red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://chongeng.org/ 

 

 

Kenyataan media oleh Chong Eng di Bukit Mertajam pada hari Khamis, 5hb Ogos 2010:

Lindungi anak-anak kita, laksanakan pendidikan pencegahan rogol serta-merta

Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa kementerian beliau sedang membuat kajian untuk menerapkan pendidikan seks sebagai mata pelajaran di sekolah.

Walaupun saya menerima baik kenyataan tersebut, namun saya berpendapat bahawa Kementerian Pelajaran telah terlalu lama menundakan isu ini. Kerajaan tidak habis-habis dengan peringkat kajian sehinggakan tiada apa-apa penyelesaian konkrit terhadap isu yang semakin serius ini.

Statistik Polis Diraja Malaysia pada 2009 menunjukkan bahawa setiap hari di Malaysia, 10 orang wanita telah dirogol dan separuh daripada mangsa rogol ini ialah kanak-kanak di bawah umur 16 tahun. Kementerian Pelajaran tidak patut menangguhkan lagi perlaksanaan jalan penyelesaian dengan alasan "sedang membuat kajian". Kanak-kanak muda menjadi sasaran mudah bagi penjenayah seksual ini kerana mereka tidak diajar tentang konsep jantina dan seks, tentang anatomi mereka serta apa yang perlu dilakukan jikalau mereka dicabuli.

Baru-baru ini, mangsa-mangsa dalam kes rogol yang memeranjatkan masyarakat melibatkan pemandu teksi dan pemandu bas sekolah telah mendedahkan bahawa mereka telah dirogol untuk suatu tempoh masa tetapi tidak terdaya untuk berbuat apa-apa. Ini adalah kerana mangsa-mangsa ini tidak dididik dan diberi kesedaran tentang hak mereka serta tindakan yang boleh diambil. Seringkali juga, mereka diugut dan diberi amaran supaya tidak memberitahu orang lain.

Dalam pada Kementerian Pelajaran dan Kerajaan sedang dalam peringkat "membuat kajian", ada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang telah mengambil inisiatif melaksanakan program pendidikan dan kesedaran. Contohnya Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC) telah menjalankan program "OK TAK OK" yang mengajar kanak-kanak berumur 10-12 tahun untuk membezakan sentuhan yang baik dan sentuhan yang tidak baik serta apa yang perlu dibuat jikalau mereka disentuh dengan tidak baik atau tidak senonoh.

Saya mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran bekerjasama dengan NGO seperti ini dan menyalurkan dana supaya program-program kesedaran ini boleh dilaksanakan dengan lebih meluas lagi di tadika, taska dan sekolah di seluruh Negara.

Setiap hari, anak-anak kita dirogol dan menghadapi risiko dicabuli oleh penjenayah seks, justeru, Kerajaan Pusat tidak patut lagi memandang ringan perkara ini dan masih dalam keasyikkan "sedang membuat kajian". Kita tidak mampu untuk menangguhkan perkara ini lagi.


* Chong Eng, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Pengerusi DAP Wanita & Ahli Parlimen kawasan Bukit Mertajam

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional