red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sempena Majlis Perhimpunan Ketua Menteri bersama anggota perkhidmatan awam di Dewan Tunku (Geodesic Dome), Paras 5, KOMTAR pada hari Khamis, 2hb Disember 2010: 

Ucapan sempena Majlis Perhimpunan Ketua Menteri bersama anggota perkhidmatan awam  

Bersyukur kita kepada Tuhan kerana dapat bersama-sama berkumpul pada pagi yang mulia ini bersempena Majlis Perhimpunan Y.A.B Ketua Menteri bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang Tahun 2010. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam urusan Majlis Isitiadat Pengkebumian bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Amat Bahagia Tun Dato' Seri Utama Dr. Lim Chong Eu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Anggota Perkhidmatan Awam Negeri kerana dapat hadir ke majlis ini. Majlis sebegini merupakan satu platform penting di antara Pemimpin Tertinggi Kerajaan Negeri dan Warga Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang bagi menyemarakkan tekad dan usaha ke arah mentransformasikan perkhidmatan awam.

Pada perhimpunan kali ini saya ingin menyeru kepada semua anggota Perkhidmatan Awam Negeri agar terus menjadi penggerak utama pentadbiran. Saya ingin menekankan di sini bahawa wawasan Kerajaan Negeri sebagai negeri bertaraf antrabangsa tidak akan berhasil tanpa pentadbiran awam yang bertaraf antarabangsa. Sungguhpun sesetengah pihak menyatakan sukar untuk mengharapkan pentadbiran awam mencapai taraf antarabangsa tetapi saya sentiasa percaya, 'Tidak ada sesiapa pun nak jadi pekerja yang paling teruk, semua nak jadi paling cemerlang'.

Para hadirin sekalian,

Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang (JPS) atas komitmen dan pencapaian yang cemerlang dalam penghasilan teknologi baru DrDeC (Drainage Debris Collector), satu inovasi perangkap sampah yang lebih efektif sehingga berjaya memenangi pertandingan-pertandingan seperti berikut:-

Malaysian Technology Expo (MTE 2010) - Global Invention & Innovation 2010 (memenangi Pingat Perak) Johan Teknikal JPS Malaysia dalam Pertandingan Inovasi JPS Malaysia

Pertandingan MTE 2010 ini turut disertai oleh negara-negara luar seperti Rusia, Korea, Taiwan, Poland, Singapura, Croatia, Sepanyol dan seumpamanya. JPS Negeri Pulau Pinang berjaya memenangi Pingat Perak bagi Kategori Alam Sekitar yang disertai oleh 67 kumpulan yang lain. Inovasi bukanlah semudah yang disangka. Kerapkali pelaksanaan inovasi menemui kegagalan, kerana budaya organisasi tidak selaras dengan keperluan untuk melakukan perubahan. Pelaksanaan inovasi memerlukan semua warga anggota Perkhidmatan Awam berfikiran terbuka (open minded), dan sentiasa dinamik dalam mentransformasikan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Hadiah Inovasi sebanyak RM10, 000 bukan sahaja diberikan secara berkongsi kepada pereka- pereka DrDeC, RM10, 000 juga diberikan kepada JPS yang memberikan ruang dan peluang untuk inovasi ini diilhamkan dan dilaksanakan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang berasa bangga dan menyokong penyertaan JPS Negeri Pulau Pinang untuk bertanding di peringkat antarabangsa di Geneva, Switzerland yang akan berlangsung pada bulan April tahun 2011 nanti. Saya turut difahamkan bahawa DrDeC ini telah dipasang di Negeri Perlis serta mendapat tempahan daripada Kerajaan Negeri Melaka. Ciri istimewa produk ini adalah ia mampu memerangkap sampah dalam pelbagai keadaan dan tidak memerlukan penyelenggaraan yang kerap. Struktur perangkap sampah yang sistematik dapat memerangkap sampah dalam isipadu yang banyak tanpa menghalang aliran air. DrDeC merupakan satu-satunya perangkap sampah di dunia yang mempunyai alur limpah terapung. Produk ini telah dipatenkan pada 26 Januari 2010.

Berbanding dengan perangkap sampah sedia ada, kos penyelenggaraan untuk sebulan bagi teknologi DrDeC dilihat jauh lebih murah. Sebanyak RM270 sahaja diperlukan berbanding RM2, 790 diperlukan untuk penyelenggaraan perangkap sampah sedia ada sebelum ini. DrDec juga merupakan satu- satunya inovasi yang bukan sahaja memerangkap sisa pepejal seperti perangkap sampah yang biasa, malah ia mampu memerangkap kelodak, minyak dan gris sekaligus dapat mengawal pencemaran sungai.

Selain daripada kos pembinaan yang rendah iaitu sebanyak RM 19, 540 berbanding perangkap sampah biasa yang menelan belanja RM 120, 000, projek DrDeC ini selayaknya diiktiraf bukan sahaja kerana keupayaan melaksanakan sistem dengan efisien malah turut dipuji kerana membantu kerajaan mengurangkan beban kos akibat daripada kerugian vandalisme yang terpaksa ditanggung seperti lazimnya.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan anggota Perkhidmatan Awam Negeri, Kerajaan Negeri telah mencadangkan untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Kedua Tahun 2010 sebanyak RM800.00 kepada semua Anggota Perkhidmatan Awam Negeri iaitu sebanyak RM500.00 yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan dan tambahan sebanyak RM300.00. Dengan RM500 sebagai duit raya, ini bermakna semua anggota pentadbiran awak telah menerima RM1,300 secara keseluruhannya.

Penghargaan ini adalah satu pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada anggota Perkhidmatan Awam Negeri yang memberi komitmen penuh dalam menjayakan agenda Kerajaan Negeri. Pemberian bantuan ini diharapkan dapat membantu pegawai dalam membuat persediaan urusan persekolahan anak-anak pada awal tahun 2011.

Sumbangan yang diberikan ini melibatkan 20 Jabatan Negeri dan turut dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP); Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang; Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang; Institut Integriti Negeri Pulau Pinang (IINPPI); dan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI);

Pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM800 ini melibatkan sejumlah 3,153 pegawai/kakitangan jabatan negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.5 juta. Sekiranya kita mengambilkira semua termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Berkanun Negeri (BBN) dan agensi negeri, ianya melibatkan 7,812 anggota dengan RM6.25 juta. Bantuan khas ini diberikan kepada semua Pegawai Perkhidmatan Awam di Pentadbiran Negeri Pulau Pinang termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku Jawatan Utama/ Gred Khas.

Saya berharap kejayaan yang dicapai oleh JPS Negeri Pulau Pinang menjadi contoh dan galakan kepada jabatan / agensi negeri yang lain untuk meningkatkan budaya inovasi dan kreativiti. Akhir sekali saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis pada hari ini.

Sekian, terima kasih.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional