red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Ucapan oleh Lim Guan Eng sempena Majlis Penyerahan Penyata Kewangan Negeri Tahun 2009 pada Selasa, 19hb Januari 2009: 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali lagi mencatat lebihan belanjawan 2009 RM 77.3 juta berbanding dengan anggaran defisit RM 40 juta yang sepatutnya lebihan adalah RM 92 juta kalau bukan pembayaran pampasan RM 14.7 juta untuk skendal penyelewangan tanah Tang Hak Ju 

  1. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia Haji Amrin bin Buang, Ketua Audit Negara, kerana dalam kesibukkannya dapat melapangkan masa untuk hadir ke Majlis Penyerahan Penyata Kewangan Negeri Pulau Pinang Tahun 2009. Sebentar tadi kita telah menyaksikan Penyerahan Penyata Kewangan Negeri Pulau Pinang Tahun 2009 disampaikan oleh Y.B. Dato’ Pegawai Kewangan Negeri kepada En. Abdul Ghani bin Md Larkin, Pengarah Audit Negeri Pulau Pinang dengan disaksikan oleh Y. Bhg. Tan Sri Ketua Audit Negara dan saya sendiri.

  2. Malah pada hari ini kita amat bertuah kerana Y.Bhg. Tan Sri juga telah sudi dan bersedia untuk memberikan satu ‘Luncheon Talk’ yang berkaitan dengan Pengurusan Kewangan. Sudah tentu pengalaman yang luas yang ada pada Y.Bhg. Tan Sri akan dapat membantu hadirin sekelian yang sememangnya terlibat secara langsung dengan Pengurusan Kewangan termasuk selaku Pegawai Pengawal, akan mendapat manfaat dari perbincangan ini.

  3. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Jabatan Kewangan Negeri kerana telah berjaya menyediakan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun berakhir 31 Disember 2009 bagi membolehkan ianya dikemukakan kepada Jabatan Audit Negara untuk diaudit pada hari ini iaitu 19 Januari 2010. Harapan saya adalah Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Tahun 2009 yang dikemukakan ini mendapat Sijil Bersih Tanpa Teguran daripada Ketua Audit Negara seperti mana yang telah diperolehinya pada tahun-tahun sebelum ini.

  4. Dengan kedudukan kewangan yang baik dan kukuh ini, saya percaya pentadbiran Kerajaan Negeri ini berupaya untuk terus meningkatkan perkhidmatan dan sumbangannya kepada rakyat negeri Pulau Pinang dengan lebih berkesan lagi.

  5. Berasaskan kepada laporan di dalam Penyata Kewangan Negeri belum diaudit yang akan dipersembahkan ini, kedudukan kewangan Kerajaan Negeri berakhir pada 31 Disember 2009 masih lagi kukuh. Walaupun Baki Akaun Hasil Disatukan berkurangan sebanyak RM10.65 juta berbanding tahun 2008 tetapi masih lagi menunjukkan lebihan. Pengurangan lebihan ini adalah disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan pada tahun 2009 berbanding tahun 2008. Berdasarkan kepada Penutupan Akaun Kewangan Tahun 2009 berakhir 31 Disember 2009 sejumlah RM376,511,787.49 telah dikutip sebagai hasil Kerajaan (iaitu kenaikan RM4.7 juta) dan sejumlah RM299,168,493.12, iaitu kenaikan 0.5 juta telah dibelanjakan sebagai perbelanjaan mengurus berbanding dengan tahun lepas, menjadikan lebihan kewangan Kerajaan Negeri berjumlah RM77,343,294.37. Adalah didapati prestasi kutipan hasil yang dicapai pada tahun kewangan 2009 adalah lebih baik daripada tahun 2008 (RM371,143,874.73) dan prestasi ini dapat atau setidak-tidaknya dikekalkan ataupun dipertingkatkan lagi bagi Tahun Kewangan 2010.Lebihan tahun 2009 sebanyak RM77.34 juta ini telah menyumbang kepada kenaikan bersih Kumpulan Wang Disatukan menjadikan jumlahnya RM538.95 juta pada tahun berakhir 31 Disember 2009.

  6. Hasil Kerajaan Negeri berjumlah RM376.51 juta pada tahun 2009 menunjukkan peningkatan sebanyak RM5.37 juta berbanding tahun 2008 yang berjumlah RM371.14 juta. Manakala perbelanjaan pula berjumlah RM299.17 juta bagi tahun 2009 menunjukkan peningkatan sejumlah RM16.02 juta berbanding RM283.15 juta pada tahun 2008.

  7. Sebagai makluman, lebihan tahun 2009 sebanyak RM77.3juta sepatutnya adalah sebanyak RM92juta sekiranya Kerajaan Negeri tidak perlu membayar RM14.7 juta di atas kes Tang Hak Ju yang sepatutnya ditanggung oleh kerajaan Barisan Nasional dulu. Kerajaan kerugian RM14.7 juta hanyalah di atas kecuaian pentadbiran terdahulu yang tidak memikirkan bahawa dengan kecuaian tersebut telah menyebabkan seluruh rakyat terpaksa menanggung akibatnya.

  8. Bagi memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan, saya menyeru kepada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri untuk terus berusaha menambahkan hasil dan mengekalkan perbelanjaan secara berhemat untuk memastikan kedududukan kewangan akan bertambah baik tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan dan sumbangan kepada rakyat.

  9. Penyediaan bajet 2010 telah dirangka bagi meneruskan hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan perbelanjaannya menyokong dan menjana pertumbuhan ekonomi negara, membina modal insan yang mahir dan berpengetahuan di samping memberi penekanan kepada sosio-ekonomi terutamanya peningkatan taraf dan kualiti hidup rakyat. Belanjawan tahun 2010 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada akhir bulan November 2009 memperuntukkan RM404.02 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM379.77 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

  10. Saya difahamkan bahawa Jabatan Audit Negara telah memperkenalkan Audit Rating System berasaskan Indeks Akauntabiliti (IA) mulai tahun 2007 yang dilaksanakan bagi menilai sejauh mana pengurusan kewangan jabatan dan agensi kerajaan telah mematuhi segala undang-undang dan peraturan kewangan kerajaan mengikut kriteria yang telah ditetapkan. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaan Jabatan Kewangan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang kerana telah diberi pengiktirafan 4 bintang iaitu pengiktirafan paling tinggi mengikut rating Indeks Akauntabiliti ini bagi tahun 2008. Saya berharap agar prestasi ini dapat dipertahankan dan seterusnya dipertingkatkan.

  11. Kerajaan Negeri sememangnya amat menitikberatkan kedudukan dan pengurusan kewangan di semua jabatan dan agensi kerajaan di bawah pentadbirannya. Audit Rating System berasaskan IA yang diperkenalkan oleh Jabatan Audit Negara adalah sejajar dengan apa yang dipraktikkan oleh Kerajaan Negeri ini dalam urus tadbirnya iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT). Dasar yang dipraktikkan oleh Kerajaan Negeri adalah penting untuk kita memperlihatkan imej yang bersih, cekap dan amanah dalam membelanjakan wang rakyat tanpa ada sebarang penyelewengan dan birokrasi kerana setiap ringgit yang dikutip daripada pembayar cukai seharusnya dibelanjakan secara bijak, berkesan dan memberi manfaat kepada sebilangan besar rakyat.

  12. Secara rumusan sistem pengurusan kewangan menerusi CAT yang dipakai untuk mentadbirkan kerajaan negeri telah menampakkan pentadbiran bersih dan berhemah yang memperlihatkan lebihan Belanjawan yang sihat. Maka Lapuran Ketua Audit Negara 2008 telahpun memuji kemampuan mengubahkan anggaran defisit RM 35 juta dalam Belanjawan 2008 kepada lebihan RM 88 juta, satu lebihan yang paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang. Prestasi baik ini diteruskan bila anggaran defisit sebanyak RM 40 juta untuk tahun 2009 telah bertukar kepada lebihan RM 77.3 Juta.

  13. Sikap berhemah kerajaan negeri bukan bermakna kita kedekut sehingga tidak mahu membelanjakan wang. Kita hanya berjimat kerana tidak mahu pemborosan, pembaziran dan penyelewengan dalam urusan kewangan berlaku. Wang akan dibelanjakan sekiranya memenuhi prinsip “value for money” berdasarkan penjimatan (economy), kecekapan (efficiency) dan keberkesanan (effectiveness).

  14. Akhir sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama sekali kepada Jabatan Kewangan Negeri serta semua jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Negeri kerana telah sama-sama memberi komitmen penuh dalam usaha untuk meningkatkan prestasi pengurusan kewangan negeri dan berbelanja secara berhemat di sepanjang tahun 2009.

  15. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara terutama sekali kepada Y. Bhg Tan Sri Dato’ Setia Haji Ambrin Bin Buang, Ketua Audit Negara yang telah memberi sokongan serta kerjasama kepada Kerajaan Negeri sepanjang tempoh proses pengauditan dijalankan.

    Sekian, terima kasih.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ketua Menteri Pulau Pinang; Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional