red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://teresakok.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim di Shah Alam pada hari Isnin, 30hb Ogos 2010:

Tuduhan Tan Sri Rozali bahawa Kerajaan Negeri Selangor meminggirkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor adalah palsu dan langsung tidak berasas

Kenyataan Tan Sri Rozali Ismail bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah meminggirkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) adalah tidak bertanggungjawab kerana ia tidak berasas sama sekali. (Sumber: http://www.mmail.com.my/content/47793-malay-chamber-regrets-being-sidelined-selangor-government ).

Kerajaan Negeri Selangor sememangnya berhasrat membangunkan ekonomi negeri melalui pengembangan perniagaan, termasuklah agenda kami untuk mempromosi industri halal dan pembangunan ekonomi kaum Bumiputera. Untuk mencapai matlamat-matlamat ini, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berhubung dan berbincang dengan semua pihak perniagaan yang berkait melalui dialog terbuka supaya ia dapat dilakukan secara bersih dan telus. Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah dan tidak mungkin akan meminggirkan, memulaukan atau mengecualikan mana-mana dewan perniagaan daripada proses ini.

Contohnya, Kerajaan Negeri Selangor telah menganjurkan sesi dialog mengenai bajet tahunan negeri Selangor pada 26 hingga 27 Julai 2010. Semua dewan-dewan perniagaan telah dijemput hadir, termasuk DPMMS. Pertubuhan-pertubuhan seperti Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) dan Real Estate and Housing Developers' Association Malaysia (REHDA) telah menghantar wakil-wakil mereka untuk mengutarakan pendapat-pendapat mereka dan mewakili kepentingan mereka di dalam forum tersebut. Sebaliknya, DPMMS tidak hadir walaupun mereka telah dijemput. Ketidakhadiran mereka amat mengejutkan dan mengecewakan.

Di samping itu, Kerajaan Negeri Selangor juga telah menubuhkan suatu majlis penasihat yang dipanggil Selangor Business Council. Kami telah melantik para perniagaan, penganalisa dan ahli ekonomi dari pelbagai latar belakang untuk menjadi ahli majlis inil, termasuklah ahli-ahli perniagaan Melayu dan pakar ekonomi Melayu dan juga ahli-ahli DPMMS. Ini membuktikan bahawa tuduhan bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah meminggirkan para peniaga Melayu adalah suatu pembohongan dan penyebaran maklumat palsu.

Saya percaya bahawa Tan Sri Rozali Ismail telah membuat kenyataan tidak berasas ini kerana beliau memegang dendam terhadap Menteri Besar Tan Sri Khalid dan kerajaan Pakatan Rakyat kerana Selangor sedang berusaha membeli dan mengambil alih syarikat "cash cow"nya, iaitu Syabas. Tan Sri Rozali sudah pun diketahui umum sebagai penyumbang dana yang besar kepada UMNO, oleh itu, beliau sedang menyokong UMNO dengan menyerang Kerajaan Negeri Selangor dengan tuduhan-tuduhan yang bukan-bukan.


* Teresa Kok Suh Sim, EXCO Kanan Kerajaan Negeri Selangor & Ahli Parlimen Seputeh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional