red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://tunku-aziz.org/ 

 

 

Kenyataan media oleh Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim di Dewan Negara pada hari Selasa, 21hb December 2010:

Gelaran DYMM digugurkan untuk gelaran hormat Agong?

Saya ingin merujuk kepada jawapan lisan yang dibentangkan oleh YB Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri secara bertulis pada 13 Disember 2010. Jawapan tersebut dilampirkan.

Penggunaan "Duli Yang Maha Mulia" secara rasmi untuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bukan hanya suatu yang bersifat protokol seperti yang didakwa oleh YB Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz di dalam jawapannya itu.

Gelaran "Duli Yang Maha Mulia" sesungguhnya termaktub di dalam undang-undang yang digubal di Parlimen.

Menurut Perlembagaan Persekutuan melalui Jadual Ketiga, perenggan empat, menyebut:

"4. (1) Senarai pemilihan itu -

(a) bagi maksud pemilihan pertama hendaklah suatu senarai yang memasukkan Negeri semua Raja mengikut susunan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja mengiktiraf keutamaan antara mereka sendiri ketika itu."

Jadual Kelima, perenggan satu, menyebut:

"1. Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Jadual ini, Majlis Raja-Raja hendaklah terdiri daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua bagi Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja."

Jadual Kelima, perenggan dua, menyebut:

"2. Tempat Duli Yang Maha Mulia Raja mana-mana Negeri atau tempat Yang di-Pertua Negeri mana-mana Negeri sebagai anggota Majlis Raja-Raja boleh dalam apa-apa hal yang dalamnya Perlembagaan Negeri itu memperuntukkan sedemikian diambil oleh mana-mana orang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan itu."

Artikel 66(5) dipinda sebanyak DUA KALI semasa berlaku pertelingkahan di antara mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dengan raja-raja pada sekitar tahun 1983/84. Di antara tarikh 16/12/83 dan 20/01/84, Artikel 66(5) menyatakan:

"(5) Sesuatu Rang Undang-Undang hendaklah menjadi undang-undang apabila ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Jika kerana apa-apa jua sebab Rang Undang-Undang itu tidak diperkenankan oleh Baginda dalam tempoh lima belas hari selepas Rang Undang-Undang itu dipersembahkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Yang di-Pertuan Agong, maka Baginda hendaklah disifatkan telah memperkenankan Rang Undang-Undang itu dan Rang Undang-Undang tersebut hendaklah dengan demikian itu menjadi undang-undang. (5A) Tiada satu pun undang-undang boleh berkuat kuasa sehingga ia telah disiarkan tetapi, bagaimanapun, tidaklah menjejaskan kuasa Parlimen untuk menangguhkan kuat kuasa mana-mana undang-undang atau untuk membuat undang-undang dengan kuat kuasa ke belakang.".

Mukadimah yang tertera di kesemua undang-undang yang ada sebelum 1983 merujuk kepada "Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong". Ayat tersebut ditukar dan dikeluarkan, dicetak semula dan dikemaskini sejak sebelum 1983. Rujukan ini juga dikeluarkan dari undang-undang.

LAMPIRAN:

PERTANYAAN LISAN TUNKU ABDUL AZIZ BIN TUNKU IBRAHIM DI DEWAN NEGARA PADA 13 DISEMBER 2010

SOALAN:

Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim minta PERDANA MENTERI menyatakan sejak bilakah penggunaan gelaran "Duli yang Maha Mulia" secara rasmi untuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong digugurkan, siapakah yang mengarahkan penggugurannya dan atas sebab apa atau kuasa undang-undangkah perkara ini dilakukan.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Gelaran hormat "Duli Yang Maha Mulia" untuk Yang di-Pertuan Agong bukan digugurkan atas kuasa undang-undang. Setakat ini tiada undang-undang yang dibuat oleh Parlimen bagi memberikan kuasa kepada mana-mana orang untuk menggugurkan gelaran hormat "Duli Yang Maha Mulia" untuk Yang di-Pertuan Agong. Malah Parlimen tidak pernah mengadakan apa-apa undang-undang bagi mengawal selia atau mewajibkan penggunaan gelaran hormat bagi Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau pun orang kenamaan. Peruntukan dalam udang-undang di Malaysia juga hanya merujuk "Yang di-Pertuan Agong" tanpa gelaran hormat "Duli Yang Maha Mulia". Sebagai contoh Fasal 1 Perkara 32 Perlembagaan persekutuan memperuntukkan seperti berikut:

"32. Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan Isterinya

(1) Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana-mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditbuhkan di bawah Bahagian XV.".

Manakala dalam permulaan teks sumpah Yang di-Pertuan Agong yang disenarakan dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan menyatakan ¨C

"Kami...ibni...Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkanĄ­."

Jelas kedua-dua peruntukan di atas tidak menggunakan gelaran hormat "Duli Yang Maha Mulia". Gelaran tersebut merupakan gelaran hormat yang bersifat protocol yang ditentukan oleh Istana Negara dan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri.

Sekian, terima kasih.


* Tunku Abdul Aziz bin Tunku Ibrahim, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP & Senator

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional