red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada Rabu, 2 September 2009:

Keputusan SPR tidak mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh adalah untuk survival politik UMNO

Saya berasa amat kecewa dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh, Kedah yang dipegang oleh Abu Hassan Sarif (BN-UMNO) pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu, masing dipegang beliau apabila Speaker DUN Kedah telah mengumumkan bahawa kerusi tersebut dikosongkan kerana Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua sidang DUN berturut-turut pada 19 April dan 9 Ogos yang lalu.

Keputusan SPR ini sama dengan keputusannya yang lalu apabila SPR tidak menerima keputusan Speaker DUN Perak YB V. Sivakumar yang mengosongkan kerusi ketiga-tiga ADUN yang keluar daripada Pakatan Rakyat, iaitu kerusi DUN Jelapang, Behrang dan Changkat Jering.

Keputusan SPR ini sekali lagi menunjukkan bahawa SPR bertindak bukan sahaja di luar bidang dan batasan kuasanya tetapi juga bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Negeri Kedah.

Saya berasa amat kecewa dengan kejadian ini apabila badan-badan yang sepatutnya berfungsi dengan bebas serta tanpa gangguan politik telah sekali lagi diperkudakan untuk kepentingan dan survival politik UMNO semata-mata.

Cuti sakit perlulah dimaklumkan secara rasmi kepada ketua perundangan (legislatif), dalam kes ini ialah Speaker DUN Kedah, YB Datuk Dr Abdul Isa Ismail. Cara notis cuti sakit yang dihantar melalui SMS kepada orang yang tidak betul iaitu Ketua Pembangkang bukanlah cara yang betul dan cara yang diiktiraf.

Malahan budak sekolah pun tahu apabila mereka perlu mengambil cuti sakit daripada sekolah, mereka perlu mendapat notis cuti sakit daripada doctor perubatan yang bertauliah dan ianya perlu diserah kepada guru tingkatan, bukan ketua darjah atau kawan.

Seksyen 51 perlembagaan negeri memperuntukkan mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang dewan dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pula berkata sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman digunakan, ia terlebih dahulu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan. Beliau turut berkata seseorang ADUN hanya kehilangan keanggotaannya jikalau beliau tidak hadir dalam dua sidang DUN berturut-turut dalam penggal yang sama.

Alasan ini tidak diterima kerana perkataan “penggal yang sama” langsung tidak wujud dalam Perlembagaan Kedah.

Justeru itu, adalah amat jelas bahawa SPR telah bertindak diluar batasannya dan ini adalah sangat berbahaya kerana sudah tentu ini akan mengugat keutuhan Perlembagaan Malaysia dan negeri Kedah.


* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional