red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Ng Wei Aik di Georgetown pada Rabu, 23 September 2009:

Keretapi Bukit Bendera tidak mengalami kerosakan kali kedua

Saya ingin menegaskan bahawa Keretapi Bukit Bendera (KBB) tidak mengalami kerosakan kali kedua, seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media.

KBB hanya mengalami kerosakan pada 21 September 2009 (Isnin) dari jam 6.45 petang sehingga 10.15 malam dan tiada kerosakan berlaku pada keesokan harinya, sehingga perkhidmatannya terpaksa tergendala buat kali kedua.

Pada 21 September 2009 jam 6.45 petang, perkhidmatan KBB tergendala akibat dua suis yang mengawal kelajuan dan “censor” keretapi di stesen atas Bukit Bendera mengalami kerosakan. Pihak KBB telah memanggil kontraktornya untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan serta-merta.

Walau bagaimanapun, pihak kontraktor hanya sempat membuat pembaikan sementara pada malam tersebut supaya perkhidmatan keretapi dapat dipulihkan untuk membawa penumpang-penumpang yang tersangkut di stesen atas untuk turun bukit.

Pada keesokan harinya, pihak KBB telah mengumumkan bahawa perkhidmatan keretapi diberhentikan buat sementara waktu, mulai jam 9.05 pagi sehingga 11.10 pagi, supaya pihak kontraktor dapat menggantikan alat-alat yang telah mengalami kerosakan sebelum itu.

Sebelum perkhidmatan keretapi diberhentikan buat sementara waktu, pihak KBB telah membuat pengumuman melalui sistem penyiarannya, termasuk membuat pengumuman melalui kakitangan-kakitangannya yang ditugaskan di tempat-tempat letak kereta yang berhampiran untuk mengelakkan keadaan kelam-kabut berulang lagi.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak berharap laporan media yang tidak tepat akan mendatangkan persepsi awam yang negatif terhadap pihak kerajaan, sehingga mereka diberi tanggapan salah bahawa perkhidmatan keretapi sering tergendala atas sikap Kerajaan Negeri yang tidak mengambil berat terhadap kerosakan yang berlaku selama ini.

Pada hakikatnya, Ketua Menteri Pulau Pinang Y.A.B. Lim Guan Eng amat berprihatin terhadap insiden ini dan semua jabatan atau agensi kerajaan yang terlibat telah diarahkan supaya menghantar lebih ramai kakitangan, walaupun banyak di kalangan mereka masih bercuti atas sebab Hari Raya Aidilfitri, bagi menyertai kerja-kerja pembaikan serta mengangkut pelawat-pelawat turun bukit dengan kereta pacuan empat roda (4WD).

Terdapat 17 kereta pacuan empat road, termasuk 7 dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, 3 dari Jabatan Kerja Raya, 1 dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUK) dan 6 yang dimiliki oleh penghuni-penghuni atas bukit bagi menghantar pelawat-pelawat turun bukit.

Pada masa yang sama, PSUK, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Syarikat Rapid Penang masing-masing telah menghantar sebuah bas untuk mengangkut pelawat-pelawat balik dari Taman Botani ke stesen bawah KBB.

Setakat ini, kerja-kerja pembaikan bagi kerosakan yang dialami pada 21 September 2009 telah disempurnakan. Kita berharap tiada lagi kerosakan akan dialami sebelum Projek Penaiktarafan Sistem Keretapi Bukit Bendera yang melibatkan kos RM40 juta dapat dimulakan pada 28 Oktober 2009.


* Ng Wei Aik, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang & ADUN Komtar

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional