red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://www.wengsan.blogspot.com 

 

 

Ucapan Lau Weng San semasa membahas Enakmen Perbekalan Tambahan 2010 di DUN Shah Alam pada hari Rabu, 14hb April 2010:

Ucapan Perbahasan Enakmen Perbekalan Tambahan 2010 Negeri Selangor

Salam sejahtera.

1. Kerajaan bercadang untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM69 juta sebagai pinjaman kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) untuk membiayai kos program air percuma bagi 20 meter padu pertama kepada pengguna-pengguna domestik yang menggunakan meter individu di Negeri Selangor melalui bil yang dikeluarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) bagi tempoh April hingga September 2010.

2. Untuk makluman umun, proses penstrukturan semula industri air di Selangor sudah berlarutan selama setahun lebih dan sehingga sekarang rakyat Selangor belum melihat apa-apa perkembangan positif proses penstrukturan industri air Selangor.

3. Pada bulan Julai 2009, Kerajaan Negeri Selangor menawarkan RM9.2 bilion untuk mengambil alih semua aset air di Selangor, iaitu RM5.3 bilion untuk Puncak Niaga, RM3 bilion untuk SPLASH dan RM946 juta untuk Konsortium Abass. SPLASH pada asalnya menolak tawaran ini tetapi apabila Kerajaan Selangor meningkatkan tawaran harga ke RM10 bilion, maka SPLASH bersetuju.

4. Puncak Niaga dari permulaan rundingan sehingga sekarang telah menolak tawaran ini kerana dikatakan harganya terlalu rendah. Begitu juga kenyataannya daripada pihak Kerajaan Persekutuan.

5. Justeru itu, rundingan yang didorongi oleh Kerajaan Selangor ini bertukar tangan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dengan PAAB tidak membuat apa-apa tawaran harga.

6. Tiba-tiba, syarikat Gamuda membuat tawaran terkejut sebanyak RM10.8 bilion melalui SPLASH (40% saham SPLASH dikuasai Gamuda) untuk tujuan yang sama pada akhir bulan Mac 2010. Mengikut tawaran Gamuda, SPLASH akan mengekalkan tarif air di Selangor dengan lonjakan tarif air sebanyak dua hingga tiga peratus setahun.

7. Di bawah perjanjian konsesi yang asal, Syabas berhak untuk menaikkan tarif air sehingga ke 37% serta-merta jikalau memenuhi beberapa syarat. Malahan Syabas telah mendakwa Kerajaan Selangor di mahkamah untuk mendapat ganti rugi kerana Kerajaan Selangor tidak membenarkan kenaikan tarif pada tahun lalu. Syabas juga berhak untuk menaikkan tarif sebanyak 25% pada 2012, 20% pada 2015, 10% pada 2018 dan 5% setiap 3 tahun sehingga 2030.

8. Tawaran yang dibuat oleh SPLASH, iaitu RM10.8 bilion tidak banyak berbeza dengan harga yang ditawarkan oleh Kerajaan Selangor, iaitu RM10 bilion. Malahan SPLASH tidak akan bergantung kepada mana-mana kerajaan untuk membiayai kos keseluruhan proses pengambilalihan aset-aset air.

9. Biarpun industri air ini sebaik-baiknya diletakkan di bawah pengurusuan kerajaan, tawaran SPLASH ini menunjukkan bahawa harga yang diidam-idamkan oleh Syabas adalah terlalu tinggi dan terlalu membebankan rakyat Selangor.

10. Jika sebuah syarikat swasta seperti SPLASH/Gamuda mampu menawarkan harga yang tidak jauh berbeza dengan Kerajaan Negeri tanpa bergantung kepada apa-apa bantuan daripada kerajaan, maka ianya sekaligus menyangkal dakwaan Kerajaan Persekutuan bahawa harga Kerajaan Negeri terlalu rendah.

11. Malahan agensi Kerajaan Persekutuan, PAAB turut berkata bahawa kenaikkan tarif air selepas proses penstrukturan semula tidak perlu naik setinggi 37% tetapi mungkin hanya sekitar 10%.

12. Justeru itu, PAAB harus menyokong Kerajaan Negeri dan bukan bermain politik dalam isu ini. Jika PAAB dan Kerajaan Persekutuan ingin mengambil alih aset-aset air ini, maka PAAB perlu menawarkan harganya dan memimpin rundingan air ini sehingga ianya membuahkan hasil. Malangnya, ini tidak berlaku sehingga Gamuda terpaksa mencari jalan keluar.

13. Dalam satu wawancara antara The Edge dengan Datuk Lin Yun Ling, beliau turut mengatakan bahawa kerajaan negeri harus diberi peluang untuk memainkan peranannya dan tidak harus diketepikan dalam seluruh proses.

14. Masalahnya sekarang, pertikaian ini seolah-olah telah menjadi satu “dead-lock”. Apakah keputusan rundingan yang diadakan pada 6 April yang lalu? Bolehkah kita tahu serba-sedikit tentang hasil rundingan ini? Sampai bilakah kerajaan Selangor perlu memberi pinjaman kepada KDEB untuk program ini? Jika Kerajaan Persekutuan menuduh harga tawaran Kerajaan Selangor adalah terlalu rendah, bagaimana dengan harga tawaran Gamuda yang tidak jauh berbeza dengan harga kita? Jika PAAB ingin mengambil alih, maka apakah harganya?

15. Oleh itu, adalah jelas bahawa keseluruhan isu penstrukturan semula industri air ini telah bertukar menjadi isu politik. Kerajaan Selangor yang berusaha mengembalikan hak air kepada rakyat dengan menawarkan air percuma dan harga air yang lebih rendah telah diperlekehkan dalam rundingan air ini. Harga yang ditawarkan Kerajaan Selangor walau seberapa berpatutan pun, Kerajaan Persekutuan tidak akan melepaskan ia kepada Kerajaan Selangor dengan mudah. Sebabnya adalah ringkas, sekiranya hak air ini dikuasai oleh Kerajaan Selangor, kita akan dapat mengurangkan tarif air dan Kerajaan Persekutuan tidak ingin melihat ini berlaku. Jika ini berlaku, mimpi BN untuk mengambil alih kerajaan Selangor akan menjadi mimpi selama-lamanya.


* Lau Weng San, ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional