red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 18hb Disember 2010: 

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mencemarkan nama baik dan kewibawaan Dewan  

16hb Disember 2010 adalah satu hari yang sedih dalam sejarah Parlimen Malaysia. Seluruh dunia sedang menyaksikan bagaimana sebuah insitutisi perundangan yang pada satu ketika dahulu pernah dipandang sebagai teladan dan rujukan di rantau Asia dan di kalangan Negara-negara komenwel sedang menjunam kewibawaan dan kehortmatannya.

Sesiapa yang meneliti Laporan dan minit prosiding Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan mendapati keseluruhan prosiding Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sebagaimana yang dipamerkan dalam Laporan dan minit prosiding mesyuarat jawatankuasa tersebut amat mengaib dan memalukan istitusi Parliamen sebagai badan perundangan tertinggi di negara ini yang seharusnya memaperkan teladan menjunjung nilai-nilai murni keadilan.

Bagaimana satu pendengaran atau perbicaraan boleh diterima sebagai adil sekiranya pihak yang dituduh atau yang akan dihukum tidak diberi peluang langsung untuk membela diri atau sekurang-kurangnya mengemukakan penjelasannya? Malah dalam Negara yang mana pemerintahannya dianggap berkuku besi sekalipun, orang yang dituduh tetap dihadapkan ke mahkamah untuk diberi peluang membela diri.

Ciri-ciri natural justice mengkehendaki, antara lain, yang pertamanya, semua prosiding dijalankan dengan adil kepada semua pihak sebagaimana yang diungkap dalam Bahasa Latin "audi alteram partem" atau dalam Bahasa Inggeris "let the other side be heard" .

Keduanya, semua pihak dalam prosiding adalah berhak untuk bertanya soalan dan membidas keterangan atau evidence pihak berlawan.

Ini adalah nilai yang diterima universal. Melainkan kita tidak lagi menerima nilai universal ini, Laporan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ke atas YB Permatang Pauh, Bukit Glugor, Gombak dan Subang mencemarkan nama baik dan kewibawaan Dewan ini. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana sebuah jawatankuasa Dewan yang waras fikirannya sanggup mengesyorkan agar YB Permatang Pauh dihukum tanpa memberikan peluang langsung kepada beliau untuk membela diri.

Kesemua empat Ahli Parlimen sejak awal telah menyatakan niat beliau untuk membela diri. Jawatankuasa Hak dan Kebebasan juga pada awal mesyuarat telah memutuskan agar YB Permatang Pauh dipanggil untuk membela diri. Tetapi pendirian majoriti Jawatankuasa ini bertukar 180 darjah pada akhir prosiding tanpa alasan yang kukuh dan menafikan hak pembelaan YB Permatang Pauh.

Tidak ada orang yang akan percaya bahawa tidak ada campur tangan daripada pihak ketiga dalam perubahan pendirian majoriti Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Tidak ada orang yang akan percaya bahawa tiada motif politik yang menebal dalam perubahan pendirian Jawatankuasa ini. Tidak ada orang yang akan percaya bahawa majoriti Jawatankuasa ini bertindak professional dan melampaui batasan politik dalam menjalankan tugas mereka. Tidak ada orang yang akan percaya bahawa Jawatankuasa ini adalah satu panel yang menimbangkan kes ini dengan adil dan rational. Tidak ada orang yang akan percaya bahawa Dewan ini adalah Dewan yang mulia dan berdaulat sebagai satu cabang kerajaan dalam system demokrasi berasaskan system Westminister.

Mengapa majoriti Jawatankuasa daripada BN sanggup terima bulat-bulat dan menggadaikan reputasi mereka dengan menganggap kenyataan Perdana Menteri dan kandungan surat Apco sebagai hukum benar tanpa disoal siasat langsung? Maka jelaslah kepada seluruh dunia, bahawa majoriti Jawatankuasa ini menaruh lebih kepercayaan kepada Apco, sebuah syarikat Israel?

Jawatankuasa ini kelihatan kurang arif berbanding dengan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan Dewan Negeri Selangor di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat di mana semua ahli yang dituduh melanggari hak dan kebebasan telah diberikan peluang sepenuhnya untuk membela diri.

Sebagai contohnya, kes YB Dato Azahar, ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, yang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengeluarkan kenyataan hasut di dalam Dewan telah diberi peluang untuk membela diri dalam prosiding Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Ini mempamerkan kebijaksanaan dan kebesaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang jelas tidak kelihatan dalam Dewan ini dan Jawatankuasa yang mengendalikan YB Permatang Pauh.

Dalam prosiding Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor yang menjalankan siasatan ke atas Ketua Pembangkang Selangor YB Khir Toyo dan 4 orang Ahli Dewan Negeri yang lain, mereka masing-masing telah diwakili oleh 7 orang peguam semasa prosiding dan diberikan peluang mengambil bahagian secara aktif.

Jelas sekali, Dewan Undangan Negeri, khususnya Dewan Undangan Negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat adalah jauh lebih progressif, adil dan rasional daripada Dewan ini yang semakin hari semakin kehilangan kegemilangannya sebagai badan perundangan yang diteladani oleh Dewan Undangan Negeri di Malaysia.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional