red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://lokesiewfook.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Loke Siew Fook di Petaling Jaya pada hari Rabu, 11hb Ogos 2010:

DAPSY mengutuk keputusan Kabinet untuk terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik

DAPSY berasa amat kesal dan mengutuk keputusan Kabinet pada hari ini yang terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik. Ini merupakan satu keputusan yang amat retrogresif dan mendukacitakan aspirasi golongan muda khususnya pelajar-pelajar di Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA). Keputusan ini terus menafikan hak pelajar universiti tempatan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berpersatuan kepada setiap warganegara Malaysia.

Keputusan Kabinet pada hari ini menunjukkan bahawa Barisan Nasional langsung tidak mendengar pandangan rakyat khususnya golongan muda yang ingin melihat Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimansuhkan dan kebebasan akademik dikembalikan di kampus universiti tempatan. Keputusan ini juga membuktikan bahawa sayap Pemuda Barisan Nasional khasnya Pemuda UMNO dan Pemuda MCA semakin hilang taringnya kerana suara mereka yang mendesak supaya pelajar universiti dibenarkan untuk menyertai parti politik langsung tidak diberi pertimbangan oleh kerajaan. Malahan, suara Timbalan Menteri Penggajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang jelas ingin membawa perubahan ini juga tidak diendahkan oleh Menterinya sendiri.

DAPSY akan terus mendesak supaya AUKU dimansuhkan dan kebebasan pelajar universiti dikembalikan. DAPSY yakin bahawa sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan, agenda mendemokrasikan IPTA akan diberi perhatian yang serius dan kebebasan pelajar universiti termasuk menyertai parti politik akan dikembalikan.

Keputusan Kabinet hari ini akan menyemarakkan lagi semangat mahasiswa tempatan untuk bangkit membawa perubahan politik dan Barisan Nasional akan diberikan satu pengajaran yang lebih pahit oleh golongan muda pada pilihanraya umum yang ke-13 kelak.


* Loke Siew Fook, Ketua Pemuda Sosialis DAP & Ahli Parlimen Rasah

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional