red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada Ahad, 6 September 2009:

Siapakah pengkhianat bangsa Melayu dan Malaysia?

Mereka yang mendapat manfaat daripada Petronas tetapi tidak membayar balik pinjaman merupakan pengkhianat paling besar kepada bangsa Melayu dan Malaysia kerana tindakan mereka ini telah secara tidak langsung menolak peluang anak-anak Melayu muda yang lain untuk menerima bantuan dan manfaat daripada Petronas, syarikat minyak tunggal tanah air.

Saban hari ramai yang bercakap tentang hak dan ketuanan Melayu. Adalah amat memeranjatkan bahawa terdapat mereka yang begitu ghairah memperjuangkan kononnya “ketuanan Melayu” tetapi mereka sendiri yang menjadi pembelot terbesar apabila mereka tidak menjelaskan pinjaman pelajaran yang ditawarkan kepada mereka oleh Petronas.

Latt Sharizan bin Abdullah, Ketua Pemuda UMNO Petaling Jaya Utara, telah wujud dalam satu iklan yang diterbit dalam suratkhabar The Star pada 18 Ogos 2009. Iklan ini merupakan satu notis terbuka kepada mereka yang masih tidak menangguhkan bayaran balik mereka. Mereka perlu menghubungi Petronas dalam masa tiga puluh hari daripada tarikh iklan tersebut.

Latt Sharizan bin Abdullah juga merupakan salah satu daripada Ketua Pemuda Bahagian UMNO yang mengasak YB Karpal Singh di bangunan Parlimen kerana kenyataan YB Karpal Singh yang menyentuh tentang krisis perlembagaan Perak. Latt Sharizan kemudian didapati bersalah dan dihukum RM1000.

Bagaimana Latt Shatizan gagal membayar pinjaman pelajarannya kepada Petronasnya? Beliau merupakan seorang usahawan yang berjaya, juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Simfoni Maya Sdn. Bhd., sebuah syarikat pengiklanan yang mempunyai banyak klien daripada kerajaan dan GLC.

Apabila seseorang gagal membayar pinjaman pelajaran atau biasiswa Petronas, ini turut bermakna seseorang itu membelakangi rakyat Malaysia yang lain kerana ini secara tidak langsung ini akan mengurangkan bilangan biasiswa dan pinjaman pelajaran yang dapat ditawarkan Petronas kepada pelajar-pelajar lain, sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera, yang memenuhi kehendak dan syarat-syarat.

Adakah Latt Sharizan tidak mampu untuk membayar balik? Sudah tentu tidak, kerana beliau merupakan seorang usahawan yang berjaya. Jadi, siapa yang membelakangi Melayu? Siapa yang membelakangi rakyat Malaysia?


* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional