red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://pgforward.blogspot.com/ 

 

 

Media Kenyataan oleh Ng Wei Aik di George Town pada Jumaat, 15hb Januari 2010:

DAPSY sokong supaya sudut pidato dihidupkan semula di semua IPT

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menyahut secara positif serta menyokong supaya Sudut Pidato atau Speakersí Corner dihidupkan di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan juga Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Sudut Pidato perlu dihidupkan semula di semua IPT tempatan, khasnya Universiti Malaya yang merupakan IPT pertama diwujudkan Sudut Pidato pada tahun 1960-an, supaya mahasiswa/i dapat meluahkan pandangan kritis mereka terhadap perkembangan semasa negara.

Sebagai insan yang berfikiran matang, mahasiswa/i tidak harus disekat hak dan kebebasan mereka untuk berucap terhadap isu-isu yang berkepentingan awam. Kita perlukan jaminan secara terbuka daripada pihak IPT bahawa apa-apa yang dibangkitkan oleh mahasiswa/i apabila berucap di Sudut Pidato tidak harus direkodkan supaya dijadikan bukti-bukti pendakwaan terhadap individu-individu tertentu.

Sudut Pidato seharusnya bebas daripada segala bentuk kawalan atau kongkongan, baik kawalan secara langsung oleh pihak pengurusan setiap IPT mahupun kongkongan secara tidak langsung oleh anggota-anggota Cawangan Khas PDRM yang kononnya sedang belajar di setiap IPT. Jikalau tanpa jaminan sebegini daripada pihak IPT, Sudut Pidato kemungkinan akan menjadi suatu platform bagi pihak IPT atau pihak-pihak yang lain mengambil tindakan secara selektif terhadap aktivis-aktivis Gerakan Mahasiswa tertentu.

Selaras dengan autonomi kampus, kewujudan Sudut Pidato tanpa sebarang gangguan atau campur tangan politik adalah diperlukan. Kita berharap Sudut Pidato yang dihidupkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seterusnya di IPTA dan IPTS yang lain tidak hanyalah indah khabar dari rupa serta membelakangkan lunas-lunas demokrasi supaya mahasiswa/i dapat mengerti makna sebenar kebebasan asasi serta prinsip-prinsip demokrasi yang sedang kita amalkan di Malaysia.


* Ng Wei Aik, Setiausaha Publisiti Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) & ADUN Komtar

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional