red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://teresakok.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim di Shah Alam pada hari Rabu, 25hb Ogos 2010:

Selangor mencapai pelaburan perindustrian dan jumlah projek perindustrian yang tertinggi (166 projek) di Malaysia bagi Januari - Jun 2010

Statistik terkini MIDA (Malaysia Industrial Development Authority) mengenai pelaburan perindustrian di Malaysia bagi Januari hingga Jun 2010 mengikut negeri menunjukkan bahawa negeri Selangor telah mencapai jumlah pelaburan perindustrian yang diluluskan sebanyak RM 3.47 billion bagi tempoh tersebut.

Jumlah projek perindustrian yang tertinggi

Sebanyak 166 projek telah diluluskan di Selangor. Angka ini merupakan 36% daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia.

Selangor diikuti oleh Johor di tempat kedua dengan 89 projek dan Pulau Pinang di tempat ketiga dengan 60 projek.

Daripada 166 projek perindustrian yang diluluskan di Selangor, 99 merupakan projek baru manakala baki 67 merupakan projek yang diperkembangkan.

Jumlah peluang pekerjaan yang kedua tertinggi

Di samping itu, Selangor telah mencapai jumlah peluang pekerjaan yang dihasilkan yang kedua tertinggi dengan 10,614 pekerjaan.

Pelaburan tempatan yang terbesar

RM 1.492 billion atau 43% daripada pelaburan di Selangor terdiri daripada pelaburan asing manakala RM 1.981 billion atau 57% terdiri daripada pelaburan tempatan. Ini menunjukkan bahawa pelaburan tempatan amatlah penting bagi kerajaan negeri Selangor. Pelabur tempatan masih yakin melabur di Selangor di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.

Pelaburan asing dari seluruh pelusok dunia

Di kalangan pelaburan asing di Selangor, Jepun menanam pelaburan yang paling banyak dengan nilai pelaburan sebanyak RM371 juta, diikuti oleh Singapura dengan RM 357 juta, dan Thailand dengan RM250 juta.

Selangor masih pilihan terbaik bagi pelabur

Bilangan projek perindustrian yang tinggi di Selangor menunjukkan bahawa ekonomi Selangor masih lagi mantap dan merupakan destinasi pelaburan yang paling menarik bagi pelabur asing dan tempatan.


* Teresa Kok Suh Sim, EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan & Ahli Parlimen bagi kawasan Seputeh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional