red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Akhbar Lim Guan Eng di Georgetown pada Ahad, 22 November 2009: 

Penukaran pegangan tanah hak milik kekal PDC Heritage Hotel Sdn Bhd(PHH) bukan sahaja menambah hasil tanah kerajaan negeri sebanyak RM 8,216,751.38 tetapi juga melindungi kepentingan awam dengan memastikan garispanduan warisan dipatuhi dan PHH tidak dikuasai swasta tetapi dikongsi bersama kerajaan 

Penukaran Pegangan Tanah Hak Milik Kekal PDC Heritage Hotel Sdn Bhd(PHH) Bukan Sahaja Menambah Hasil Tanah Kerajaan Negeri Sebanyak RM 8,216,751.38 Tetapi Juga Melindungi Kepentingan Awam Dengan Memastikan Garispanduan Warisan Dipatuhi Dan PHH Tidak Dikuasai Swasta Tetapi Dikongsi Bersama Kerajaan.

Deklasifikasi minit mesyuarat keputusan oleh Penang Development Corporation(PDC), Jawatankuasa Tanah dan EXCO Pulau Pinang jelas menunjukkan jelas menunjukkan penukaran pegangan tanah hak milik kekal PHH adalah berkepentingan rakyat. Faedah kepada rakyat boleh dilihat bukan sahaja menambah hasil tanah kerajaan negeri sebanyak RM 8,216,751.38 tetapi juga melindungi kepentingan awam dengan memastikan garispanduan warisan dipatuhi dan PHH tidak dikuasai swasta tetapi dikongsi bersama kerajaan.

PDC Heritage Hotel Sdn Bhd (PHH) adalah syarikat usaha sama di antara PDC (49%) dan YTL Hotels & Properties Sdn Bhd (YTL H&P) (51%). Minit mesyuarat EXCO yang mengesahkan keputusan pada 3.6.2009 menetapkan tiga syarat iaitu:

  1. Ketinggian bangunan mesti mengikuti garis panduan warisan UNESCO dan tidak melebihi 5 tingkat

  2. Semua kos tukar syarat nyata tanah dan bayaran premium pegangan hak milik kekal mesti ditanggung oleh YTL H&P.

  3. Kenaikan ekuiti pegangan PDC sebanyak 1% daripada 49% ke 50%, dimana kosnya juga dibayar penuh oleh YTL H&P

Ketinggian yang dihadkan kepada 5 tingkat membuktikan komitmen kerajaan negeri memelihara, melindungi dan mempromosi warisan. Bayaran-bayaran hasil tanah RM 8.3 juta yang dikenakan dan akan dibayar penuh oleh YTL H&P adalah seperti berikut:-

a) RM6,320,000.00 – premium tambahan untuk hakmilik kekal.

b) RM1,896,751.38 – premium tambahan untuk tukar syarat nyata.

RM 8.3 juta adalah satu sumber hasil besar kepada kerajaan negeri. Di samping itu, kos menaikkan pegangan ekuiti PHH sebanyak 1% kepada 50% juga akan ditanggung oleh YTL H&P. Yang lebih penting ialah PHH tidak lagi dikuasai 51% oleh syarikat swasta tetapi dikongsi bersama bermakna PDC ada hak 50% ke atas tanah dan boleh menentukan halatuju projek ini. Sebelum ini syarikat swasta dengan hak milikan 51% boleh buat apa-apa tanpa menghiraukan pandangan PDC.

Deklasifikasi minit dengan sendirinya menolak dakwaan parti pembangkang UMNO bahawa saya telahpun mengelirukan Dewan Undang Negeri Pulau Pinang dalam jawapan bertulis saya kepada ADUN Pulau Betong Y.B. Tuan Haji Sr. Muhamad Farid Bin Saad. Ulasan awal daripada Pejabat Tanah dan Galian(PTG) mengenai dakwaan ADUN Pulau Betong Y.B. Tuan Haji Sr. Muhamad Farid Bin Saad adalah bahawa soalan yang dikemukakan oleh beliau adalah lebih menjurus kepada ‘tanah-tanah kerajaan negeri’ yang berbentuk pajakan. Mengikut PTG, ini bermakna tanah-tanah yang dimaksudkan adalah tanah kerajaan yang dipegang atas nama State Secretary Incorporated (SSI). Buat masa ini tidak ada permohonan sedemikian diterima oleh SSI.

Oleh itu dakwaan UMNO memang tidak berasas dan semata-mata berbau politik untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat. Nampaknya urustadbir CAT kerajan negeri Pakatan Rakyat begitu berkesan sehingga UMNO dan BN terpaksa mereka-rekakan cerita yang bukan-bukan demi menanam kebencian terhadap Pakatan Rakyat.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ketua Menteri Negeri Pulau Penang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional