masing. Ini termasuk Negara yang mengamalkan ekonomi yang paling bebas iaitu Amerika Syarikat yang juga terpaksa menggunakan strategi tersebut.

Kerajaan Persekutuan Malaysia telah melancarkan 2 Pakej Ransangan Ekonomi yang masing-masing bernilai RM7 billion dan RM60 billion. Namun, apa yang mendukacitakan ialah suntikan ransangan untuk NS adalah amat rendah sekali. Daripada 7 billion untuk pakej pertama, NS hanya mendapat RM161.9 juta iaitu hanya 2.3% daripada jumlah pakej tersebut. Untuk pakej yang kedua, walaupun jumlah yang diperolehi oleh NS telah meningkat sehingga RM376 juta, namun syer yang diberikan kepada NS adalah amat kecil sekali iaitu hanya 0.62% daripada 60 billion yang diperuntukkan untuk pakej tersebut.

Di atas prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban serta melibatkan rakyat dalam usaha memulihkan ekonomi, maka saya menyeru Kerajaan Negeri untuk mengumumkan secara terperinci semua projek yang dilaksanakan dalam kedua-dua pakej tersebut. Rakyat ingin tahu apakah status pelaksanaan setiap projek tersebut, kosnya dan sejauh manakah keberkesanan projek-projek tersebut untuk merangsangkan ekonomi.

“Decentralization” hasil cukai

Saya memahami bahawa Kerajaan Negeri memang mempunyai pelbagai kekangan dalam menentukan halatuju atau cara untuk merangsangkan ekonomi kerana hakikatnya Kerajaan Negeri bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan dalam hal ini oleh kerana sumber dana dan hasil kita yang cukup terhad. Namun, sebagai sebuah daripada 13 negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia, kita sememangnya ada hak kita. Tak ada Malaysia sekiranya tak ada NS. Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab untuk memperjuangkan hak dan kepentingan Negeri Sembilan supaya sistem federalisme yang kita pratikkan mempunyai makna dalam erti kata yang sebenarnya. Kita bukannya meminta sedekah daripada Kerajaan Persekutuan tetapi hanya memperjuangkan hak negeri kita.

Dalam hal ini, DAP dan Pakatan Rakyat memperjuangkan supaya adanya “decentralization” hasil dan tanggungjawab daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri. Ini boleh diterjemahkan dalam bentuk “proportional allocation” iaitu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri disalurkan mengikut satu peratusan daripada jumlah hasil cukai yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan di sesuatu negeri itu.

Bayangkan sekiranya Kerajaan Negeri mendapat peruntukan 20% daripada cukai syarikat dan cukai persendirian yang dikutip oleh LHDN dari NS, berapa ratus juta ringgit yang boleh diperolehi oleh Kerajaan Negeri? Ini sudah tentu jauh lebih tinggi daripada hanya RM43 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri untuk tahun 2010 termasuk RM16 juta per capitation grant yang kadarnya tidak pernah dikaji semula walaupun telah berkali-kali dibangkitkan.

Sekiraya prinsip ini dapat direalisasikan, maka Kerajaan Negeri mempunyai sumber hasil yang jauh lebih banyak untuk melaksanakan projek-projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat dan mempunyai pengaruh yang lebih besar dalam memacu halatuju kemajuan NS.

KPI

Dalam pembentangan Bajet 2010 pada Jumaat yang lepas, YAB MB ada menyebut bahawa Kerajaan Negeri telah menetapkan 9 Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) dan KPI. Konsep-konsep seumpama ini memang sedap didengar tetapi disebalik retoriknya, rakyat ingin tahu apakah pengisiannya? Apakah 9 bidang tersebut? MB perlu menerangkan setiap SKRA tersebut? Apakah penunjuknya? Apakah sasarannya? Berapakah lama tempoh yang diberikan? Pendek kata, apakah KPI untuk setiap SKRA tersebut dan siapa yang bertanggungjawab dalam setiap bidang tersebut?

Sekiranya benar “Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan”, adakah EXCO yang dipertanggungjawabkan dalam setiap bidang itu akan digugurkan atau dipotong jawatannya sekiranya mereka gagal mencapai KPI masing-masing? Rakyat tidak mahu lagi mendengar retorik tetapi keseriusan kerajaan dalam pelaksanaan.

Anggaran Hasil

Di atas kertas, Anggaran Hasil untuk tahun 2010 nampak begitu cantik dengan peningkatan sebanyak 90.34 peratus daripada RM286,550,000 menjadi RM545,425,000. Namun ia tidak bermaksud satu peningkatan hasil yang boleh dibelanjakan untuk tujuan pembangunan. Peningkatan ini adalah disebabkan semata-mata oleh penambahan Terimaan Bukan Hasil yang diperolehi daripada bayaran balik pinjaman khususnya bayaran daripada Menteri Besar Incorporated (MBI) yang dimasukkan ke dalam akaun Kerajaan Negeri untuk dibayar balik kepada Kumpulan Wang Persaraan sebanyak RM274 juta. Ini seumpama “masuk kocek kanan, keluar kocek kiri” dan tidak sesekali bermaksud hasil kerajaan negeri bertambah.

Namun, saya berasa hairan mengapa transaksi yang besar ini tidak diberikan penerangan yang lebih jelas. Setahu saya, pinjaman oleh Kumpulan Wang Persaraan ini kepada MBI adalah untuk menyelesaikan isu pembangunan Felda Sendayan dua tiga tahun yang lepas. Saya bukannya membantah usaha MBI menjelaskan hutangnya kepada Kumpulan Wang Persaraan. Yang ingin saya tahu ialah apakah “financial magic” yang dilakukan oleh MBI untuk menyelesaikan hutang ini? Adakah MBI telah mendapat semula segala pulangannya daripada projek Sendayan ini untuk dibayar balik kepada Kumpulan Wang Persaraan dalam satu tempoh masa yang begitu singkat? Atau MBI mengambil pinjaman yang lain untuk mencantikkan akaun hutang kerajaan negeri? Sebagai sebuah badan yang diperbadankan di bawah nama Kerajaan Negeri, saya memohon penjelasan yang lebih terperinci dalam hal ini supaya prinsip ketelusan dalam pengurusan kewangan kerajaan dapat dipastikan.

Selain itu, saya juga ingin membangkitkan satu lagi persoalan mengenai “Pinjaman yang boleh dituntut” oleh Kerajaan Negeri seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sembilan tahun 2008. Laporan Audit tersebut menyatakan bahawa terdapat sebuah badan yang bernama Syarikat Imapro Sdn Bhd yang masih berhutang kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM8.64 juta. Yang menjadi persoalan ialah syarikat ini langsung tidak pernah membayar balik hutangnya kepada Kerajaan Negeri dari tahun 2004 hingga tahun 2008. Dan kedudukan hutangnya langsung tidak berubah walaupun tidak membuat bayaran balik. Ertinya, kerajaan negeri tidak mengenakan denda lewat atau faedah ke atas syarikat ini. Saya nak persoalkan apakah keistimewaan syarikat ini sehinga kerajaan negeri langsung tidak mengambil tindakan menuntut semula hutangnya kepada kerajaan dalam tempoh 5 tahun yang lepas.

Berkenaan dengan “guaranteed payment” sebanyak RM10 juta daripada Syarikat Air NS, saya ingin tahu jumlah ini akan dimasukkan dalam maksud kepala hasil yang mana satu? Apakah kod hasil untuk guaranteed payment ini dalam buku bajet? Ini kerana saya amat tidak berpuas hati dengan buku bajet tahun ini yang begitu nipis dan banyak maklumat terperinci tidak dimasukkan dalam buku bajet tersebut. Anggaran hasil hanya 1 mukasurat. Semua pecahan-pecahan hasil mengikut objek tidak disenaraikan seperti bajet-bajet yang lepas. Senarai perjawatan pula dikeluarkan sama sekali. Apakah rasionalnya?


* Loke Siew Fook, Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan & ADUN Lobak

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional