red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://wengsan.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada hari Rabu, 29hb Disember 2010:

Pelantikan Mohd Khusrin jelas membawa agenda politik UMNO dan Najib untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor

Adalah amat jelas bahawa pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor membawa agenda politik UMNO dan Najib untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Pelantikan yang berbau politik ini sekali telah merosakan hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan dan semangat persekutuan atau federalism sekali lagi dicemari dengan agenda politik UMNO dan Najib.

Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 telah menyatakan dengan jelas bahawa pelantikannya perlu dibuat daripada mana-mana Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan. Ini jelas bermaksud bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan ini boleh dilantik sama ada dari kalangan anggota-anggota Jabatan Perkhidmatan Awam atau tidak walaupun secara konvensyen pelantikan ini dibuat dari kalangan anggota perkhidmatan awam.

Sungguhpun soalan ini ialah soalan akademik, tetapi ianya perlu diperjelaskan dengan sejelas-jelasnya kepada rakyat jelata.

Selain itu, Ketua Setiausaha Negara seboleh-bolehnya berunding dengan Kerajaan Negeri terlebih dahulu sebelum membuat pengumunan ini atas semangat federalism. Adalah amat menyedihkan bahawa semangat federaslime ini sekali lagi dibelakangkan untuk kepentingan politik UMNO dan Najib.

Rakyat tidak harus lupa bahawa Najib pernah sekali mengatakan bahawa beliau mahu mengambil balik Selangor daripada Pakatan Rakyat walau apa cara sekalipun. Fasa pertama rancangan mereka telah gagal dengan pengorbanan Sdr Teoh Beng Hock dan kini mereka pulang dengan fasa kedua.

Ini boleh dilihat apabila Najib masih memegang jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor seperti yang diumunkan beberapa hari yang lalu. Tambahan pula pelantikan ini dibuat pada akhir bulan Disember 2010 di mana kebanyakan pegawai dan kakitangan kerajaan telah bercuti.

Justeru itu, rakyat Selangor harus berwaspada supaya peristiwa hitam di Perak tidak berlaku di Selangor. Janganlah kita membenarkan pisang berbuah dua kali.


* Lau Weng San, ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional