red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Chong Eng di Bukit Mertajam pada Isnin, 14 September 2009:

Keganasan politik terutamanya terhadap wanita mesti dibendung segera

Jawatankuasa Perhubungan DAP Bukit Mertajam ingin menyuarakan kebimbangan dan serta mengecam kes keganasan dan ugutan politik yang semakin berleluasa di Negara kita. Jawatankuasa menyeru supaya pihak polis segera menjalankan siasatan terhadap semua kes ancaman dan ugutan politik serta mengambil tindakan serta merta bagi menghentikan budaya keganasan dalam politik.

Khususnya, Jawatankuasa mengecam tindakan mereka yang telah mengancam Ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Yang Berhormat Puan Rodziah Ismail, dengan bahasa kesat dan ugutan untuk merogol beliau semasa dialog antara Kerajaan Negeri dan penduduk Seksyen 23 Shah Alam di Selangor. Tindakan tersebut telah melampaui batas kemanusiaan dan moral serta berunsurkan keganasan. Jawatankuasa menyokong penuh YB Puan Rodziah untuk mendapatkan keadilan dalam kes ini.

Ramai ahli politik Negara kita pernah menerima ancaman keselamatan diri tetapi pemimpin politik kaum wanita secara amnya menghadapi tekanan yang lebih besar yakni, ancaman gangguan dan keganasan seksual. Dalam kes YB Puan Rodziah, seorang individu semasa dialog tersebut telah menghina dan melabelkan beliau sebagai “pelacur” dan juga mengancam untuk merogol beliau. Pemimpin-pemimpin politik wanita yang lain seperti Teresa Kok, Ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Chew Mei Fun, Ketua Wanita MCA dan Dr. Joyce Lee, AJK Wanita PKR kebangsaan juga pernah menerima ancaman keselamatan nyawa dan gangguan seksual. Di Parlimen, wakil-wakil Rakyat wanita terutamanya di pihak Pembangkang sering ditujukan bahasa-bahasa berbentuk gangguan seksual.

Kes-kes ini menunjukkan bahawa pemimpin dan ahli politik wanita bukan sahaja menghadapi tekanan kerja seperti pemimpin lelaki, malah terpaksa menghadapi ancaman keselamatan nyawa serta penghinaan terhadap maruah mereka.

Justeru, Jawatankuasa menyeru supaya mekanisme keselamatan mestilah dibentuk untuk menjamin keselamatan nyawa ahli politik secara amnya, tetapi khususnya, ahli politik wanita serta pegawai-pegawai politik mereka. Ini bagi menjamin suatu suasana politik yang sihat bagi mendukung demokrasi di Negara kita.

Kerajaan juga mestilah mengukuhkan lagi kedudukan kepimpinan wanita termasuk segera mencapai 30% penglibatan wanita di peringkat pembuat dasar tertinggi negara.

Akhir sekali, Jawatankuasa menyeru supaya para wanita dan semua Rakyat Malaysia untuk mengemblengkan tenaga bagi mengupayakan lagi pengaruh pemimpin wanita dalam politik dan seterusnya menentang tindakan tidak hormat dan kurang ajar terhadap kaum wanita secara keseluruhannya.


* Chong Eng, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan DAP Bukit Mertajam & Ahli Parlimen Bukit Mertajam

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional