red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Ucapan Benlajawan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada Isnin, 26 Oktober 2009: 

Malaysia hanya berjaya menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dengan mendemokrasikan ekonomi, reformasikan perkhidmatan awam dan membebaskan daya kreativiti dan innovasi sumber manusia 

Malaysia hanya boleh berjaya menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dengan mendemokrasikan ekonomi, reformasikan perkhidmatan awam dan membebaskan daya kreativiti dan innovasi sumber manusia. Syor-syor mendemokrasikan ekonomi telahpun dibukukan awal bulan ini oleh DAP dalam Belanjawan Alternatif DAP yang menggariskan strategi untuk menjana transformasi kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

Refomasi perkhidmatan awam adalah perlu dengan ratio 4.68% anggota perkhidmatan awam dengan penduduk paling tinggi berbanding dengan Jepun 3.23%, Thailand 2%, Korea Selatan 1.85%, Filipina 1.8% dan Indonesia 1.8%. Emolumen sebanyak RM 38 bilion pada tahun ini telah meningkat kepada RM 42 bilion tahun depan ataupun meningkat 23.7% kepada 30.5% perbelanjaan mengurus. Sekiranya pencen ditambah adalah RM 46 bilion pada tahun ini telahpun meningkat kepada RM 53 bilion ataupun meningkat daripda 28.8% kepada 38.3% keseluruhan perbelanjaan mengurus.

Emolumen dan pencen merupakan komponen paling besar dalam perbelanjaan mengurus. Itu tidak menjadi masalah sekiranya kita dapat hasil atau imbuhan balik daripada perbelanjaan RM 53 bilion. Yang diharapkan ialah menjadi penggerak dan pemangkin ekonomi dan bukan sebaliknya. Di antara masalah ialah sikap acuh tak acuh, silo mentaliti yang menggagalkan etika kerja berpasukan, amalan kerja yang tidak sihat dan tidak berintegriti, fikiran jumud yang tidak mahu berubah serta juga menghalang penjawat kerajaan muda yang bermentaliti antarabangsa.

Bila proses pengswastaan diperkenalkan pada tahun 80an telahpun dijanjikan bahawa ia akan membantu mengurangkan perbelanjaan emolument dan bilangan anggota perkhidmatan awam pada masa itu 600,000 orang. Dua puloh lima tahun kemudian bilangan anggota perkhidmatan tidak kurang sebaliknya telah bertambah kepada 1.22 juta orang tahun ini.

Apakah langkah yang diambil oleh Pemudah dan Pemandu untuk mengatasi masalah ini? Apakah guna Pemudah sekiranya syor mereka tidak diambilkira. Contohnya Pemudah pernah dua tahun lepas nyatakan bahawa rasuah menyebabkan kerugian kepada Malaysia sebanyak RM10 billion setahun atau 1% GDP. Keadaan bertambah buruk lagi bila hari ini di suratkhabar The Star adalah dianggarkan bayaran lebih untuk perbekalan dan kontrak untuk semua keperluan kerajaan seperti terowong air, IT dan komputer menyebabkan kerajan pusat kehilangan RM 28 bilion setahun. Tidak menghairankan keadaan tidak bertambah baik bila kedudukan Malaysia di bawah Corruption Perception Index terus jatuh ke tangga 47.

Kegagalan pihak Ketua Peguam Negara mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat dalam skendal pita video V.K. Lingam sungguhpun Suruhanjaya di Raja telah menimbulkan beberapa seksyen dan akta yang terbabit amat mendukacitakan. Macam mana hendak jawab soalan rakyat biasa apakah perlunya bukti yang mencukupi bila sudah ada pita video yang merakamkan kesalahan terbabit?

Malaysia tidak boleh bergantung lagi kepada sumber semulajadi dengan sumbangan 42% kepada hasil Negara untuk tahun 2009 dan 40% untuk 2010. Kita harus membebaskan potensi, daya kreativiti dan innovasi khususnya dalam sektor komputer, ICT dan berteknologi tinggi. Tembusan jalur lebar sebanyak 25% berbanding dengan Korea Selatan (95%) amat membimbangkan tetapi Malaysia boleh kejar dengan free wifi. Tidak perlu belanjakan RM 11.3 bilion untuk projek High Speed Broad Band, RM 6 bilion pun sudah cukup untuk buat free wifi dengan kerjasama sektor swasta.

Sudah sampai masanya kita memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada rakyat Malaysia khususnya orang Melayu, Iban dan Kadazan untuk berdaya saing diperingkat antarabangsa. Saya yakin mereka boleh menjadi ahli profesyenal dan syarikat perniagaan yang sama baik ataupun lebih baik tanpa dikongkong oleh mentality subsidi sekiranya kita pilih yang cemerlang tanpa kira kabel politik, bangsa agama dan latar belakang. Lihatlah YB Ketua Pembangkang anak Melayu jati, di mana kebolehan dan bakatnya diakui umum di peringkat antarabangsa bukan sahaja jaguh kampong menjadi jemputan rebutan persidangan antarabangsa sampai menjadi associate professor di university unggul Amerika Syarikat John Hopkins University. Kalau dasar berdasarkan warna kulit dan kabel politik ini diteruskan maka, yang mahu dibantu untuk diberikan menfaat akan terus terpinggir.

Kita boleh lihat pengalaman negeri Cina yang pada satu masa mengamalkan masyarakat sama-rata tanpa melihat kemampuan yang membunuh daya inisiatif. Ini merupakan punca utama Cina terus jadi mundur dan miskin sehingga dipersendakan sebagai Pesakit Ekonomi Asia pada tahun 60an dan 70an. Tetapi selepas dasar liberalisasi dan mementingkan sumber manusia diperkenalkan maka dalam satu generasi negeri Cina telah menjanakan transformasi yang membolehkan Cina menjadi ekonomi kedua besar di dunia pada 2010, melebihi Jepun. Perkembangan serupa pun wujud di India yang mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih tinggi daripada Malaysia.

Apabila ekonomi dunia berada dalam prestasi mendatar, kerajaan perlu menjana permintaan dalaman serta meningkatkan daya saing. Namun begitu, di sebalik keperluan mendesak untuk kerajaan meningkatkan perbelanjaan, kerajaan BN terpaksa menerima hakikat kekurangan dana untuk berbelanja dan terpaksa berhempas-pulas membiayai kos pentadbiran kerajaan.

Apa yang lebih memburukkan keadaan ialah harga minyak menjunam ke paras bawah harga yang dianggarkan iaitu US$125 setong pada tahun 2009, bermakna kerajaan tiada tambahan pendapatan untuk membiayai perbelanjaan kerajaan pada tahun 2010.

Sumbangan pendapatan minyak dan gas kepada Kerajaan telah meningkat daripada RM19 bilion pada 2004 kepada RM70 bilion tahun 2009 namun begitu, semua pendapatan itu telah dibelanjakan. Bukan sahaja kita tidak menyimpan untuk hari-hari gelap di masa hadapan, kerajaan meminjam secara meluas dalam tempoh itu sehingga menyebabkan negara menanggung defisit bajet 12 tahun berturut-turut, dan hutang persekutuan terus menimbun sehingga RM 363 bilion meningkat 18.3% tahun ini atau 52.4% KDNK berbanding dengan 41,5% tahun lepas tanpa mengira sama ada ekonomi tumbuh atau mengalami kegawatan.

Keadaan mungkin berlainan jika perolehan umpama durian runtuh ini dilabur atau dibelanjakan untuk projek pembangunan. Walau bagaimanapun, sebahagian besar lebihan pendapatan ini dibelanjakan untuk operasi kerajaan untuk menambah bilangan pegawai kerajaan, bayaran pembekalan dan penyelenggaraan perkhidmatan selain urusan luar biasa untuk pampasan kepada syarikat pemegang konsesi tol yang kaya-raya. Ini belum termasuk bayaran dalam pelaburan penuh skandal seperti RM12.5 bilion Port Klang Free Zone, jutaan ringgit yang lesap dalam anak syarikat Kementerian Pelancongan, Pempena dan harga tinggi dalam bayaran belian alat tulis dan barangan harian lain seperti pen, kamera digital dan kertas.

Antara tahun 2003 hingga 2009, perbelanjaan operasi kerajaan meningkat secara mendadak daripada RM53.4 bilion tahun 2000 kepada RM80.5 bilion apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri tahun 2004, kepada RM154.2 bilion tahun ini. Walau bagaimanapun, perbelanjaan pembangunan yang mempunyai kesan gandaan ekonomi paling berkesan hanya meningkat daripada RM29 bilion pada tahun 2004 kepada RM50.5 bilion tahun ini.

Pengurusan yang cuai Barisan Nasional dalam kekayaan negara dan lebih pendapatan sejak beberapa tahun lalu mengakibatkan ekonomi negara menjadi lemah berbanding negara serantau dan kelalaian ini mesti diperiksa bagi mengelakkannya berlaku lagi. Jika kerajaan terus mengumpulkan hutang untuk tujuan yang tidak berasas untuk jangka masa beberapa lama lagi, anak cucu kita akan terpaksa membayar kegagalan itu di masa depan.

Sebagai tambahan, pengalaman kita di peringkat kerajaan negeri selama lebih 18 bulan yang lalu memberi pemahaman yang lebih baik dalam isu praktikal melibatkan pembangunan ekonomi di Malaysia yang memerlukan peralihan besar dari segi dasar awam dan sistem pengurusan ekonomi negara. Perancangan dan pengurusan ekonomi telah menjadi berpusat sejak dua dekad yang lalu dan terlalu biroktatik sehingga menyebabkan ia menjadi tidak berkesan untuk melaksanakan inisiatif ekonomi.

Sebagai contoh, di Pulau Pinang dan Selangor, kami mendapati segala usaha disia-siakan ekoran kegagalan mengawal dana projek dan pembangunan yang disalurkan mengikut kepentingan dan pilih kasih kerajaan Persekutuan. Walaupun Selangor dan Pulau Pinang masing-masing menyumbang RM16 bilion dan RM3 bilion sebagai cukai pendapatan kepada kerajaan Persekutuan, dua negeri ini hanya menerima geran Persekutuan masing-masing sebanyak RM247 juta dan RM127 juta sahaja.

Oleh itu, dalam cadangan Bajet Alternatif, kami senaraikan dasar dan program bagi menimbal balik kelalaian dan salah pengurusan duit rakyat oleh kerajaan BN dengan pada masa yang sama, mengurangkan perancangan berpusat birokrasi dan seterusnya membenarkan kerajaan negeri membuat keputusan dan mengurus kewangan untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pentadbiran kerajaan.

Tema bajet alternatif kami iaitu Merakyatkan Ekonomi Malaysia bukan sahaja untuk memenuhi keperluan politik untuk demokrasi yang lebih besar malah mahu menjamin perbelanjaan kerajaan mampu dinikmati oleh rakyat yang membayar cukai sambil mengekang dasar kerajaan yang memihak kepada mereka yang mempunyai kepentingan politik sahaja sedangkan rakyat biasa berhak menerima bahagian masing-masing sejajar dengan sumbangan mereka dalam ekonomi dan keperluan kewangan rakyat.

Kami percaya dengan merakyatkan ekonomi Malaysia, kami mampu bukan sahaja membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik malah menetapkan dasar dan institusi yang boleh menjamin hak ekonomi rakyat negara ini walaupun siapa juga kerajaan yang memerintah. Dengan Merakyatkan ekonomi Malaysia, kami menggalakkan pencapaian matlamat membina kerajaan yang Cekap, Amanah serta Telus (CAT).

Bajet alternatif Merakyatkan Ekonomi Malaysia bermatlamat memastikan dana awam dan pendapatan kerajaan disalurkan secara berkesan dan efektif bersandarkan kepada keperluan rakyat, memastikan projek awam disusun dan distrukturkan dalam mekanisma yang boleh menguntungkan rakyat berbanding pengendali yang mempunyai hubungan serta kaitan politik di samping membolehkan rakyat Malaysia menikmati lonjakan kebebasan ekonomi. Oleh itu, proses Merakyatkan ekonomi akan menumpukan kepada tiga teras utama iaitu :

1. Penyahpusatan fiskal
2. Penstrukturan dan pengagihan semula
3. Pembinaan kapasiti

Teras I: Penyahpusatan fiskal

Ekonomi Malaysia sekian lama mengamalkan pendekatan pemerintahan birokrasi dan ditadbir secara keseluruhan oleh kerajaan pusat dengan peranan kerajaan negeri yang semakin berkurangan. Perolehan rakyat dan pendapatan cukai korporat dikutip oleh kerajaan pusat dan seterusnya pendapatan ini diagihkan kepada pelbagai kerajaan negeri menerusi geran per kapitan berasaskan perlembagaan serta pengagihan geran secara tertutup.

Malaysia ditubuhkan sebagai suatu Negara persekutuan yang menjamin hak-hak negeri bersekutu, tetapi, setelah 50 tahun berlalu, kita lihat kuasa politik dan kewangan semakin memusat di tahap kerajaan persekutuan. Dasar semasa telah mengakibatkan berlakunya ketidak seimbangan ketara antara bajet perbelanjaan kerajaan pusat berbanding kerajaan negeri. Sebagai contoh, pada tahun 1990, bajet perbelanjaan negeri yang digabungkan memberi tambahan sebanyak 25 peratus kepada perbelanjaan kerajaan pusat. Pecahan ini terus menurun dari tahun ke tahun selama lebih 20 tahun kepada 9 peratus pada tahun 2007.

Memandangkan bagaimana pendapatan dan perbelanjaan kerajaan negeri keseluruhan adalah dijana dan dicarum dari 13 negeri kesemuanya, adalah jelas bahawa perbelanjaan am rakyat bergantung tinggi kepada kerajaan persekutuan. Kerajaan persekutuan mempunyai bajet lebih RM200 bilion dalam tahun 2009, walhal rangkaian bajet negeri adalah kurang dari RM200 juta (Perlis) dan tidak mencecah RM3 bilion untuk negeri Sabah.

Dasar pemusatan dan keputusan membuat dasar tertutup itu boleh juga menyebabkan ketidak seimbangan antara kerajaan negeri di Malaysia. Sebagai contoh, agihan kepada kerajaan negeri dibuat berdasarkan dasar pilih kasih kerajaan pusat mengakibatkan hanya beberapa kerajaan negeri menikmati pengagihan lebih besar manakala beberapa negeri lain mendapat bahagian yang tidak adil.

Akibatnya, pelaksanaan dasar kerajaan dan ekonomi menjadi kurang berkesan dan tidak cekap ekoran tabiat birokratik pemindahan dana oleh kerajaan pusat kepada pembangunan tempatan sebenar. Perancangan berpusat juga menunjukkan kelemahan ketara dalam pembuatan keputusan yang lemah ekoran kegagalan untuk memahami keperluan dan keadaan sebenar soal pembangunan tempatan. Sebagai contoh, Kementerian Pengangkutan yang mengamalkan dasar pemusatan berlebihan gagal untuk melaksanakan polisi pengangkutan awam yang berkesan lagi cekap di peringkat bandar dan daerah di seluruh negara.

Justeru, bagi memperbaiki sistem penyampaian kerajaan, keberkesanan dan kecekapan perbelanjaan, pelaksanaan dasar pembangunan dan ekonomi yang meluas perlu diserahkan kepada kerajaan negeri mengikut keutamaan, keperluan dan situasi unik masing-masing. Dengan itu, kerajaan negeri berada dalam kedudukan terbaik terbaik untuk menentu serta melaksanakan strategi sosio-ekonomi. Antara sektor yang mandapat manfaat daripada cadangan penyahpusatan dasar fiskal ialah pengangkutan serta keselamatan dalaman.

Dalam perkara ini, kami mencadang supaya perjanjian perkongsian cukai pendapatan dengan 20 peratus individu dan cukai perolehan korporat yang dikutip di negeri akan menjadi hak negeri. Bagi Selangor dan Pulau Pinang, perjanjian perkongsian pendapatan ini akan membolehkan masing-masing mandapat RM 3.2 bilion dan RM 600 juta. Formula geran pembangunan dan kesamaan berdasarkan factor populasi, kadar kemiskinan, kawasan pembangunan, kos, pembangunan modal insan dan indeks pendapatan kasar per kapita akan turut diberikan bagi memastikan negeri yang miskin tidak ketinggalan.

Negeri juga perlu diberikan hak untuk meminjam sehingga 50 peratus daripada pendapatan tahunan yang dijana daripada sumber sendiri, iaitu pendapatan yang diperolehi secara langsung oleh kerajaan negeri.

Cadangan kami untuk merakyatkan ekonomi menerusi penyahpusatan dasar fiskal boleh mendorong kepada perubahan teknikal dalam kerangka ekonomi Malaysia yang menjurus kepada lonjakan kecekapan ekonomi dan produktiviti menerusi peningkatan tahap kecekapan dalam perbelanjaan selain kesan gandaan yang meningkat hasil perbelanjaan kerajaan dalam ekonomi negara. Penyahpusatan fiskal juga akan memastikan pembangunan kawasan yang lebih seimbang berbanding Lembah Klang sahaja pada masa ini, sekali gus mencipta bandar sekunder yang produktif di seluruh negara.

Untuk menyediakan langkah permulaan ke arah pendemokrasian ekonomi menerusi penyahpusatan fiskal, kami menyeru supaya kerajaan pusat mula mengorak langkah kepada penganjuran sistem pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan menerusi pindaan perlembagaan persekutuan bagi membolehkan perkongsian kuasa fiskal yang lebih besar dengan kerajaan negeri. Ini akan memastikan pengagihan fiskal dan penggunaan oleh pihak berkuasa tempatan sementara kerajaan negeri akan terus bersikap telus dan bertanggungjawab sebagai oleh wakil yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat.

Teras II: Penstrukturan dan pengagihan semula

Amalan dasar yang lemah dan hilang hala tuju serta salah guna kuasa oleh kerajaan semasa telah menyebabkan berlakunya agihan tidak betul dalam sumber negara yang terhad dengan menumpukan kepada pemberian manfaat kepada mereka yang mempunyai hubungan serta kaitan politik, sementara kebanyakan rakyat yang lebih memerlukan terus diketepikan. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berdekad lamanya diamalkan dengan tumpuan pengagihan ekonomi berdasarkan kaum sambil megenepikan aspek keperluan dan merit, telah menyebabkan kelemahan struktur utama dalam sistem ekonomi negara sehingga menghukum kebajikan rakyat dan kecekapan sistem ekonomi. Di sebalik itu, agihan tidak betul ini telah menjana kekayaan beberapa individu yang berjaya mengeksploitasi DEB. Justeru, suatu usaha perlu dilakukan untuk menstruktur dan mengagih semula ekonomi bagi memastikan pembangunan lebih seimbang antara golongan miskin dan kaya, selain menambah kecekapan dan keberkesanan ekonomi dan daya saing.

Dalam sebahagian daripada teras penstrukturan dan agihan semula, kami mahu usaha dilakukan ke arah pelaksanaan sistem kebajikan yang berkesan untuk memastikan rakyat yang lahir dalam keadaan miskin tidak terus terperangkap dalam kitaran tersebut. Kebajikan harus diberikan mengikut keperluan dan bukannya berdasarkan kaum seperti yang dizahirkan dalam DEB. Rakyat yang mempunyai kekuatan ekonomi yang lemah sepatutnya mendapat bantuan daripada kerajaan. Dalam pada itu, mereka yang telah mewarisi kekayaan dan menjana ekonomi yang produktif tidak layak untuk mendapatkan bantuan, tidak mengira kaum. Strategi DAP dan Pakatan Rakyat antaranya termasuklah pengagihan semula - bantuan secara langsung kepada miskin tegar dan warga emas - pembinaan kapasiti menerusi peningkatan tahap pendidikan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan bagi membantu individu bekerja untuk memajukan dirinya.

Dalam pengagihan pendapatan, Malaysia telah mencapai salah satu kedudukan yang paling teruk di Asia. Koefisien Gini Negara pada 0.441 berkedudukan nombor 99 daripada 126 tempat (lebih tingginya indeks Gini, maknanya lebihnya ketidaksamaan.) Ketidaksamaan pendapatan negara kita boleh dibandingkan dengan Negara-negara Afrika sub-Sahara seperti Cameroon (0.446) dan Nigeria (0.437). Negara-negara jiran kita, iaitu Thailand dan Indonesia, lebih berprestasi berbanding dengan Negara kita dari segi ini, walaupun mempunyai Indeks Pembangunan Insan yang lebih rendah.

Laporan UNHDP juga menunjukkan bahawa 10% rakyat Malaysia yang terkaya mengawal 38.4% pendapatan ekonomi berbanding dengan 10 peratus termiskin yang mengawal 1.7%. Ini cuma menunjukkan hakikat bahawa kekayaan negara semakin tertumpu di tangan golongan yang kaya. Malaysia mempunyai pusat pameran Ferrari yang terbesar di luar Italy sedangkan 45,000 keluarga miskin tegar masih hidup dengan pendapatan yang kurang daripada RM 500 sebulan.

Tambahan pula, kami berpendappat bahawa kita mestilah menaikkan Garis Kemiskinan Pendapatan untuk mencerminkan kesulitan sebenar rakyat supaya kami dapat membuat dasar yang betul. Lebih-lebih lagi, kita tidak harus terlampau asyik dengan mengendalikan perbezaan pendapatan antara kaum, tetapi harus memberi lebih perhatian dan membuat strategi untuk menangani perbezaan pendapatan antara kawasan dan perbezaan pendapatan sebenar. Dengan mengurangkan perbezaan pendapatan tanpa mengira kaum, isu perbezaan pendapatan antara kaum akan diselesaikan dengan sendirinya secara otomatik.

Isu ketidaksamaan ini tidak akan diselesai melalui pendekatan perkauman seperti Dasar Ekonomi Baru. Koefisien Gini kita yang tinggi secara konsisten sejak dua dekad yang lalu menunjukkan bahawa dasar ini telah memperuncingkan isu ketidaksamaan kerana ia mengalihkan perhatian dan tenaga kita daripada masalah pokok isu ini. Pembincangan yang lazim tentang isu kemiskinan kini yang dipenuhi oleh retorik perkauman telah menggagalkan semua perbahasan dan penyiasatan yang rasional bagi mencari penyelesaian yang berkesan dan berlanjutan untuk membasmi kemiskinan.

Pendapatan garis kemiskinan, atau (PLI), dengan izin, didefinasikan sebagai “pendapatan yang cukup untuk membeli seperaga makanan minimum untuk mengekalkan ahli-ahli sekeluarga dalam keadaan sihat dan mendapatkan keperluan dasar seperti pakaian, sewa, bahanapi dan tenaga, pengangkutan dan komunikasi, perubatan, pendidikan dan rekreasi”. Definisi ini telah dirobah pada 2004 hanya dengan perubahn minimal, untuk mengambil kira perbezaan harga antara kehidupan Bandar-luar Bandar, antara negeri dan dalam ahrka makanan dan lain-lain.

Purata PLI untuk tahun 2007 adalah RM720 di Semenanjung Malaysia , RM960 di Sabah dan RM830 di Sarawak. PLI tegar adalah RM430, RM540 dan RM520, mengikut rentetan. Set PLI yang berbeza digunakan untuk kawasan Bandar dan luar Bandar.

Pertama, banyak ketidakpastian timbul bahawa RM720, iaitu PLI,adalah perbezaan antara kelestarian dan kemiskinan untuk sebuah keluarga dengan 5 ahli. Tambahan pula, amat sukar membayangkan bahawa sekeluarga 5 orang boleh hidup danmakan cukup dengan hanya RM430 sebulan.

Kedua, tidak wujud perbezaan sebenar antara Bandar dan luar Bandar dari segi PLI ini. Sebagai contoh, untuk semenanjung Malaysia dalam tahun 2007, garis kemiskinan Bandar adalah RM740 dan luar Bandar RM700. Perebzaan RM40 adlah tidak mungkin dan tidak benar. Kelurga miskin di kawasan Bandar menghadapi kesukaran yang lebih kerana kos hidup tidak nampk di Bandar seperti tol, tambang bas, harga makanan yang lebih tinggi dan lain-lain yang tidak diambil kira dalam pengiraan PLI.

PLI yang rendah dan tidak realistik ini bermakna ramai keluarga miskin sedang menghadapi kesushan yang teruk untuk hidup sempurna dan secara teknikal, mereka tidak layak mendapat bantuan kerana tidak didefinisi sebagai ‘miskin’, contohnya, dengan pendapatan serendah RM800 sebulan untuk sekeluarga 6 orang. Ini memberikan ahli politik dan perangka polisi gambaran yang salah tentang masalah sebenar kemiskinn yang melanda rakyat Malaysia.

Berdasarkan pengiraan kami yang konservatif, nilai PLI dan PLI tegar harus dinaikkan sehingga RM1200 dan RM750 untuk Bandar, dan untuk luar Bandar pula, harus dinaikkan kepada RM800 dan RM550, secara berperingkat.

Sebagai tambahan, penggunaan elektrik luar Bandar di sabah dan Sarawak hanya 74.7% dan 84.1% dalam tahun 2007, manakala penggunaan air luar Bandar pula hanya 65% di Sabah dan 92% di Sarawak. Pada masa yang sama, Sabah dan Sarawak adalah Negara mempunyai kadar kemiskinan dan kemiskinan tegar tertinggi di Malaysia. Adlah sngat memeranjatkan bahawa rakyat maalysia di Situ tidak langsung mendapat kemudahan asas seperti air dan elektrik.

Maka dengan itu, memperbaiki infrastruktur, selain daripada pembinaan dan pembaikpulih rumah di kawsan luar Bandar di Sabah dan Sarawak, bukan hanya patut dilakukan sejak lampau, malah adalah langkah yang sangat perlu untuk merendahkan jurang pendpatan antara Malaysia timur dan barat. Usaha kerajaan persekutuan kini serta kebertanggungjawaban politik untuk mengatur masalah ini adalah sangat diperlukan. Kami meminta dan memanggil kerajaan persekutuan untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya RM9 bilion untuk projek yang disebut selama 3 tahun.

Kami juga ingin menerapkan unsur-unsur kebertanggungjawaban dalam pengagihan kekayaan minyak negara.

Malaysia diberkati dengan kekayaan sumber asli. Kita terutamanya syukur kerana negara ini kaya dengan minyak dan gas yang telah melahirkan wakil tunggal Malaysia di dalam senarai Fortune 500, Petroliam Nasional Berhas (PETRONAS). Semenjak pensyarikatan kumpulan PETRONAS 35 tahun yang lalu, kumpulan tersebut telah menyumbangkan sebanyak RM471 bilion kepada Kerajaan di samping menanggung subsidi gas kumulatif sebanyak RM 97 bilion.

Malaysia telah menikmati sumber petroleum yang banyak dan menjana pendapatan kepada kerajaan Malaysia menerusi kutipan cukai pendapatan, royalti, dividen dan jenis cukai dan yuran selainnya. Walau bagaimanapun, di sebalik pulangan menguntungkan daripada industri minyak dan gas, rakyat masih tidak dapat menikmatinya dan negara pula menanggung hutang yang kian bertambah. Dalam jangka masa 12 tahun, di sebalik lonjakan harga minyak global, Malaysia tidak mempunyai rizab atau lebihan untuk dipamerkan sebagai hasil kekayaan minyak negara.

Kami mahu menstruktur dan mengagihkan semula kekayaan minyak negara bagi memastikan ia akan dilaburkan untuk mengekang masalah yang bakal timbul apabila simpanan minyak telah kering menerusi pelaburan strategik dalam pembangunan keupayaan baru seperti tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau serta pembangunan modal insan.

Tambahan lagi, sewaktu ditemuduga oleh Bernama dalam bulan Jun 2008, Tan Sri Hassan Marican, selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan PETRONAS telah berkata “ kami akan meneruskan penghasilan selama lebih kurang 20 tahun yang akan datang”. Dalam erti kata yang lebih jelas, “ Malaysia akan menjadi Negara pengimpot ‘net’ apabila keperluan domestik, yang pertumbuhan kini adalah enam peratus setahun, akan melebihi penghasilan Negara dalam tahun 2011.”

Seterusnya, globalisasi yang semakin meningkat telah menambahkan daya saing di kalangan PETRONAS, pengeluar minyak mentah dan syarikat-syarikat minyak Negara. Ini telah mendatangkan impak yang ketara kerana operasi antarabangsa merupakan penjana pendapatan utama kumpulan (PETRONAS) serta segmen yang paling tinggi pertumbuhannya dalam dua tahun kebelakangan. 42.1% hasil pendapatannya pada tahun fiscal 2009 adalah daripada operasi antarabangsa, berbanding kepada 35.4% dalam tahun fiscal 2005. Untuk mengekalkan daya saingnya sebagai pemain global di pasaran minyak, adalah sangat penting untuk kumpulan PETRONAS ini menyalurkan keuntungan dan pelaburan supaya jumlah simpanan minyak dan gas dikekalkan, menyerlahkan kadar pemulihan dan memperbaiki kebergantungan dan produktiviti infrastruktur.

Namun, kebolehan pelaburan kumpulan ini dan lestari jangka masa panjang mungkin berkurangan disebabkan penyusutan keuntungan untuk pelaburan semula dan pembayaran balik kepada kerajaan. Secara khusus, keuntungan sedia ada untuk pelaburan semula oleh PETRONAS jatuh dari 42.5% dalam tahun fiskal 2005 kepada hanya 21.1% dalam tahun fiskal 2009. Dalam kata nilai mutlak, agihan keuntungan kumpulan PETRONAS yang diperuntukkan untuk kerajaan persekutuan telah meningkat dari 44.1% ke 65.4% pada jangka masa yang sama.

Untuk mengolah kebergantungan kepada pendapatan hasil minyak dan gas, kami sarankan agar kumpulan PETRONAS meletakkan suatu target supaya bayaran tidak lebih 50% dari keuntungan sebelum cukai, serta duti dan royalty dibuat kepada kerajaan persekutuan bermula tahun 2012 dan seterusnya. Dengan pengekangan atas jumlah bayaran dari keuntungan kumpulan kepada kerajaan persekutuan, Negara kita akan dapat mengekalkan peratusan ekkayaan minyak untuk pendapatan kerajaan persekutuan dalam lingkungan 35%, yang berkadar dan sejajar dengan tujuan strategic Negara kita untuk mempelbagaikan ekonomi dan sumber pendapatan.

Pengekangan ini tidak akan menjejaskan kekuatan fiskal untuk merangsang ekonomi Negara. Fakta menunjukkan bahawa Negara Norway meraih lebih kurang 30% dripada pendapatan Negara dari hasil industry minyaknya walaupun ia merupakan Negara pengeluar minyak ketiga besar di dunia memberikan gambaran jelas suatu contoh model yang boleh Negara kita ikuti.

Pengekangan ini juga bukan hanya akan merubah trend kebergantungan melampau Negara atas sumber tenaga minyak dan gas yang tidak boleh diperbaharui dan menjadi pemangkin pertumbuhan sector produktif Negara yang lain, malah akan membolehkan PETRONAS memperluaskan kadar pelaburan semula. Keuntungan disimpan oleh PETRONAS akan memberikan lebih fleksibiliti dan kapasiti untuknya meningkatkan keuntungan dari pelaburansemula sehingga 40%. Ini akan mengurangkan jurang pelaburan semula antara PETRONAS yang melabur semula 57.1% dari keuntungan purata tahun fiskal 2009, dan syarikat minyak yang lain yang menyalurkan purata 72.9% dari keuntungan purata mereka untuk tahun fiskal yang sama.

Bagi sumbangan hasil yang diterima daripada sektor minyak dan gas, kami menyeru supaya kerajaan memaktubkan penggunaan lebihan pendapatan minyak dan gas dengan

I. sekurang-kurangnya 20 peratus daripada lebihan bayaran disalurkan kepada Khazanah Nasional Berhad untuk tujuan kapasiti baru dan pembinaan keupayaan dalam sektor utama antaranya Tenaga Boleh Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga (RE&EE) dan Teknologi Hijau;

II. sekurang-kurangnya 20 peratus lebihan bayaran akan dimasukkan ke dalam Dana Stimulus Nasional yang bertujuan melonjakkan perbelanjaan fiscal dan menyediakan bantuan kewangan kepada rakyat semasa kegawatan ekonomi di bawah skim baru, Malaysia Reversed Bonus dan Special Risk-sharing Initiative (SRI). [Dalam tahun-tahun perkembangan ekonomi pesat dan pendapatan yang diperolehi secara ‘durian runtuh’, bayaran terlebih PETRONAS sepatutnya disimpan dalam Dana Rangsangan Negara, atang akan memfokuskan pelaburan risiko rendah yang mendatangkan kadar hasil yang mantap. Lngkah ini bukan sahaja akan menyediakan Negara kita sekiranya berlaku apa-apa keberangkalian yang tidak diingini dan ketidakpastian akan dating, tetapi juga mengelak dari senario inflasi melampau dan ‘over-heating’ sewaktu ekonomi berada dalam keadaan baik. Kami percaya pendpatan minyak ‘durian runtuh’ sepatutnya dikongsi bersama oleh semua rakyat untuk menanam sikap setia dan menghargai titik peluh semua rakyat. Perkongsian pendapatan ini dapat paling dirasakan dengan member bantuasn kewangan kepada rakyat terbanyak ketika berlaku krisis ekonomi malap yakni sewaktu rakyat paling memerlukan.

III. dan sekurang-kurangnya 20% daripada lebihan bayaran akan dilaburkan dalam pembangunan sumber manusia, terutama dalam Pendidikan dan Latihan.

Pada masa yang sama, DAP mahu mensturktur semula semua konsesi yang tercetus dari dasar Malaysia Inc di bawah pemerintahan Dr. Mahathir semasa era 90an yang menyebabkan hanya beberapa kerat orang menjadi kaya-raya, melemahkan kewangan negara dan mengurangkan daya tahan serta daya saing untuk Malaysia bersaing di peringkat global. Kontrak seperti ini, terutama Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), lebuhraya bertol dan konsesi air tidak sepatutnya jatuh ke tangan pemegang konsesi yang mengaut kekayaan melampau hasil kerja dan usaha rakyat biasa.

Kami mencadangkan agar suatu Akta Perjanjian Awam Tidak Adil digubal dan suatu badan suruhanjaya bebas dikenali sebagai Suruhanjaya perjanjian Awam ditubuhkan untuk mengkaji konsesi yang berat sebelah yang dilihat sebagai bercnggah dengan hak kepentingan awam.

Akta seperti ini sepatutunya termaktub dalam rangka persekutuan seperti Akta Pengambilan Semula Tanah 1960 (Land Acquisition Act 1960) yang membenarkan kerajaan mengambil alih sebarang tanah persendirian untuk tujuan awam, dengan syarat pampas an yang cukup diberi.

Akta sedemikian tidaklah asing, di mana kita lihat domain yang setara (Amerika Syarikat), pembelian wajib (UK, NZ, Ireland) penerusan dan pengambilan semula wajib (Australia) dan rampasan (system common law Afrika Selatan dan Kanada) adalah contoh jelas kuasa segenap negeri untuk mengambil tanah persendirian dengan syarat pampas an cukup dibayar. Adalah nyata bahawa pemilikan persendirian tidaklah mutlak dan tidak boleh dicabar, seperti juga konsesi lebuhraya dan utiliti.

Dengan itu, kami menyerukan kerajaan supaya memperuntukan sebanyak RM25 bilion secara “off-budget”, iaitu tanpa mengenakan tanggungan tambahan kepada kerajaan bagi membeli semula PLUS Expressways dan pemegang konsesi lebuhraya bertol yang mengaut keuntungan melampau dan tidak berpadanan dengan risiko dan modal yang dilaburkan. Pembelian semula itu akan dilakukan menerusi penggubalan Akta Kontrak Tidak Adil untuk memastikan ketelusan proses, di samping menilai semula konsesi lain seperti Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) , konsesi air, perkhidmatan pengurusan hospital, penswastaan stor perubatan kerajaan dan ujian perubatan pekerja asing.

Teras III: Pembinaan kapasiti

Akhir sekali, DAP sangat menitik-beratkan pembangunan dan usaha menggalakkan bakat-bakat tempatan untuk membantu negara mencapai status negara maju. Sebagai tambahan, bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan global, beberapa rangkaian pendekatan akan diambil dalam sektor pendidikan, penjagaan kesihatan, pengangkuran, kewangan, teknologi, keselamatan, tenaga dan alam sekitar untuk meningkatkan daya saing di peringkat serantau dan global.

Kelemahan daya saing negara kini sangat ketara. Sikap kerajaan yang terus mendabik dada dengan kejayaan lalu akan menyebabkan kerosakan yang teruk kepada ekonomi dan daya saing negara. Walau bagaimanapun, jika kita menerapkan unsur-unsur ketahanan dan peningkatan daya tahan, kerja keras dan inovasi, Malaysia akan mendapat kedudukan lebih baik untuk merebut peluang pertumbuhan ekonomi dunia. DAP mahu membangkitkan semula semangat daya saing kepada ekonomi negara menerusi penerapan daya juang lebih tinggi, lebih bertanggungjawab dan peningkatan tahap ketelusan.

Oleh itu kita harapkan Belanjawan boleh bantu hapuskan miskin tegar samada yang dilakukan di Pulau Pinang yang telah menjaminkan sekurang-kurangnya RM 500 setiap keluarga sebulan. Bantulah juga mereka yang perlukan kredit kad untuk “roll over” lebih baik daripada pinjam daripada Along. Sekiranya ingin kenakan caj, RM 50 terlalu tinggi ia harus dikurangkan kepada RM 10. Cukai keuntungan hartanah atau RPGT sebanyak 5 peratus yang dicadangkan juga harus dibatalkan.

Tuan Yang di Pertua,

Saya ingin bertanyakan bahagian Pulau Pinang dalam Bajet 2010 Kerajaan Persekutuan berjumlah RM191.5 bilion yang merangkumi RM138.3 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala RM53.2 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan. Saya harap pecahan terperinci ikut Kementerian dan sektor boleh diberikan. Adalah diharapkan unjuran ekonomi GDP mengikut sektor, kadar inflasi dan pendapatan isirumah boleh diberikan.

Negeri Pulau Pinang adalah di antara negeri yang paling pesat membangun dan penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia. Kadar purata pertumbuhan tahunan KDNK sebenar yang dicatakan dalam tempoh 1990-2000 ialah 8.2%. Adalah dijangkakan dalam tempoh 2001-2010 akan mencatatkan pertumbuhan KDNK melebihi 6.5%. Bagaimanapun ekoran daripada kemelesetan ekonomi global telah memberi kesan ketara ke atas kadar pertumbuhan ekonomi negeri Pulau Pinang di mana anggaran KDNK bagi tahun 2009 menyusut sehingga -3 peratus berbanding 3.3 peratus pada tahun 2008.

Sebagai negeri yang bergantung kepada sumber manusia, kita perlu membangunkan insan kreatif, inovatif dan pintar. It has been said small minds discuss people, average minds discuss events and great minds discuss ideas. We want to grow great minds with new ideas that makes your dreams come true.

Pulau Pinang berhasrat untuk menjadi sebuah negeri bertaraf antarabangsa yang menjadi pilihan utama para pelabur, pelancong dan mempunyai kehidupan yang mapan (sustainable living). Kita perlu pengiktirafan antarabangsa dan urus tadbir CAT – Competency, Acountability and Transparency. Cekap, Akauntable dan Telus telah berjaya memerangi rasuah dan penyelewengan serta menjimatkan wang sehingga mendapat pujian Transparency International dan Laporan Ketua Audit Negara. UNESCO pun telah memberikan pengiktirafan kepada George Town sebagai Tapak Warisan Dunia yang menjadikan Pulau Pinang suatu pilihan pelancongan utama.

Di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di mana Pulau Pinang dikenalpasti sebagai hub logistik. Oleh itu perlu peruntukan sebanyak RM800 juta bagi mewujudkan Integrated Cargo Terminal (Terminal Kargo Bersepadu) di Pulau Pinang bagi mengendalikan perkhidmatan kargo di bawah satu pengurusan kargo yang berkesan, pembinaan 2nd runway kedua dan LCCT di Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri amat berharap agar siling peruntukan asal RMKe-9 sepertimana yang telah diluluskan untuk Projek Menaik Taraf Infrastruktur Asas Kawasan Perindustrian Sedia Ada Pulau Pinang berjumlah RM128.0 juta dapat dipenuhi semula oleh Kerajaan Persekutuan. Sehingga kini, jumlah keseluruhan peruntukan yang diterima ialah RM71,797,000. Tambahan peruntukan yang dipohon adalah sebanyak RM56.2 juta bagi menampung keperluan pelaksanaan projek di Kawasan Perusahaan Perai I, II, III, IV dan Zon Perindustrian Bebas Perai serta Kawasan Perindustrian Bayan Lepas. Peruntukan ini adalah untuk melaksanakan projek infrastruktur asas seperti perparitan dan jalan ban bagi mengatasi masalah banjir di kawasan ini. Sekiranya dibiarkan berlarutan akan menjejaskan imej negeri Pulau Pinang terutamanya dalam usaha Kerajaan Negeri untuk menarik pelaburan asing ke negeri ini.

Penyenaraian George Town dan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 7 Julai 2008 merupakan suatu yang yang amat membanggakan rakyat dan negara Malaysia. Pengumuman pemberian peruntukan sebanyak RM25 juta oleh Kerajaan Persekutuan masing-masing kepada George Town dan Melaka bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan tapak warisan sehingga kini masih belum disalurkan kepada Negeri Pulau Pinang. Adalah tidak adil Melaka disalurkan RM 30 juta sedangkan tidak ada sesen pun diperuntukkan kepada George Town bila ia mengharumkan bukan sahaja Pulau Pinang tetapi juga Malaysia di pentas antarabangsa.

Kerajaan Negeri sentiasa memberi komitmen dalam pembangunan perumahan terutamanya perumahan kos rendah dan sederhana rendah untuk golongan berpendapatan rendah. Usaha dan komitmen kerajaan ini telah membolehkan seramai 30,829 pemohon ditawarkan rumah manakala 14,139 pemohon lagi masih dalam senarai menunggu untuk ditawarkan rumah. Sehubungan itu, kerajaan Negeri amat berharap agar 3 buah tapak cadangan bagi pembangunan PPR Dimiliki yang telahpun dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan diberi pertimbangan sewajarnya.

Di dalam menyelesaikan masalah projek terbengkalai pula, Kerajaan Negeri harap peruntukan daripada dana RM 200 juta boleh diberikan kepada 8 buah projek terbengkalai rumah awam di Pulau Pinang bagi menjamin kepentingan pembeli-pembeli perumahan tersebut.

Di bawah Rancangan Bandar Selamat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah membuat janji pada tahun 2007 untuk membekalkan 48 CCTV untuk di pasang di kawasan-kawasan hitam yang telah dikenalpasti oleh pihak Polis. Tetapi sehingga kini pemasangan CCTV tersebut masih belum dilaksanakan. Memandangkan Kerajaan Negeri amat peka dengan isu keselamatan dan sebagai langkah untuk mencegah dan membenteras jenayah, pihak MPPP telah memasang 31 unit CCTV dengan peruntukan sendiri untuk memastikan rakyat Pulau Pinang bukan sahaja selamat tetapi merasi selamat juga.

Dalam membantu usahawan kecil dan sederhana mempromosikan hasil keluaran mereka, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) ketika itu telah meluluskan peruntukan berjumlah RM9.0 juta. Peruntukan ini bertujuan menaik taraf Tapak Ekspo di Seberang Jaya yang telah berusia melebihi 10 tahun sebagai sebuah Pusat Pameran Perdagangan dan Pertanian di Pulau Pinang. Namun begitu projek ini juga mengalami nasib yang sama kerana ditangguhkan pelaksanaannya oleh MECD.

Melalui Kempen “Malaysia Cergas’, rakyat di negeri ini digalakkan agar bergiat cergas di dalam bidang sukan dan rekreasi bagi mewujudkan komuniti masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat, cergas dan berdisplin. Kerajaan Negeri ingin merayu agar projek-projek yang telah ditarik balik kelulusannya dan ditangguhkan pelaksanaannya oleh Kementerian Belia dan Sukan diaktifkan semula. Ini merangkumi Projek Pembinaan Dry Gym di Pusat Arena Sukan Antarbangsa Pulau Pinang (PISA) dan Projek Menaik Taraf Kompleks Sukan Bertam masing-masing diluluskan peruntukan berjumlah RM3.5 juta dan RM3.6 juta.

Penempatan semula pendudukan terlibat bertujuan memastikan Projek Menaik Taraf Sungai Pinang beratus juta di bawah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang dapat dilaksanakan dengan segera memandangkan masalah banjir kilat merupakan suatu fenomena yang tidak dapat dielakkan setiap kali hujan lebat, RM2.4 juta untuk tujuan pembaikan dan pembinaan rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin, RM 3 juta untuk menaik taraf persimpangan Jalan Jarak-Padang Menora di kawasan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sebuah kerajaan berjiwa rakyat adalah berlandaskan prinsip 3P:-

- Perkasakan Rakyat dengan ilmu pengetahuan, pendidikan dan kepakaran yang memberikan peluang yang sama untuk mewujudkan kemakmuran;

- Perkuasakan Rakyat dengan hak-hak asasi, kebebasan dan kebertanggungjawaban yang membela martabat insane; dan

- Perkayakan Rakyat dengan berkongsikan hasil ekonomi bagi mencapai keadilan sosio-ekonomi

Adalah diharapkan tema Kemakmuran Bersama dalam Belanjawan ini boleh dilaksanakan dengan memastikan semua rakyat diberikan layanan yang sama sebagai warganegara yang bermaruah. Jangan hanya sebut RM 20 juta untuk skim Tekun bagi kaum India bila yang diharapkan ialah layanan yang adil kepada semua. Apa itu RM 20 juta berbanding dengan keseluruhan Belanjawan RM 191.5 bilion? Sepatutnya disebutkan berdasarkan keperluan bukanlah warna kulit.

Sekiranya 1 Malaysia yang didokong, mengapa cukai untuk knowledge workers di Iskandar dikurangkan kepada 15% bila di Malaysia masih dikekalkan 26%. Macam mana ini boleh selaras dengan semangat satu hati untuk satu Malaysia bila ada diskriminasi terhadap negeri selain daripada Johor. Saya harap semua negeri boleh menikmati insentif cukai 15% untuk mengelakkan gambaran Satu Negara, Dua Sistem!

Saya ingin akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun :

Malaysia Tercinta Negara Kita
Adil Ditegak Rakyat Dijaga
Anak Malaysia Harapan Bersinar
Amar Maaruf Nahi Mungkar


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ketua Menteri Pulau Pinang; Ahli Parlimen kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional